LIMA kumpulan melangkah ke pusingan akhir dalam Universiti Malaysia Sabah (UMS) Technology Talent Hub 2024, (T2H 2024) sebuah inisiatif inovasi yang menyaksikan penglibatan aktif industri fintech.

Kumpulan itu ialah Kumpulan 8 yang diterajui oleh Chan Feng En dengan bimbingan daripada Profesor Madya Dr. Goh Say Leng dan Dr. Nooralisa Mohd Tuah dengan tajuk projek “Blockchain Automative Supply Chain and Smartcontract Platform”.

Turut terpilih Kumpulan 14 yang diketuai oleh Prakash A/L Ravindran dengan mentor Profesor Dr. Jedol Dayou bertajuk “FindXTech: An Independent Long Range Tracking System”.

Selain itu, Kumpulan 2 yang diketuai oleh Mohd Syed Shahnizam Mohd Syed Shahrin, dengan bimbingan Dr Tamrin Amboala dan Minah Japang menerusi projek “Hydroponic Greenhouse with IoT Monitoring”.

Dengan tajuk projek “MyPaddychain, a blockchain padi subsidy management platform” Kumpulan 13, diketuai Puteri Adeela Mohad Yunus dan di bawah penyeliaan Dr. Nooralisa Mohd Tuah turut melepasi pusingan separuh akhir.

Kumpulan 6 yang dipimpin oleh Iza Izzati Azahar, bersama mentor Dr. Suzillah Sidek dengan tajuk yang dihasilkan iaitu “Virtual Reality Crowdfunding Platform with Blockchain” turut mara ke pusingan akhir.

Setiap kumpulan membawa pulang insentif wang tunai RM1,000 bagi mengembangkan idea dan membangunkan prototaip.

Lima kumpulan terbaik ini telah dipilih berdasarkan kebolehpasaran, kesediaan komersial, pembangunan teknologi, keunikan penyelesaian dan tahap kesiapsiagaan teknologi (TRL).

Mereka akan bersaing di peringkat akhir pada bulan Disember 2024 bagi merebut hadiah wang tunai bernilai RM10,000 bagi tempat pertama, kedua RM 8,000 dan ketiga RM5,000.

Program ini memberi platform kepada pelajar UMS untuk mempersembahkan idea berasaskan teknologi terkini dalam usaha memacu pembangunan dan transformasi digital negara.

Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Profesor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, berkata kelima-lima kumpulan ini telah menonjolkan keupayaan luar biasa dalam menggunakan teknologi digital untuk menghasilkan penyelesaian yang relevan.

“Kami bangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap kumpulan dan berharap ini akan memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain di UMS untuk turut serta dalam mengembangkan inovasi digital,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Top 5 Semi Final Hab Bakat Teknologi Universiti Malaysia Sabah (UMS T2H) 2024 di Bilik Seminar Layangan, Aras 11, Bangunan Menara Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 7 November 2024.

Turut hadir Timbalan Presiden Kanan Neurogine, Chooi Yew Tzen yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine, Owen Chee Onn, Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), Dr Ricky Chia Chee Jiun dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Dr Noor Hassanah Husin yang juga Ketua Sekretariat UMS T2H 2024.

Penganjuran UMS Technology Talent Hub (UMS T2H) 2024 ini turut disokong oleh Neurogine Sdn Bhd sebagai penganjur dan penaja utama dengan dana sebanyak RM50,000 yang disediakan bagi merealisasikan program itu.

Lapan juri yang terdiri daripada tokoh industri dan pakar akademik, dipengerusikan bersama oleh Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), UMS, Profesor Madya Ts Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi.

Ahli panel penilai T2H 2024 yang lain termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine, Owen Chen Chee Onn; Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Shipyard and Engineering Sdn Bhd, Shahrul Effendy Ahmad Tajudin; Profesor Madya Lee Hock Ann dari FKAL, Pengurus Kanan Pembangunan Pusat Kecemerlangan Pengasas & Pasaran Unicorn di Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Jesse Chooi Tze Keong; Penasihat Persatuan Fintech Malaysia, Farah Jaafar dan Pengerusi Dewan Perniagaan Labuan (LCC), Ts Daniel Doughty.

Tamat.