23 JANUARI 2025 - Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf daripada Program Kewangan Islam, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah berjaya menganjurkan Majlis Apresiasi Projek Sulam "Kursus Pengurusan Wakaf Sesi 2024/2025". Program ini melibatkan seramai 123 pelajar dan berlangsung dengan jayanya di Dewan Utama UMSKAL.
Majlis ini bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada semua rakan kolaborasi dan pelajar yang telah berjaya melaksanakan Projek SULAM pada tahun ini.
Sepanjang sesi Kursus Pengurusan Wakaf 2024/2025, sebanyak 12 program pemindahan ilmu berjaya dilaksanakan dari 14 Disember 2024 hingga 14 Januari 2025.
Majlis itu dirasmikan oleh Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal.
Turut hadir Pengurus Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan, Md Fadzli Md Saad, Penasihat Agama Badan Kebajikan Islam Petronas (BAKIP), Ustaz Norazlan Mahmood dan Penyelia Halal Rancha-Rancha Aerated Water Co., S.K. Quzamie Faiq Zharif Harris.
Majlis ini dimeriahkan lagi dengan sesi perkongsian ilmu oleh dua penceramah jemputan iaitu Perunding Utama di Manhal Consulting Services, Dr Nabil Bello yang menyampaikan ceramah bertajuk “Fiqh of Giving: A Comprehensive Analysis of Islamic Jurisprudence”.
Sesi perkongsian ilmu kedua disampaikan oleh Penolong Pengarah Cawangan Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan, Ustaz Shafie Abdul Ghani, yang membawa topik bertajuk “Wakaf: Menanam Benih di Dunia, Menuai Ganjaran Pahala di Akhirat”. Sesi ini bertemakan podkas, menjadikan majlis lebih interaktif.
Penyelaras Kursus Pengurusan Wakaf, Dr. Haneffa Muchlis Gazali, memainkan peranan penting sebagai penasihat program. Beliau memastikan setiap aspek majlis ini berjalan lancar dan mencapai matlamatnya. Sebagai sebahagian daripada acara, 12 video montaj setiap program SULAM ditayangkan. Tayangan video projek SULAM telah ditayangkan semasa program berlangsung bagi memaparkan perjalanan dan pencapaian pelajar sepanjang program, memberi inspirasi kepada semua yang hadir.
Turut diadakan pameran yang dihasilkan oleh pelajar yang menggambarkan aktiviti dan pencapaian mereka sepanjang program, menunjukkan kreativiti dan usaha mereka yang luar biasa.
Pada majlis itu, Dekan FKAL, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua yang terlibat. Beliau menekankan bahawa kerjasama erat antara semua pihak adalah kunci kejayaan projek ini. Dr. Haneffa turut menyampaikan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat. Beliau juga mengumumkan jumlah dana yang berjaya dikumpulkan untuk melaksanakan program SULAM sesi 2024/2025, iaitu sebanyak RM14,711 dengan penyumbang terbesar bagi program kali ini adalah MAIWP dengan nilai sumbangan sebanyak RM12,448.
Sementara itu, Kumpulan 7 dan Kumpulan 14, yang dikenali dengan nama program Sentuhan Terakhir muncul johan Anugerah Projek SULAM Terbaik sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300. Tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan 3 dan Kumpulan 12, yang dikenali dengan nama program Muamalat Marvels menerima RM200. Kumpulan itu turut dinobatkan pemenang Anugerah Komik Terbaik dan menerima RM100. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Kumpulan 18 dan Kumpulan 21, yang dikenali dengan nama program Revive! Little Ibadah menerima RM100.
Terima Kasih Kepada Semua.
Tamat.