Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan kemuncak inisiatif sulungnya, Technology Talent Hub 2024 (T2H 2024), melalui satu majlis anugerah yang diadakan di Bilik Eureka, Bangunan Menara, UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 11 Disember 2024.
Acara yang bertemakan “Ideas, Innovate, Inspire” ini mengiktiraf dan memberikan penghargaan kepada bakat teknologi luar biasa dalam kalangan pelajar UMS.
Pengerusi T2H 2024 merangkap Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) UMS, Profesor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, mengucapkan tahniah kepada pemenang dan memuji idea inovatif serta dedikasi mereka.
Beliau menekankan kuasa transformasi inovasi dengan menyatakan, “Inovasi, seperti percikan api yang pantas, boleh menyala di mana sahaja, tetapi hanya mereka yang mempunyai minda ingin tahu akan melihat nyalaannya.
Ia sering memerlukan pencarian yang sengaja dan keberanian untuk mencabar status quo.”
Inisiatif ini, yang pertama seumpamanya di Labuan dan UMS, bertujuan menangani isu penghijrahan tenaga kerja (brain drain) di Labuan dan Sabah dengan mengenal pasti, membangun dan menarik bakat dalam bidang teknologi, pemasaran dan kewangan.
“Usaha ini juga membuktikan kebolehan Labuan sebagai hab yang sesuai dan berdaya maju untuk pembangunan teknologi, khususnya dalam aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dan rantaian blok,”tambah Dr. Geoffrey.
Turut hadir, Pengarah UMSKAL, Profesor Madya Dr Mohd Rizal Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine, Owen Chee Onn dan Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Shipyard and Engineering Sdn Bhd, Haji Shahrul Ahmad Tajudin. Timbalan Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik, Dr, Noralisa Mohd Tuah dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Dr Noor Hassanah Husin yang juga Ketua Sekretariat UMS T2H 2024.
Hadir sama Timbalan Presiden Kanan Neurogine, Chooi Yew Tzen dan Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), Dr Ricky Chia Chee Jiun.
“Kami percaya bahawa dengan mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada bakat luar biasa, kami dapat menginspirasi generasi pelopor teknologi akan datang.
Ekosistem di UMS menyediakan persekitaran yang sesuai untuk membangun dan lebih penting lagi, menyampaikan pengajaran utama kepada generasi muda ini,”katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada 14 mentor yang terlibat, terdiri daripada pakar daripada empat fakulti: FKAL, Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Fakulti Kejuruteraan, dan Fakulti Sains dan Sumber Alam, yang membimbing para peserta.
Dr. Geoffrey dan Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi dari FCI UMS bersama-sama mengetuai panel lapan hakim untuk menilai pelbagai projek inovatif, termasuk aplikasi AI, penyelesaian rantaian blok, serta penyelesaian praktikal untuk cabaran tempatan dan industri.
Para hakim teruja dengan pertimbangan sosial yang ditampilkan oleh pasukan serta potensi mereka dalam menangani isu seperti kelestarian alam sekitar, keselamatan makanan dan penjagaan kesihatan.
Ahli panel hakim T2H 2024 yang lain termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine Owen Chen Chee Onn, Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Shipyard and Engineering Sdn Bhd, Shahrul Effendy Ahmad Tajudin, Profesor Madya Lee Hock Ann dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan UMS, Pengurus Kanan Founders Centre of Excellence Development & Unicorn Markets Malaysia Digital Economy Corporation, Jesse Chooi Tze Keong, Penasihat Persatuan Fintech Malaysia Farah Jaafar dan Pengerusi Dewan Perniagaan Labuan (LCC) Ts. Daniel Doughty.
T2H 2024 dianjurkan oleh Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan dengan kerjasama Fakulti Komputeran dan Informatik serta Neurogine Sdn Bhd.
Ia dilancarkan pada bulan Jun lalu untuk memupuk budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar UMS, dengan mendorong mereka untuk menghasilkan penyelesaian kepada cabaran dunia sebenar.
Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine, Owen Chen Chee Onn, menyatakan komitmen syarikatnya untuk membina pemimpin teknologi masa depan dan rasa bangganya dalam menyokong inisiatif ini.
“Kami komited untuk membangunkan pemimpin masa depan dalam bidang teknologi, kewangan dan pemasaran yang saling berkaitan.
Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada T2H 2024 UMS dan menjadi penaja utamanya kerana inisiatif ini sejajar dengan nilai-nilai kami yang dirangkumkan dalam temanya, ‘Ideas, Innovate, and Inspire,”katanya.
Beliau menambah bahawa Neurogine telah berada di barisan hadapan dalam inovasi, menerajui penyelesaian tokenisasi pembayaran dan rantaian blok kewangan sejak 2019, dan sentiasa bersedia untuk berkongsi pengalaman.
“Inisiatif ini akan menyokong dan memupuk minda-minda cemerlang, memberi manfaat kepada golongan muda, untuk golongan muda, dan disokong oleh industri.
Kami sangat bangga dengan bakat dan kreativiti yang ditunjukkan oleh setiap peserta.”
“Kami percaya bahawa dengan melabur dalam pendidikan, penyelidikan, dan kerjasama, kita dapat membuka potensi penuh daya cipta manusia. Inisiatif ini adalah bukti kepada visi bersama kami untuk mencipta ekosistem yang dinamik di mana idea berkembang dan penyelesaian inovatif terhasil.
Saya yakin sepenuhnya bahawa T2H 2024 UMS bersedia menjadi pemangkin kepada perubahan transformasi bagi Labuan dan Malaysia.”
UMS mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan peserta atas sumbangan cemerlang mereka dan berharap untuk terus menginspirasi generasi inovator akan datang.
Tahniat Buat Semua.
Tamat.