SERAMAI 12 murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Mansiat Keningau teruja mengunjungi Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 20 Januari 2025.
Program Lawatan Sambil Belajar dan bimbingan kerjaya murid-murid SK Mansiat, Keningau itu diketuai Guru Besar, Ledrin Ziubin@Jiubin.
Ledrin berkata program lawatan yang diiringi tujuh orang guru itu bertujuan untuk membimbing murid menetapkan matlamat kerjaya yang jelas dan langkah permulaan dari sekolah rendah.
Pada masa sama, memupuk kesedaran dan penghargaan terhadap budaya, sejarah dan pemeliharaan tempat lawatan di UMSKAL.
“Menerusi program itu, kami berharap murid akan memahami dan mengaplikasi teori yang dipelajari dalam dunia sebenar melalui pengalaman lawatan berkenaan.
“Murid sangat berminat dan teruja melanjutkan pengajian selepas melihat sendiri kemudahan yang disediakan di UMSKAL,”katanya.
Terdahulu ketibaan rombongan sekolah itu disantuni Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia (SPSM), Mas Adi Alimin, Ketua Unit Korporat dan Antarabangsa, Ezawati Pungut serta kakitangan SPSM.
Selepas sesi bergambar, kedua-dua pihak bertukar-tukar cenderamata tanda kenangan.
Mas Adi menyampaikan taklimat mengenai pentadbiran UMSKAL di Bilik Seminar Layangan Aras 11, Bangunan Menara UMSKAL.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran murid dan guru sekaligus mendoakan kejayaan mereka pada masa hadapan.
“Pelbagai kemudahan disediakan oleh pihak UMSKAL sekaligus mampu menarik lebih ramai pelajar dari seluruh negara melanjutkan pengajian di sini,”katanya.
Murid dan guru turut dibawa ke Makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) untuk melihat sendiri kemudahan yang disediakan.
Mereka juga teruja meninjau pemandangan indah dan menarik WP Labuan dari Aras 13 Bangunan Menara UMSKAL yang turut menempatkan lokasi melihat anak bulan.
Hingga Berjumpa Lagi.
Tamat.