LABUAN, 15 JUN 2025 (AHAD) – Sepuluh pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah berjaya melaksanakan Projek Crowdfunding SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) dengan membina sebuah perpustakaan mini yang dinamakan "The Lantern Library" di Kampung Patau-Patau 1, Wilayah Persekutuan Labuan.

Projek ini berjaya mengumpul dana sebanyak RM5,660 menerusi platform KitaFund.

Dana tersebut digunakan sepenuhnya untuk membina perpustakaan lengkap dengan rak buku, meja, kerusi dan pelbagai kemudahan asas, selain menyumbangkan ratusan buah buku kepada komuniti setempat.

Projek The Lantern Library merupakan sebahagian daripada pembelajaran berasaskan perkhidmatan masyarakat bagi kursus GT30203 Kewangan Korporat Antarabangsa, di bawah seliaan pensyarah kursus, Dr. Suzillah Sidek.

Inisiatif ini memberi fokus kepada pembinaan ruang pembacaan yang inklusif dan mesra pengguna, khusus untuk kanak-kanak, pelajar sekolah dan ibu bapa yang menggalakkan budaya membaca di luar waktu persekolahan.

Majlis perasmian The Lantern Library telah disempurnakan oleh Ketua Kampung Patau-Patau 1, Fatimah Ahmad.

Turut hadir serta Pengarah Projek, Iza Izzati binti Azahar, Ketua Unit Perpustakaan Awam Labuan, Haslizah Hassan, dan Penyelaras Projek, Dr. Suzillah Sidek.

Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan bersempena program ini, antaranya pertandingan mewarna dan bercerita yang melibatkan penyertaan aktif daripada kanak-kanak Kampung Patau-Patau 1.

Selain itu, pertandingan silang kata turut memeriahkan suasana dengan penglibatan daripada komuniti dewasa.

Pelajar FKAL yang terlibat dalam projek ini ialah Iza Izzati, Nurul Ashikin, Hafiz Omarhatta, Fadhil Faizal, Meenatharshini, Necodemus, Rizmi Azwar, Ain Nabila, Syahfizan dan Natasyha Ismail.

Majlis penutupan diakhiri dengan sesi gotong-royong serta penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan yang dianjurkan.

The Lantern Library diharap akan terus menjadi cahaya ilmu yang menyinari generasi muda di Kampung Patau-Patau 1.

Terima kasih warga Kampung Patau-Patau 1.