LABUAN: Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf Program Kewangan Islam, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menjayakan Program "Pure Hearts, Clean Souls: A Taharah Journey" di Desa Tunas Hijau pada 14 Disember 2024.
 
Program ini merupakan inisiatif pelajar Pengurusan Wakaf yang bertujuan untuk mendidik, berkongsi ilmu dan meningkatkan kesedaran tentang konsep taharah dalam kalangan murid sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Program ini mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Labuan serta Desa Tunas Hijau, Labuan.
 
Majlis perasmian disempurnakan oleh Penyelaras program dan Pensyarah Kanan FKAL di UMSKAL, Dr. Hajah Haneffa Muchlis Gazali.
 
Turut hadir Pengarah Urusan Desa Tunas Hijau, Datin Sri Dato’ Hajah Norsiah Abdullah dan Setiausaha Kehormat PERKIM Labuan, Rika Oktavia Asnam Rajo Intan dan Ketua Kumpulan, Nurul Ain Hazwani Kifle.
 
Dengan sokongan ini, program ini diharapkan dapat memberikan impak positif kepada 61 orang murid Tahap 2 SK Membedai, SK Sungai Lada, SK Patau-patau, SK Layang-layangan, SK Pekan Dua dan SK Bebuloh.
 
Penyelaras program dan Pensyarah Kanan FKAL di UMSKAL, Dr. Hajah Haneffa Muchlis Gazali memainkan peranan penting dalam menyelaras, menasihat dan memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
 
Beliau bertanggungjawab memastikan sepanjang persediaan program sentiasa dalam pemerhatiannya dan dirangka dengan cara yang betul, termasuklah cara pendekatan pelajar bersama rakan kolaborasi.
 
Dengan pengalaman dan kepakaran beliau, Dr. Hjh Haneffa berkomitmen untuk menjadikan program ini menjadi satu pengalaman yang bermakna dan berkesan bagi pelajar Kursus Pengurusan Wakaf dan juga semua peserta.
 
Dr. Haneffa mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.
 
Program ini telah diusahakan oleh 12 orang pelajar dari Tahun 3 dan 4 Kewangan Islam selama sebulan bermula dari awal bulan November sehingga hari program.
 
Pelaksanaan program ini diketuai oleh Nurul Ain Hazwani Kifle bersama ahli kumpulannya, Muhammad Khairul, Nur Humaira, Mohammad Kahrudin, Mohd Afiq, Siti Wardina, Siti Nur Farhana, Ahmad Aqil, Anis Najihah, Muhammad Nazrul, Mohamed Atiqullah, dan Wan Ashraf.
 
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah ceramah interaktif yang telah disampaikan oleh penceramah daripada JAWI, Ustaz Zaidon Burahim yang bertajuk “Bab Taharah Najis-najis dan Cara Menyucikannya”.
 
Ceramah ini memberi tumpuan kepada jenis-jenis najis dan kaedah penyucian yang betul menurut ajaran Islam.
 
Peserta juga telah terlibat dalam aktiviti praktikal dan demonstrasi yang menarik melalui aktiviti yang berkonsepkan explore race untuk mengukuhkan lagi pemahaman mereka tentang taharah melalui misi di setiap check point.
 
Program ini bukan sahaja bertujuan untuk mendidik tetapi juga untuk membina hubungan sosial dalam kalangan peserta daripada sekolah-sekolah rendah yang berbeza melalui sesi ice breaking.
 
Dengan pendekatan yang interaktif dan menarik, diharapkan peserta dapat menghayati dan mengamalkan nilai-nilai kebersihan dalam kehidupan seharian mereka, seperti dalam hadith yang dikutip dari Kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam Al Ghazali, Rasulullah SAW menjadikan kebersihan separuh dari keimanan.
 
Baginda bersabda, yang ertinya; “Kesucian itu adalah setengah dari iman.” (HR Muslim.).
 
Pihak penganjur berharap agar program ini dapat menjadi platform untuk menyebarkan ilmu dan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya taharah dalam Islam, sekaligus membentuk generasi yang lebih bersih dan berakhlak mulia.

Tamat.