DALAM usaha mewujudkan minat penternakan ayam penelur tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada telur dari luar Labuan, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah dengan kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang Labuan telah menganjurkan Seminar Pemindahan Ilmu.

Seminar itu diadakan pada 5 Disember 2024 di Smart Classroom, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan.

Lebih daripada 20 peserta terdiri daripada Lembaga Pertubuhan Peladang Labuan, yang diketuai oleh Timbalan Pengarahnya, Sahraizad Amat Sha, wakil Perbadanan Labuan, Luqmanulhakim Imbran, komuniti penternak ayam dan usahawan tempatan telah menyertai seminar itu.

Seminar pemindahan ilmu ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam Industri Penternakan Ayam Penelur di Malaysia, Sabah dan Sarawak, terutamanya dari segi pengurusan makanan ternakan ayam penelur.

Melalui perkongsian pakar veterinar merangkap konsultan berkaitan ternakan unggas antarabangsa, Dr. Chin How Cheong, para peserta didedahkan dengan gambaran keseluruahan industri penternakan ayam penelur di Malaysia merangkumi wilayah Sabah dan Sarawak, kaedah penternakan moden menggunakan teknologi terkini, strategi pengeluaran telur berterusan dan teknik memaksimumkan penghasilan telur berkualiti tinggi.

Sementara itu, Ketua Projek Penternakan Ayam Penelur Program Komuniti @ UniMADANI, Ooi Ai Yee turut berkongsi garismasa perlaksanaan projek yang telah dijalankan di peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau turut memberikan pendedahan berkaitan tatacara kelestarian pengurusan dedak yang berkualiti tinggi, bagi memperkayakan kepelbagaian kandungan dedak ayam yang sedia ada di pasaran.

‘Saya berharap program ini dapat menjadi platform untuk meluaskan lagi jaringan kerjasama antara fakuti dan komuniti penternak ayam penelur di masa akan datang,”katanya.

Program ini mendapat sambutan hangat dan menunjukkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkasa sektor penternakan, yang bukan sahaja penting dari segi ekonomi, tetapi juga dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan untuk penduduk WP. Labuan.

Terima kasih semua.

Tamat.