LABUAN: Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf daripada program Kewangan Islam, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menjayakan program “Little Halal Heroes” yang diadakan di Dewan Surapit, Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan, pada 8 Januari 2025.

Mereka terdiri daripada 10 orang mahasiswi iaitu Nazatul Insyirah Hasirin, Nurul Shasha Fazillah, Nur Hazirah Shazwani, Siti Nurhayatul Fazella Asri, Nuraina Ja’aib, Syifaa Rainul, Ariana, Majrah Manan, Nur Aisyahtul Ain Razid dan Nur Azwani Farhana Rahman.

Program “Little Halal Heroes” ini merupakan hasil kerjasama antara UMSKAL di bawah program SULAM dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) serta Syarikat Rancha-Rancha Aerated Water.

Program ini melibatkan 76 murid yang terdiri daripada murid Tahun 5 dan Tahun 6 SK Layang-Layangan yang turut disertai oleh Guru Pembimbing dan Unit Panitia Agama Islam sekolah itu.

Tujuan program ini dijalankan adalah untuk memberikan pendedahan awal terhadap konsep halal dalam makanan di samping meningkatkan pengetahuan mereka dengan maksud sebenar halal dalam makanan.

Program “Little Halal Heroes” juga memberikan manfaat kepada murid dengan memastikan setiap peserta didedahkan kepada kelebihan memakan makanan dan meminum minuman yang halal iaitu salah satunya adalah untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Selain itu, program ini membantu peserta untuk lebih berhati-hati dalam memilih makanan yang diambil agar tidak memakan makanan yang haram.

Menerusi program ini, murid SK Layang-Layangan juga boleh mengaplikasikan ilmu yang mereka perolehi mengenai konsep halal dalam makanan ke dalam kehidupan mereka.

Program ini dimulakan dengan nyanyian lagu “Negaraku” dan “Maju dan Sejahtera”, diikuti oleh bacaan doa oleh murid tahun enam, Yu’afarez Nawfal Yusnizam.

Program ini dirasmikan oleh pengarah program, Nazatul Insyirah Hasirin.

Ceramah yang disampaikan oleh wakil PERKIM, Ustaz Nik Muhamad Fazli Nik Abdul Razak yang bertajuk “Makanan Halal Lagi Baik” dapat memberikan ilmu pengetahuan tambahan kepada setiap peserta agar mereka dapat mengambil bahagian dalam aktiviti–aktiviti yang diadakan selepas sesi ceramah serta dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Selain daripada sesi ceramah, terdapat juga beberapa aktiviti yang dilaksanakan bagi meningkatkan lagi pengetahuan peserta mengenai konsep makanan halal.

Aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan termasuklah “BINGO”, Radio Rosak, “Think Fast!”, dan “Mix & Match” Logo Halal.

Penyelaras Kursus Pengurusan Wakaf, Dr. Hajah Haneffa Muchlis Gazali juga memainkan peranan sebagai penasihat program bagi memastikan program “Little Halal Heroes” ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Dr. Hajah Haneffa turut menyampaikan cenderamata kepada Guru Besar SK Layang-Layangan, Shamsuria Ebni atas kesudian menjadi rakan kolaborasi bagi program ini.

Pihak penganjur berharap agar program yang dilaksanakan ini akan dapat memberikan manfaat kepada para peserta yang terlibat.

Tamat.