Pelajar dari Kursus Pengurusan Wakaf Program Kewangan Islam, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) telah berjaya melaksanakan program 'Revive! Little Ibadah Explore di Tadika PASTI Ibnu Sina, Layang-Layangan pada 7 Januari 2025.

Program ini merupakan inisiatif pelajar Kursus Pengurusan Wakaf yang bertujuan untuk berkongsi ilmu dalam mengasahkan lagi cara solat dan wudhuk yang betul dalam kalangan pelajar PASTI berkenaan.

Program ini telah mendapat kerjasama daripada pihak Tadika PASTI Ibnu Sina yang diketuai oleh Ketua Guru PASTI Ibnu Sina, Cikgu Habibah Tamrin dan Cafe Azxanur.

Cafe Azxanur telah menyumbangkan sebanyak 40 biji kuih untuk program berkenaan.

Selain itu, program ini telah melibatkan 35 pelajar Tadika PASTI Ibnu Sina untuk mengikuti aktiviti dalam pemantapan cara solat dan wudhuk serta menyertai explore race.

Turut hadir Penyelaras program dan Pensyarah Kanan Dr. Hajah Haneffa Muchlis Gazali dan Ketua Kumpulan, Mohamad Kamil Hanif.

Kamil Hanif berharap agar program yang telah berjaya dilaksanakan ini memperoleh kesan yang positif kepada pelajar Tadika PASTI Ibnu Sina di mana mereka dapat mempraktikan cara solat, bacaan solat beserta mengambil wudhu yang betul dalam kehidupan seharian mereka.

Pensyarah Kanan Dr. Hajah Haneffa Muchlis Gazali memainkan peranan yang amat penting dalam menjayakan program ini di mana beliau sentiasa mengambil berat agar program dijalankan secara teratur dan betul serta memastikan hubungan antara pelajar serta rakan kolaborasi berjalan dengan baik.

Program ini diusahakan oleh 10 orang mahasiswa tahun akhir Kewangan Islam yang mula menjalankan program pada bulan November 2024 sehingga hari program dilaksanakan.

Pelaksanaan program ini diketuai oleh Mohammad Kamil Hanif bersama Ahli kumpulannya iaitu Muhammad Muslim, Muhammad Arif Farhan, Salman, Shahrulnizam, Aezat Emir, Nur Airisya, Amanda Maisarah, Ainun Soleha dan Nurul Suhada.

Program dijalankan bermula pada pukul 8 pagi dengan sesi ‘ice breaking’ dan ceramah mengenai cara-cara solat dan wudhuk yang disampaikan oleh penceramah jemputan bertauliah, Ustaz Ahmad Fariz dari SK Kerupang WP Labuan.

Dalam ceramah beliau memfokuskan cara solat dan bacaan yang tepat seperti cara takbiratulihram, rukuk, sujud dan duduk tahiyat serta cara mengambi, wudhuk yang tepat.

Turut diadakan aktiviti explore race yang dilaksanakan di pantai Layangan di mana peserta menyertai 5 jenis permainan yang mana kelima-lima permainan itu adalah berkaitan dengan pengisian dalam ceramah.

Perkara ini dilakukan bagi menguji semula kefahaman pelajar terhadap ilmu yang dikongsikan.

Antara aktiviti yang dilakukan adalah menguji ingatan peserta tentang cara-cara mengambil wudhu yang benar, cara sujud dan rukuk serta bacaan, bacaan duduk antara dua sujud beserta maksud, bacaan tahiyat akhir serta bacaan Al-fatihah.

Dengan pendekatan yang interaktif dan menarik, program ini bertujuan untuk membantu pelajar memahami, menghayati dan mempraktikkan cara solat serta wudhuk yang betul.

Melalui kaedah pembelajaran yang mudah difahami dan disesuaikan dengan keperluan pelajar, diharapkan mereka bukan sahaja dapat memperbaiki amalan ibadah mereka, tetapi juga lebih menghargai kepentingan solat dan wudhuk dalam kehidupan seharian.

Pihak penganjur optimis bahawa program ini akan menjadi satu platform yang bermanfaat untuk menyebarkan ilmu agama secara lebih meluas, seterusnya menggalakkan pelajar untuk mengamalkan solat dan wudhuk dengan cara yang tepat mengikut syariat Islam.

Hal ini amat penting kerana ibadah yang dilakukan dengan sempurna bukan sahaja meningkatkan keimanan seseorang, tetapi juga membentuk disiplin diri, meningkatkan kesedaran spiritual dan memberi impak positif dalam pembentukan sahsiah diri yang unggul.

Semoga usaha ini dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus berusaha memperbaiki amalan ibadah mereka.

Di samping itu, menyedarkan mereka tentang pentingnya menjadikan solat dan wudhuk sebagai sebahagian daripada rutin harian yang membawa keberkatan dalam kehidupan.

Tamat.