WP LABUAN, 27 Mei 2026 (RABU) – Program Serambi Aidiladha UMSKAL 1447H/2026M telah berlangsung dengan jayanya di pekarangan Masjid Al-Hikmah UMSKAL bermula seawal pukul 7.30 pagi hingga 4.00 petang.
 
Program dimulakan dengan Solat Sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Muhd Akhmal Danial Askandar Myirza manakala bilal Mohd Iskandar Rizilianshah Rizman, kedua-duanya merupakan Imam Muda Masjid Al-Hikmah UMSKAL.
 
Ibadah korban melibatkan seekor sapi dan seekor kambing telah disempurnakan oleh Ustaz Alfaiz Darsono dan Ustaz Mohd Khairul Isham Abd Latiff.
 
Turut hadir memeriahkan program ialah Dr Mohamad Azmi Abdullah, Pengerusi Masjid Al-Hikmah UMSKAL, Zamri Mohammad Tuah, Ketua Pentadbiran Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, para pensyarah, kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi UMSKAL.
 
Pegawai Hal Ehwal Islam, Ustaz Alfaiz selaku penyelaras program memaklumkan bahawa program ini diadakan bagi menyemarakkan syiar Islam, memupuk semangat kerjasama serta mengeratkan silaturahim antara warga kampus dan komuniti setempat.
 
Selain ibadah korban, program turut melibatkan aktiviti gotong-royong memasak, jamuan serta pengagihan daging korban.
 
Program dianjurkan Sektor Hal Ehwal Islam dan Masjid serta AJK Masjid.
 
Terima kasih staf dan pelajar yang berkorban masa, tenaga, idea dan kewangan.
 
Hanya Allah dapat membalas jasa baik anda semua.