LABUAN: Dengan aspirasi untuk memenuhi keperluan pengeluaran telur ayam tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada telur ayam dari luar Labuan, sekumpulan pensyarah daripada Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah telah menjalinkan satu kerjsama dengan komuniti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Labuan Utara melalui Projek Penternakan Ayam Penelur (dikenali dengan singkatannya, PPAP@UniMADANI). Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI di bawah seliaan Dr. Elia Godoong, Pengarah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM), Universiti Malaysia Sabah.

Pada akhir bulan Ogos 2024 yang lalu satu pertemuan telah diadakan oleh ahli projek PPAP@UniMADANI, UMS diketuai oleh Cik Ooi Ai Yee dan ahli-ahlinya AP. Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, Dr. Siti Nur Aqilah dan Cik Minah Japang, dengan Tuan Haji Bungso Haji Mohammad selaku pengerusi ahli jemaah pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Labuan Utara bagi mendapatkan cadangan ahli pertubuhan peladang dan meninjau cadangan tapak ladang ternakan yang bersesuaian. Hasil daripada perbincangan tersebut, pada 23 September satu persetujuan kerjasama telah dimenterai di antara PPAP@UniMADANI dengan Encik Sittha Ranjanan selaku ahli PPK Labuan Utara, sebagai penternak ayam penelur bagi mewakili komuniti Kg Bukit Kuda.

Matlamat utama projek rintis komuniti penternakan ayam penelur ini adalah mewujudkan ladang ternakan ayam penelur di Wilayah Persekutuan Labuan. Buat masa kini belum ada ladang ternakan ayam penelur secara komersil di Wilayah Persekutuan Labuan yang berupaya menampung permintaan sekurang-kurangnya sejuta biji keperluan telur ayam sebulan di pasaran tempatan. 

Selain daripada itu, projek ini juga berhasrat untuk menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti tempatan melalui pemilihan komuniti dan tapak ladang ternakan yang sesuai di Labuan. Dengan sokongan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Verterinar serta Lembaga Pertubuhan Peladang Labuan, hasrat mendirikan ladang penternakan ayam penelur dapat dibangunkan mengikut amalan penternakan yang berdaya tahan, lestari, dan patuh kepada piawaian kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan.

Di samping itu, projek ini juga melibatkan ekperimentasi pemindahkan ilmu berkaitan pembangunan formulasi dedak resipi baru untuk menambah penghasilan telur ayam dan meningkatkan kualiti telur ayam segar. Projek pemindahan ilmu ini turut memberikan penekanan kepada pembangunan modal insan melalui penyediaan peluang pekerjaan dan latihan untuk penduduk setempat. Dengan ini, projek ini diharapkan dapat memberikan sumbangan yang signifikan kepada sosioekonomi Labuan, sekaligus meningkatkan tahap keselamatan makanan di wilayah ini. Salah satu aktiviti pemindahan ilmu di bawah projek ini adalah penganjuran satu seminar berkaitan aspek ternakan ayam. Penganjuran Poultry Seminar ini bakal dianjurkan bersama oleh Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Lembaga Pertubuhan Peladang W.P.Labuan. Penganjuran seminar ini merupakan hasil daripada pertemuan ketua projek PPAP@UniMADANI dengan Cik Catherina Edward, pengarah LPP dan En. Sahraizad bin Amat Sha, selaku timbalan pengarah LPP yang telah diadakan pada 14 Oktober 2024 yang lalu.

Tamat.