6 MEI 2024 (ISNIN) - Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Cawangan Labuan - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Cawangan Labuan telah mengadakan program Agihan Sarapan Percuma Coffee To Go di Ruang Legar Menara UMS Kampus Antarabangsa Labuan.

Program yang bermula pukul 7.30 pagi itu dirasmikan oleh Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohammad Tuah yang mewakili Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abd Hamid.

Turut hadir wakil Penolong Pengurus PPZ - MAIWP Cawangan Labuan, Syahmi Saiful dan Ketua Sektor Hal Ehwal Pelajar, Nur Iman Reedzal.

Hadir sama Penyelaras Program, Noreffaizza Jali, Pengarah Program Jalinan Kasih Siswa, Muhammad Fauzi Lilit Suhendar dan Timbalan Presiden KAL Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohammad Shazwan Shah Mahrof serta barisan MPP.

Zamri berkata Agihan Sarapan Percuma Coffee To Go adalah inisiatif UMSKAL dalam membantu mengurangkan kos perbelanjaan pelajar UMSKAL.

Di samping itu, katanya, mewujudkan gaya hidup sihat dan menjaga tahap kebajikan pelajar di dalam kampus.

Beliau berkata program yang dijalankan dalam tempoh 10 hari itu mensasarkan jumlah penerima seramai 1,000 orang pelajar UMSKAL.

“Program di bawah Jalinan Kasih Siswa ini mensasarkan penerima dalam kalangan pelajar UMSKAL,”katanya.

Zamri mengucapkan setinggi tinggi penghargaan kepada Pusat Pengurusan Zakat Cawangan Labuan atas sumbangan dana Wakalah yang diberikan.

Sekalung penghargaan kepada Sektor Hal Ehwal Pelajar UMSKAL, Pembimbing Rakan Siswa dan Majlis Perwakilan Pelajar UMSKAL yang menjayakan program Jalinan Kasih Siswa yang kali pertama diadakan hasil sumbangan Dana Wakalah.

Semoga sumbangan ini dapat memberi impak positif kepada seluruh mahasiswa UMSKAL.

Pihak UMSKAL sentiasa berusaha menjaga kebajikan pelajar.

Agihan akan diadakan pada setiap Isnin dan Jumaat.

Tamat.