Ucapan Dekan Fakulti Komputeran Dan Informatik, Profesor Madya Ts Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi.
Sempena Majlis Perasmian ‘FKI Open Day’ 8 NOV 2024.
Perasmian ‘Open Day’ Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) meraikan Ulang Tahun Ke-25 penubuhan fakulti yang telah banyak menyumbang kepada pencapaian akademik dan pembangunan teknologi maklumat di UMS.
‘FKI Open Day’ ini diadakan untuk memperkenalkan FKI dengan lebih dekat melalui kepelbagaian program akademik, inovasi dan pencapaian fakulti kepada masyarakat awam serta industri.
Melalui program ini, kami berharap dapat membina jaringan yang lebih kukuh di antara pelajar, pensyarah, alumni, agensi-agensi kerajaan dan pihak industri, yang sekaligus dapat mewujudkan peluang kerjasama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.
Fakulti Komputeran dan Informatik dulu dikenali sebagai Sekolah Sains Informatik Labuan (SSIL) ditubuhkan pada Mei 1999. Ia beroperasi di Kampus Antarabangsa Labuan sehingga kini.
Pada peringkat awal penubuhan, SSIL hanya menawarkan 2 program pengajian sahaja di UMSKAL, namun pada 1 Jun 2014, SSIL telah dinaiktaraf kepada Fakulti Komputeran dan Informatik.
Melalui penaik tarafan ini, dua buah program dari Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat (SKTM) UMS Kampus Induk telah digabungkan di bawah FKI.
Pada hari ini, FKI mempunyai 5 program iaitu 2 program bidang Teknologi Maklumat di UMSKAL dan 3 program bidang Sains Komputer di UMSKK.
FKI turut menawarkan program pascasiswazah dalam penyelidikan dan kerja kursus termasuk mixed mode untuk memberi peluang kepada pelajar untuk mengasah kemahiran dan mendalami bidang kepakaran masing-masing.
FKI telah berjaya menghasilkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi tetapi juga mempunyai kebolehpasaran yang amat tinggi dalam sektor pekerjaan.
Sebagai sebuah fakulti yang komited terhadap kecemerlangan akademik dan inovasi, FKI telah mencapai pelbagai kejayaan sepanjang 25 tahun penubuhannya. Antaranya adalah pencapaian fakulti akademik iaitu:
Sehingga tahun 2023, FKI telah berjaya melahirkan graduan prasiswazah seramai lebih kurang 4,643 dan graduan postgraduate seramai 104.
Peratusan Kebolehpasaran Graduan FKI berada pada tahap yang membanggakan iaitu melebihi 95% sejak tiga tahun terakhir, dan sekurang-kurangnya 80% mendapat pekerjaan atau sedang menyambung pengajian.
Malah, alumni FKI juga telah berjaya melakar kecemerlangan dalam pelbagai bidang teknologi maklumat di dalam dan luar negara, menjadi bukti bahawa FKI mampu melahirkan graduan berdaya saing dan berwawasan.
Antaranya ialah:
Pelajar alumni prasiswazah Hong Gin Theng yang kini merupakan salah seorang Pengurus di Airasia.
Pelajar alumni pascasiswazah antarabangsa FKI, Shi Jinmei merupakan Dekan dan Profesor di School of Information Engineering, Hainan Vocational Science and Technology University, China.
Pencapaian seperti ini menjadi inspirasi dan motivasi kepada pelajar lain untuk turut mencapai kecemerlangan.
Pencapaian dalam bidang penyelidikan dan penerbitan yang telah diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, FKI juga telah berjaya meraih pelbagai anugerah inovasi melalui penyertaan dalam pertandingan teknologi maklumat seperti:
i) Pemenang podium bagi Huawei ICT Competition Global Final sejak 2021.
ii) Penubuhan Huawei ICT Academy Support Centre (IASC) yang pertama di Malaysia pada 1 Disember 2022 sebagai sebahagian daripada usaha Huawei untuk memperkukuhkan infrastruktur pendidikan dan latihan bagi Akademi ICT di Malaysia.
iii) FKI juga mempunyai MyCybersecurity Clinic (di kampus induk UMS KK) kerjasama dengan Cybersecurity Malaysia yang mana menawarkan perkhidmatan pemulihan data dan sanitasi data kepada semua warga universiti, juga jabatan dan agensi luar.
iv) Pensyarah FKI telah dianugerahkan sebagai salah seorang Top 3 Saintis Sabah 2023
v) Pensyarah FKI turut disenaraikan dalam World's Top 2% Scientist Single Year Achievement and Career Long Achievement by Elsevier BV, Stanford University 2024 dan beberapa tahun sebelumnya.
vi) Dari segi inovasi, FKI juga pernah memenangi beberapa anugerah inovasi antarabangsa dan kebangsaan contohnya melalui projek Smart Farming dan Cybersecurity telah memenangi anugerah antarabangsa di Canada dan Germany.
Beberapa ahli akademik FKI telah dianugerahkan geran penyelidikan daripada pelbagai badan pembiayaan berprestij, yang mana ini mencerminkan keupayaan fakulti dalam menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi.
Program ‘FKI Open Day’ pada 8 – 9 Nov 2024 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang bertujuan untuk menyampaikan kepada masyarakat umum apa yang ditawarkan di FKI.
Aktiviti-aktiviti ini merangkumi pameran projek FYP pelajar, kursus-kursus teknologi, sesi Tech Talk, Hari Bertemu Pelanggan, pameran AR/VR, pameran Green Screen, e Sport Battle Arena, permainan minda dan cabutan bertuah.
Setiap usaha yang dicurahkan amatlah dihargai dan ia adalah bukti dedikasi serta semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan warga FKI..
Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak UMSKAL yang terus memberikan sokongan kepada FKI.
Tahniah kepada semua warga FKI.
Tamat.