AWANG Mohd Syafie Mohd Kiflee membuktikan kehebatannya apabila memenangi dua pingat emas untuk membantu kontinjen Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) meraih tiga emas di Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Sabah (SUIPTS) Kali Ke-4 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan UMS, Kota Kinabalu pada 12 – 15 Jun lalu.

Dua emas yang diperolehi Awang Mohd Syafie menerusi acara Catur kategori Rapid dan kategori Blitz.

Satu lagi pingat emas disumbangkan seorang lagi pemain catur, Mc Mandy Jasmin @ Steve dalam kategori Blitz Wanita.

Sukan catur terus cemerlang menerusi Alif Azali yang memenangi pingat perak dalam acara Kategori Blitz Lelaki.

Kontinjen UMSKAL juga membawa pulang empat pingat gangsa menerusi acara Catur Kategori Rapid Lelaki, gandingan beregu lelaki acara badminton menerusi Mohd Azam Mad Suliman dan Owen Omri Mendrikus.

Gandingan Ten Ming Ru dan Ley Yieng Ling turut memenangi pingat gangsa da;am acara badminton beregu wanita.

Pingat gangsa keempat diperolehi menerusi pasukan Bola Tampar Lelaki.

Dengan kejayaan itu, Kontinjen UMSKAL menduduki tempat ketiga daripada 19 pasukan yang mengambil bahagian pada tahun ini.

Lebih manis, pasukan catur UMSKAL muncul juara keseluruhan SUIPTS Kali Ke-4 2025 selepas memperoleh 3 emas, 1 perak dan 1 gangsa.

Seramai 65 atlet UMSKAL yang diketuai Pengarah UMSKAL, Profesor Technologists (Ts). Dr. Shamsul Bahari Shamsudin selaku Ketua Kontinjen menyertai tujuh acara iaitu Catur, Badminton, Bola Tampar, Bola Jaring, Bola Sepak, E-Sports dan Petanque.

Beliau mengucapkan tahniah dan syabas serta terima kasih kepada semua atlet yang beraksi cemerlang di kejohanan berkenaan.

Profesor Ts. Dr. Shamsul Bahari turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Ketua Sektor Sukan & Rekreasi UMSKAL, Rozeyatie Ibrahim selaku Timbalan Ketua Kontinjen.

Terima kasih dan penghargaan juga ditujukan kepada barisan jurulatih yang memastikan Kontinjen UMSKAL berjaya di kedudukan ketiga terbaik pada tahun ini.

Profesor Ts. Dr. Shamsul Bahari berharap pelajar UMSKAL akan meneruskan momentum kejayaan di kejohanan akan datang.

Teruskan menjalani latihan dengan gigih bagi memastikan UMSKAL berada di kedudukan terbaik di setiap acara yang disertai pada masa akan datang.

Pada edisi kali ini, kontinjen UMS Kota Kinabalu muncul juara manakala Politeknik Kota Kinabalu di tempat kedua.

Syabas Buat Atlet UMSKAL.