LABUAN, 25 JUN 2025 - Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Profesor Technologists (Ts). Dr. Shamsul Bahari Shamsudin menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent – LOI) antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Bursa Malaysia di Bilik Eureka, Bangunan Menara, UMSKAL, kelmarin.

Menerusi LOI itu, ia menandakan permulaan kerjasama strategik dalam memperkukuh literasi kewangan dan pendidikan pelaburan praktikal dalam kalangan mahasiswa di seluruh negara.

Ia turut diadakan sempena ulang tahun ke-10 Pertandingan Perdagangan Saham (Stock Trading Competition – STC) UMS, yang dianjurkan oleh Kelab Kewangan Antarabangsa, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL).

Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, inisiatif ini telah memberikan pendedahan kepada ribuan pelajar terhadap pasaran modal dan proses membuat keputusan kewangan sebenar.

LOI ini merupakan satu legasi penting buat UMS, memperkukuh peranan university sebagai peneraju dalam pendidikan kewangan berfokuskan pelajar.

Sepanjang sedekad yang lalu, UMS telah menjadi perintis kepada aktiviti pembelajaran berasaskan pelaburan seperti simulasi perdagangan, kempen literasi kewangan, ceramah pelaburan dan pertandingan inovasi yang bertujuan menyediakan pelajar untuk menghadapi realiti kewangan semasa.

Kerjasama bersama Bursa Malaysia ini turut merangkumi dua inisiatif utama iaitu penubuhan Bursa Young Investor Club (BYIC) di UMSKAL dan penyertaan aktif UMS dalam Bursa Inter-Varsity Stock Challenge (BISC) 2025.

BYIC akan menjadi platform pelajar bagi menganjurkan seminar pelaburan, permainan simulasi, pertandingan dan aktiviti berteraskan industri kewangan, dengan sokongan penuh dari LifeChamp Sdn. Bhd., pengurus program rasmi yang dilantik oleh Bursa Malaysia.

Prof. Ts. Dr. Shamsul Bahari menegaskan bahawa majlis ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan komitmen bersama untuk membina masa depan lebih cerah bagi pelajar, industri dan masyarakat.

Katanya, sekurang-kurangnya 100 pasukan pelajar UMS akan digerakkan bagi menyertai BISC 2025, yang dibimbing mentor industri dan penasihat fakulti.

Turut hadir Presiden Kanan, Pembangunan Kapasiti & Perhubungan Broker Bursa Malaysia, AA Deepa, Dekan FKAL, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, Pengurus Kanan, Pembangunan Kapasiti & Perhubungan Broker, Saiful Azmi Johan, Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Antarabangsa Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Dr. Nooralisa Mohd Tuah dan wakil dari CGS International, Ronnie Chai dan Ananda Wong.

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan LOI ini, UMS komited untuk menyediakan kemudahan dan penasihat fakulti iaitu Pensyarah Kanan Pelaburan Program Kewangan Antarabangsa FKAL, Dr. Aminah Shari bagi menyokong program BYIC di kampus.

Sementara itu, Bursa Malaysia dan LifeChamp akan membekalkan kandungan latihan, teknologi dan rangkaian mentor industri bagi memastikan keberkesanan dan impak berterusan kepada pelajar.

Kerjasama ini menjadi contoh terbaik kepada model perkongsian strategik antara industri dan akademia yang mengutamakan pembangunan negara, ketahanan kewangan serta peningkatan keupayaan belia.

Semoga Bermanfaat.