Popular Articles

Recent Stories

UMS Semarakkan Semangat ‘The Brain of Borneo’ Melalui Karnival Kokurikulum Bertemakan Warna-Warni Borneo

DISAMBUT MESRA… Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, disambut sebaik tiba di Dewan Canselor UMS bagi merasmikan Karnival Kokurikulum Semester 2 Sesi 2025/2026.

– Kredit foto: Pusat Komunikasi Korporat UMS.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh agenda pembangunan mahasiswa holistik menerusi penganjuran Karnival Kokurikulum Semester 2 Sesi 2025/2026 yang menghimpunkan lebih 2,000 pelajar yang mengikuti Kursus Kokurikulum Berkredit.

Karnival bertemakan “Warna-Warni Borneo: Harmoni dalam Kepelbagaian” yang berlangsung di Dewan Canselor UMS pada Sabtu mengetengahkan aspirasi perpaduan, keterangkuman serta nilai kemampanan berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), dengan para pelajar memperagakan pelbagai pakaian etnik Borneo sebagai simbol penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, ketika merasmikan karnival berkenaan berkata beliau berbangga dengan komitmen serta pencapaian mahasiswa yang mempamerkan kematangan menerusi persembahan, kreativiti dan kemahiran komunikasi sepanjang program berlangsung.

Pada majlis sama, beliau turut mendeklamasikan puisi bertajuk Mahasiswa Nadi Negara, nukilan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP), Profesor Madya Dr. Jurry Foo, sebagai suntikan inspirasi kepada mahasiswa agar terus membentuk jati diri sebagai graduan holistik yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Menurut beliau, Kursus Kokurikulum Berkredit yang dilaksanakan PKPP merupakan kursus teras wajib bagi semua pelajar UMS dan dinilai mengikut piawaian Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), dengan penekanan terhadap pembangunan sahsiah, kepimpinan, integriti, disiplin, kemahiran insaniah serta tanggungjawab sosial.

Wan Awra Pengarah Karnival Kokurikulum Semester 2
Sesi 2025/2026 ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis itu – Kredit foto: Pusat Komunikasi Korporat UMS.

Sepanjang sehari penganjuran karnival itu, pelbagai hasil dan pencapaian aktiviti pelajar dipamerkan, termasuk program latihan kepimpinan, aktiviti dalam dan luar kampus serta Program Khidmat Komuniti UMS SISWA PRIHATIN (UMS-SPRINT) yang berteraskan SDG, ESG dan Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM).

Selain itu, pelaksanaan aktiviti berkaitan kesihatan planet dan inisiatif eko-kampus turut menyerlahkan komitmen UMS dalam membudayakan pembangunan mampan dalam kalangan mahasiswa.

Dalam perkembangan sama, PKPP UMS turut menandatangani Surat Niat Kerjasama (LoI) bersama Borneo Daily Bulletin bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam meningkatkan keterlihatan aktiviti pelajar dan program pembangunan mahasiswa menerusi liputan media.

Sementara itu, Pengarah Karnival, Wan Awra, melahirkan rasa syukur atas peluang menerajui program berkenaan di bawah bimbingan jurulatih Dr. Mohd Juhar Harun, sambil menyifatkan pengalaman itu sebagai platform berharga dalam memperkasa kepimpinan mahasiswa.

Sebagai simbolik perasmian dan sokongan terhadap Program Sinergi Hijau UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim turut menyempurnakan penanaman Pokok Rambutan Kelapa di kawasan sekitar Dewan Canselor.

PKPP akan terus memainkan peranan memperkukuh pembangunan modal insan selaras dengan visi dan misi UMS sebagai “The Brain of Borneo”, sekali gus melahirkan graduan berdaya saing, berintegriti dan berjiwa masyarakat.

KARNIVAL KOKURIKULUM UMS TONJOL WARNA-WARNI BORNEO, PERKASA PEMBANGUNAN HOLISTIK MAHASISWA

Infografik karnival

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menganjurkan Karnival Kokurikulum Berkredit (KARKUMS) Semester 2 Sesi 2025/2026 pada 27 Jun ini di Dewan Canselor UMS sebagai platform memperkukuh pembangunan mahasiswa secara holistik menerusi penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum.

Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS, Profesor Madya Dr Jurry Foo berkata karnival yang berlangsung dari 7.30 pagi hingga 5 petang itu menghimpunkan pelbagai pengisian menarik berteraskan pembangunan sahsiah, bakat dan kemahiran insaniah mahasiswa.

Beliau berkata penganjuran karnival berkenaan juga menjadi wadah penting dalam membentuk mahasiswa seimbang melalui penerapan nilai kepimpinan, pemikiran kritis, semangat kerjasama dan daya saing, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan modal insan holistik.

“Bertemakan ‘Warna-warni Borneo’, karnival ini mengetengahkan keunikan kepelbagaian etnik, budaya dan warisan Borneo, di samping memupuk perpaduan, toleransi serta rasa hormat terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan warga universiti.

“Tema ini turut mencerminkan aspirasi slogan UMS, ‘The BRAIN of BORNEO’, yang menekankan pembangunan mahasiswa cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah kreatif, berbudaya dan berdaya saing di peringkat global,” katanya kepada Borneo Daily Bulletin, hari ini.

Menurut beliau, antara aktiviti yang akan diadakan sepanjang karnival ialah Pameran Banting Kursus Mengikut Komponen, KARKUMS Got Talent, Pertandingan Duta Warna-warni Borneo, pertandingan melukis batik, arm wrestling serta persembahan unit beruniform.

Katanya, pelbagai aktiviti itu dirangka bagi mencungkil bakat mahasiswa, di samping memperkukuh kemahiran insaniah serta membina jati diri pelajar melalui pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah.

Beliau berkata karnival yang turut dibuka kepada orang awam itu diyakini mampu menjadi medium berkesan dalam memupuk perpaduan, memperkasa potensi mahasiswa dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menyumbang ke arah kecemerlangan universiti serta pembangunan masyarakat.

Karnival berkenaan dijangka menjadi tumpuan warga kampus dan masyarakat setempat dengan pelbagai pameran, persembahan budaya serta aktiviti interaktif yang menampilkan warna-warni warisan Borneo dan bakat mahasiswa UMS.

Takwim Akademik Semester 2 Sesi 2018/ 2019

Unpublished

Jadual Kuliah Kokurikulum Semester 2 Sesi 2018/ 2019

Unpublished