LABUAN – Pasukan bola jaring Excel’s Angels Sekolah Menengah Sains Labuan (SMSL) muncul juara Pusingan Kelayakan Kejohanan Bola Jaring Sekolah Berasrama Penuh Zon SQL Tahun 2026 yang telah berlangsung dari 10 hingga 12 April 2026 di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).
Excel’s Angels berjaya menewaskan lima buah sekolah iaitu SM Sains Sabah (SMESH), SM Sains Lahad Datu (SHIELD), SM Sains Kuching (SAINSKU), SM Sains Miri (SAINSRI) dan SM Sains Kuching Utara (SAKURA).
Lebih membanggakan lagi, pasukan Excel’s Angels turut membolot keempat-empat anugerah khas iaitu Anugerah Penjaring Terbanyak dimenangi Putri Kynthia Elysia Hendriksen Panai, Nur Alisya Zahra Mohd Al-Amin (Anugerah Penyerang Terbaik), ketua pasukan, Nurin Batrisyia Darman (Anugerah Penghadang Terbaik) dan Adiba Puteri Segul (Anugerah Pemain Terbaik).
Masing-masing menerima pulang trofi anugerah khas dan sijil pencapaian.
Pengurus pasukan, Atikah Ali berkata, kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa jurulatih yang sentiasa membimbing dan memberi semangat kepada anak-anak SMSL, iaitu Sunarni Suyut.
Bukan itu sahaja, dorongan serta dedikasi yang tinggi daripada guru pengiring, iaitu beliau sendiri dan Cikgu Nurisfarini Sulong merangkap penyelaras kejohanan pada tahun ini turut menyumbang kepada kejuaraan pasukan Excel’s Angels ini.
Pada kejohanan berkenaan, pasukan Excel’s Angels telah memenangi kelima-lima perlawanan dengan menewaskan SHIELD 11:4 (pusingan pertama), SMESH 15:2 (pusingan kedua), SAINSRI 13:4 (pusingan ketiga), 10:6 SAINSKU (pusingan keempat) dan SAKURA 19:1 (pusingan kelima).
Dengan kejayaan itu, pasukan SMSL membawa pulang piala kejuaraan, medal dan sijil pencapaian.
Kejayaan itu juga membuktikan pasukan Excel’s Angels yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima juga mampu merangkul kejuaraan atas dasar komitmen yang tinggi dalam pasukan dan usaha gigih dalam mengharumkan nama sekolah ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.
“Terima kasih juga diucapkan kepada seluruh warga sekolah, terutamanya kepada Pengetua SM Sains Labuan, A. Zailani A. Mumin dan Penolong Kanan Kokurikulum, Saidi Ismail, guru-guru serta ibu bapa pemain yang sentiasa memberikan kepercayaan kepada anak-anak SMSL dan sokongan berterusan kepada pemain bola jaring Excel’s Angels,”ujar penyelaras kejohanan, Nurisfarini Sulong.
Tempat kedua diraih SM Sains Lahad Datu, ketiga, SM Sains Sabah diikuti SAINSRI, SAKURA dan SAINSKU masing-masing di tempat keempat, kelima dan keenam.
Kejohanan itu dianjurkan Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Wilayah Persekutuan Labuan (LANA) yang bertujuan untuk memberi pendedahan sukan bola jaring kepada pelajar sekolah berasrama penuh secara berterusan di samping mencari pasukan terbaik zon SQL untuk menjadi wakil bagi peringkat kebangsaan yang bakal diadakan dalam bulan Jun tahun ini.
Majlis penyampaian hadiah dan sijil kemenangan telah disempurnakan oleh Pengarah UMSKAL, Profesor Dr. Shamsul Bahari Shamsudin dan Pengetua SMSL, A. Zailani A. Mumin sebagai sekolah pengelola pada tahun ini.
Turut hadir, Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan Bola Jaring WP Labuan, Rosenani Farera Michael dan Pembantu Operasi Sukan UMSKAL, Jais Osman.
Dari kiri (Barisan belakang) - Putri Kynthia, Nur Fatilah, Nurin Batrisyia, Jais Othman, Prof. Dr. Shamsul Bahari, A. Zailani A. Mumin, Saidi Ismail, Nazmi Ramlee, Nurisfarini Sulong, Atikah Ali, Azrieana Aanisah, Nurhana.
(Barisan hadapan)- Fadhiya Zafeera, Alisya Zahra, Izzy Fatisha, Aneesa Syahira, Adibah Puteri, Adriana Keisha dan Aisyah Rifqah.
Tahniah Excel’s Angels.
Tamat.
