Wilayah Persekutuan Labuan sebagai sebuah pusat kewangan antarabangsa, sedang mengalami perubahan pesat dalam landskap perniagaannya akibat daripada perkembangan ekonomi digital.
Teknologi dan digitalisasi kini memainkan peranan penting dalam transformasi perniagaan di Labuan, mengubah cara perniagaan dijalankan dan mencipta peluang baharu bagi pertumbuhan ekonomi.
Pensyarah Kanan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Dr. Jaludin Janteng (gambar) berkata, perkembangan ekonomi digital di Labuan telah membuka peluang baharu bagi syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa.
Beliau menegaskan bahawa ekonomi digital bukan sahaja memudahkan urusan perniagaan, tetapi juga meningkatkan daya saing Labuan sebagai hab kewangan.
Katanya, menerusi penggunaan teknologi digital, perniagaan di Labuan dapat mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan. "Platform digital membolehkan syarikat untuk memperluaskan jangkauan pasaran mereka tanpa perlu bergantung kepada kehadiran fizikal, yang penting dalam persekitaran perniagaan moden,"ujarnya yang berasal dari Kampung Patikang Laut, Keningau, Sabah.
Di Labuan, kata beliau, peralihan ke arah ekonomi digital telah menyaksikan peningkatan penggunaan platform e-dagang, fintech dan teknologi kewangan lain yang membolehkan transaksi yang lebih cepat dan efisien.
Dr Jaludin menjelaskan bahawa perkembangan ini membawa manfaat besar kepada usahawan tempatan, terutamanya dalam menarik pelaburan asing dan memajukan perniagaan mereka ke peringkat global.
Mengulas lanjut, Dr Jaludin berkata bahawa untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi digital, adalah penting bagi syarikat di Labuan untuk terus melabur dalam teknologi dan inovasi.
Beliau juga menekankan kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam menyokong pembangunan infrastruktur digital yang kukuh di pulau bebas cukai ini.
Akhir sekali, Dr Jaludin menyatakan bahawa ekonomi digital akan terus memacu transformasi perniagaan di Labuan, menjadikannya lebih kompetitif di arena global.
"Dengan inisiatif yang tepat, Labuan boleh menjadi peneraju dalam ekonomi digital, membawa manfaat besar bukan sahaja kepada perniagaan tetapi juga kepada masyarakat setempat," tambahnya.
Dr Jaludin yang juga Penyelaras Jaminan Kualiti Akademik FKAL mengajar Subjek Pengurusan Perniagaan, Pengurusan Antarabangsa, Revolusi Industri dan Kaedah Penyelidikan serta Pengurusan Risiko Kewangan Antarabangsa.
Labuan yang diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984 yang kedua selepas Kuala Lumpur mempunyai hampir 100,000 penduduk ketika ini.
Tamat.