Labuan, 20 November 2024 – Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS), telah berjaya menganjurkan program Lawatan Sambil Belajar Kategori Teras, Kepimpinan, dan Jati Diri ke tiga institusi terkemuka di Indonesia, iaitu Universitas Negeri Jakarta (UNJ), Komite Nasional Ekonomi dan Keuangan Syariah (KNEKS) Kementerian Keuangan Republik Indonesia, dan Universitas Telkom, Bandung. Program ini berlangsung selama enam hari, bermula dari 12 hingga 17 November 2024, dengan penyertaan 11 pelajar Persatuan Mahasiswa FKAL dan diiringi oleh dua pensyarah fakulti, Dr Noor Hassanah Husin dan Dr. Ricky Chia Chee Jiun.
Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh pengetahuan akademik, memantapkan nilai kepimpinan, serta meningkatkan jati diri para pelajar sebagai pemimpin masa depan. Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai platform untuk merapatkan hubungan antara FKAL dengan institusi-institusi serantau.
Di Universitas Negeri Jakarta (UNJ), rombongan telah disambut dengan mesra oleh wakil fakulti, di mana diskusi ilmiah diadakan untuk meneroka potensi kerjasama akademik antara kedua-dua institusi. Perbincangan ini turut menyentuh peluang pertukaran pelajar yang bertujuan untuk memperkaya pengalaman pembelajaran antarabangsa. Selain itu, peserta juga didedahkan kepada program pembangunan pelajar di UNJ yang menekankan aspek kepimpinan dan keusahawanan, memberikan inspirasi kepada pelajar FKAL untuk memperkasakan potensi mereka sebagai pemimpin masa hadapan.
Sementara itu, lawatan ke Komite Nasional Ekonomi dan Keuangan Syariah (KNEKS) telah membuka ruang kepada peserta untuk memahami perkembangan terkini ekonomi dan kewangan Islam di Indonesia. Taklimat yang disampaikan oleh pakar-pakar KNEKS memberikan gambaran mendalam tentang inisiatif dan dasar strategik yang dirancang untuk memacu pertumbuhan ekonomi syariah di negara tersebut. Pendedahan ini amat relevan dengan aspirasi Malaysia sebagai hab kewangan Islam global, menjadikan pengalaman ini suatu pengetahuan berharga kepada semua peserta.
Di Universitas Telkom, peserta telah mengunjungi fakulti yang memfokuskan kepada teknologi dan inovasi dalam perniagaan. Lawatan ini diikuti dengan bengkel interaktif yang menarik, di mana peserta didedahkan kepada konsep transformasi digital dan kepimpinan dalam era globalisasi. Bengkel ini bukan sahaja memberi pencerahan tentang cabaran dan peluang dalam dunia perniagaan moden tetapi juga melengkapkan pelajar dengan pandangan baharu untuk bersaing dalam dunia digital yang pesat berubah.
FKAL berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai langkah proaktif membentuk generasi pemimpin yang mampu memacu pembangunan ekonomi dan sosial serantau.
Menurut Dr. Ricky Chia Chee Jiun, lawatan ini adalah satu peluang unik untuk para pelajar memperluas pandangan mereka mengenai landskap ekonomi dan kewangan serantau. Sementara itu, Dr. Noor Hassanah Husin selaku Ketua Delegasi ke Indonesia, menekankan bahawa program ini bukan sahaja memperkukuh ilmu tetapi juga melatih pelajar dalam pengurusan diri, komunikasi, dan pemikiran strategik.
Menurut Chai Zhi Leng, Presiden Persatuan Mahasiswa FKAL merangkap Pengarah Program, lawatan ini adalah peluang yang luar biasa untuk para pelajar meningkatkan pengetahuan mereka di luar bilik kuliah.
"Program ini bukan sahaja memberikan kami pengalaman berharga dalam memahami landskap ekonomi, kewangan, dan teknologi di peringkat antarabangsa, malah mengajar kami tentang nilai kerjasama dan kepemimpinan. Kami sangat terinspirasi oleh pendekatan inovatif yang diterapkan di UNJ, KNEKS, dan Telkom Universiti, yang mampu kami jadikan contoh untuk memperkukuh visi serta misi persatuan mahasiswa FKAL di masa hadapan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada FKAL, UMS, dan semua pihak yang menyokong perjalanan ini, menjadikannya suatu realiti bagi kami semua,” ujar beliau.
Peserta juga berpeluang merasai budaya tempatan melalui aktiviti-aktiviti luar kuliah yang dianjurkan sepanjang program. Ini sejajar dengan misi FKAL untuk melahirkan graduan yang holistik, kompeten, dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
FKAL berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai langkah proaktif membentuk generasi pemimpin yang mampu memacu pembangunan ekonomi dan sosial serantau.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL)
Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan
Telefon: 087-460000 | Emel:
TAMAT