Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

SPSM Hargai Sumbangan Che Din

SPSM Hargai Sumbangan Che Din

24 JANUARI 2025 - SEKTOR Pentadbiran dan Sumber Manusia (SPSM), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) mengadakan Majlis Perpisahan dan Penghargaan buat Penolong Pegawai Tadbir Kanan, Che Din Md Salleh pada Jumaat.

Beliau yang telah menabur bakti di SPSM selama 9 tahun kini bertukar angin ke Sektor Perkhidmatan Akademik (SPA), UMSKAL.

Che Din bukanlah asing di SPA kerana sebelum ini pernah bertugas di SPA selama 13 tahun.

Kini kembali seperti kata pepatah ‘Sirih Pulang Ke Gagang’.

Che Din merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua staf SPSM.

Turut diadakan penyampaian hadiah buat Farihin Izzati Mohd yang telah melahirkan anak ketiga.

Pihak SPSM juga mengalu-alukan kehadiran dua Penolong Pegawai Tadbir, Dony Lidaus Jinik dan Nazariah Jalib.

Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia (SPSM), Mas Adi Alimin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Che Din yang sentiasa komited dengan tugasan yang diamanahkan.

Beliau juga mengucapkan Selamat Datang Ke SPSM buat Dony dan Nazariah.

Mas Adi berharap semua kakitangan SPSM akan menjalankan tugas dengan sebaik mungkin pada Tahun 2025.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada warga SPSM yang telah menjalankan tugas dengan baik sepanjang tahun 2024.

Mas Adi turut memaklumkan SPSM akan menjadi penganjur beberapa program penting pada Februari dan Mac depan.

Sebagai tulang belakang UMSKAL, SPSM dan Pejabat Pengarah perlu bertindak pantas bagi memastikan warga universiti mendapat perkhidmatan terbaik yang diperlukan,

SPSM akan bekerjsama dengan semua Sektor dan Fakulti untuk memastikan program yang dirancang berjalan dengan lancar pada tahun ini.

Majlis diakhiri dengan jamuan potluck sekaligus mengeratkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin dalam kalangan staf SPSM dan Pejabat Pengarah UMSKAL.

Apa Yang Penting Kerjasama.

Tamat.

Lawatan Mahasiswa Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan ke Labuan FSA

Lawatan Mahasiswa Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan ke Labuan FSA

21 JANUARI 2025 - Kelab Mahasiswa Kewangan Islam Sesi 2024/2025, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah mengadakan lawatan akademik ke Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA).

Lawatan ini diketuai oleh Ketua Program Kewangan Islam, Dr. Maisyarah Stapah @ Salleh bersama 31 orang mahasiswa FKAL.

Dr. Maisyarah berkata lawatan ini dijalankan bersempena dengan sambutan Bulan Kewangan Islam peringkat fakulti.
Rombongan telah disambut oleh Sumarni Matnin dan Anas Mentoh dari bahagian Komunikasi Korporat dan Hubungan Luar Labuan FSA.

Sepanjang lawatan tersebut, para pelajar telah diberi penerangan mendalam mengenai peranan Labuan FSA, Pusat Perniagaan & Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC), serta inisiatif Labuan FSA dalam Pelan Hala Tuju Strategik Labuan IBFC 2022-2026.

Selain itu, pendigitalan dan digitalisasi Islam seperti Islamic Digital Asset Centre (IDAC) dan penyenaraian token RAMZ (Token Sekuriti Patuh Shariah).

Beliau berharap dapat memperkukuh pengetahuan mahasiswa mengenai aktiviti perniagaan kewangan antarabangsa dan kewangan Islam.

Diharapkan lawatan ini dapat juga memberikan inspirasi kepada mahasiswa untuk meneroka lebih banyak peluang serta menyumbang kepada pembangunan industri kewangan Islam, khususnya dalam era digitalisasi.

Terima Kasih Labuan FSA.

Tamat.

FKAL UMS, FIEF UNISSA Jalin Kerjasama

FKAL UMS, FIEF UNISSA Jalin Kerjasama

Seramai lima orang pensyarah Fakulti Ekonomi Dan Kewangan Islam (FIEF), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam telah mengadakan lawatan kerja ke Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 22 Januari 2025.

Kunjungan delegasi FIEF yang diketuai Dekannya, Dr Muhammad Zaki Haji Zaini itu merupakan lawatan balas selepas rombongan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) mengadakan lawatan kerja ke FIEF UNISSA pada 25 Februari tahun lalu.

Terdahulu ketibaan delegasi FIEF disantuni Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Profesor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal.

Dr. Geoffrey berkata kunjungan balas itu bertujuan pemurnian dokumentasi Memorandum Perjanjian (MoA) yang melibatkan kedua-dua institusi pendidikan tinggi itu.

Katanya, kunjungan itu merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan kerjasama strategik antara UMS dan UNISSA, dalam membangunkan program Ijazah Dual (Dual Degree) yang julung kalinya ditawarkan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dalam sesi perbincangan yang berlangsung di Bilik Seminar Kiansam, Bangunan Menara UMSKAL itu, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan terperinci bagi memastikan dokumen MoA yang dirangka mencerminkan komitmen dan aspirasi bersama.

“Pemurnian dokumen ini dijangka membuka laluan kepada pelaksanaan pelbagai program kolaborasi, termasuk penyelidikan bersama, seminar antarabangsa dan mobiliti akademik yang bakal memberi manfaat kepada pelajar serta kakitangan akademik kedua-dua universiti,”katanya berucap pada majlis itu.

Sementara itu, Dr Muhammad Zaki menyatakan penghargaan atas sambutan mesra daripada FKAL UMS dan optimistik terhadap peluang kolaborasi pada masa depan.

Kedua-dua pihak dijangka menandatangani dokumen Memorandum Perjanjian itu dalam tempoh terdekat selepas semua butiran dimuktamadkan.

Inisiatif ini sekali lagi menunjukkan komitmen UMS dalam mengukuhkan hubungan antarabangsa untuk pembangunan pendidikan yang mampan selaras dengan Pelan Strategik UMS untuk menjadikan program akademik bertaraf dunia.

Turut hadir Timbalan-timbalan Dekan, Pensyarah Kanan dan pegawai kanan serta kakitangan FKAL.

Turut menyertai lawatan itu ialah Dr Amnisuhailah Abarahan, Dr Hajah Nur Annisa Haji Sarbini, Dr Hajah Siti Nor Surianna Haji Abdul Talip dan Aminur Rasyid Dr Haji Zakaria.

Delegasi FIEF UNISSA turut meninjau pemandangan indah dan menarik WP Labuan dari Aras 13 Bangunan Menara UMSKAL yang turut menempatkan lokasi melihat anak bulan.

Rombongan pensyarah FIEF UNISSA turut melawat kolej kediaman UMSKAL dan mendengar taklimat ringkas daripada Ketua Sektor Pentadbiran Kolej Kediaman, Norhanizah Adnan.

Semoga Berjumpa Lagi.

Tamat.

Murid Tahun 6 SK Mansiat Keningau Berminat Lanjutkan Pengajian Ke UMSKAL

Murid Tahun 6 SK Mansiat Keningau Berminat Lanjutkan Pengajian Ke UMSKAL

SERAMAI 12 murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Mansiat Keningau teruja mengunjungi Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 20 Januari 2025.

Program Lawatan Sambil Belajar dan bimbingan kerjaya murid-murid SK Mansiat, Keningau itu diketuai Guru Besar, Ledrin Ziubin@Jiubin.

Ledrin berkata program lawatan yang diiringi tujuh orang guru itu bertujuan untuk membimbing murid menetapkan matlamat kerjaya yang jelas dan langkah permulaan dari sekolah rendah.

Pada masa sama, memupuk kesedaran dan penghargaan terhadap budaya, sejarah dan pemeliharaan tempat lawatan di UMSKAL.

“Menerusi program itu, kami berharap murid akan memahami dan mengaplikasi teori yang dipelajari dalam dunia sebenar melalui pengalaman lawatan berkenaan.

“Murid sangat berminat dan teruja melanjutkan pengajian selepas melihat sendiri kemudahan yang disediakan di UMSKAL,”katanya.

Terdahulu ketibaan rombongan sekolah itu disantuni Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia (SPSM), Mas Adi Alimin, Ketua Unit Korporat dan Antarabangsa, Ezawati Pungut serta kakitangan SPSM.

Selepas sesi bergambar, kedua-dua pihak bertukar-tukar cenderamata tanda kenangan.

Mas Adi menyampaikan taklimat mengenai pentadbiran UMSKAL di Bilik Seminar Layangan Aras 11, Bangunan Menara UMSKAL.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran murid dan guru sekaligus mendoakan kejayaan mereka pada masa hadapan.

“Pelbagai kemudahan disediakan oleh pihak UMSKAL sekaligus mampu menarik lebih ramai pelajar dari seluruh negara melanjutkan pengajian di sini,”katanya.

Murid dan guru turut dibawa ke Makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) untuk melihat sendiri kemudahan yang disediakan.

Mereka juga teruja meninjau pemandangan indah dan menarik WP Labuan dari Aras 13 Bangunan Menara UMSKAL yang turut menempatkan lokasi melihat anak bulan.

Hingga Berjumpa Lagi.

Tamat.