Simposium Anaerobic Digestion and Composting (ADIC) 2025 anjuran Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi platform penting dalam memperkukuh perkongsian ilmu serta inovasi ke arah kelestarian alam sekitar.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menjelaskan bahawa pengurusan sisa, khususnya sisa organik, merupakan cabaran global yang memerlukan pendekatan saintifik, inovatif dan mampan.
“Pengkomposan dan pencernaan anaerob bukan sekadar topik kajian di makmal, tetapi ia merupakan penyelesaian dunia sebenar terhadap isu alam sekitar, ekonomi dan sosial.
“Pelaksanaan kaedah itu mampu mengurangkan lambakan sisa di tapak pelupusan selain menyokong ekonomi kitaran dan pembangunan lestari negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan 2nd Symposium on Anaerobic Digestion and Composting (ADIC 2025) yang diadakan secara dalam talian hari ini.
Tambahnya, teknologi pengkomposan dan pencernaan anaerob membolehkan sisa organik seperti sisa dapur dan hasil pertanian ditukar menjadi baja organik berkualiti serta biogas sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Pelaksanaan kaedah itu mampu mengurangkan lambakan sisa di tapak pelupusan selain menyokong ekonomi kitaran dan pembangunan lestari negara.
“Dengan menukar sisa kepada tenaga dan baja, kita bukan sahaja memelihara alam sekitar, tetapi juga menyumbang kepada ekonomi hijau dan keselamatan makanan,” jelasnya.
Usaha itu juga katanya sejajar dengan aspirasi negara di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang menekankan penggunaan teknologi hijau, pengurusan sumber secara lestari dan tindakan terhadap perubahan iklim.
ADIC 2025 yang dianjurkan buat kali kedua menghimpunkan pakar, penyelidik serta pengamal industri dari pelbagai latar belakang bagi membincangkan isu dan penyelesaian inovatif berkaitan pengurusan sisa organik dan tenaga boleh diperbaharui.
Penganjuran simposium tersebut turut menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) termasuk Tenaga Mampu Milik dan Bersih, Bandar dan Komuniti yang Mampan, Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab serta Tindakan Iklim.


