Kualiti pengajaran dan pembelajaran akan meningkat jika kualiti pelaksanaannya sentiasa dipelihara dan dipertingkatkan mengikuti perkembangan teknologi. Sebagai contoh, sistem pengurusan pembelajaran (learning management system) yang dinamakan sebagai SmartUMS, telah dipertingkatkan kepada VERSI 3 menggantikan VERSI 2. Sistem baharu ini dibangunkan berdasarkan platform yang diiktiraf dunia yang mampu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih efektif.
Kemajuan pelajar juga dapat dipantau dengan lebih efisien menerusi SmartUMS ini. Usaha meningkatkan keberkesanan operasi dan penyampaian perkhidmatan dengan menggunakan platform internet atau secara atas talian terus dipergiatkan. UMS kini melaksanakan perkhidmatan Kampus Tanpa Tunai, pendigitalan bahan perpustakaan, aplikasi STARS dan Smart Hadir untuk rekod kehadiran kakitangan dan pelajar, Sistem HR Online dan Servis Atas Talian untuk kakitangan, Sistem Maklumat Pelajar Bersepadu, Sistem Maklumat Pusat Penyelidikan (SMPPPI) dan beberapa sistem lain. Semua ini bertujuan untuk menyediakan suatu suasana yang kondusif yang menyokong pembelajaran di samping menjamin keselesaan hidup dalam kampus.
KEMUDAHAN UNIVERSITI
Kampus UMS merupakan salah satu daripada kampus tercantik di dalam negara, dengan landskap yang menarik, kehijauan dan struktur bangunan yang mengagumkan. Semenjak penubuhannya, UMS sentiasa berusaha menyediakan kemudahan moden di samping mengekalkan keadaan semula jadi di sekitarnya. UMS mempunyai kemudahan perkhidmatan bas, perpustakaan, makmal dengan peralatan canggih, makmal multimedia, kemudahan Wi-Fi, pusat sukan, asrama, kafe, muzium, galeri, akuarium, masjid dan pusat rawatan.
ALUMNI UMS
UMS adalah antara institusi yang menyumbang kepada sumber manusia yang berilmu dan berkemahiran di dalam negara. Sehingga kini, UMS telah menghasilkan kira-kira 79,500 graduan, termasuk 1,755 graduan merupakan pelajar antarabangsa dari negara-negara seperti China, Brunei, Iraq, Indonesia dan lain-lain. Alumni UMS kini berkhidmat di pelbagai organisasi terkenal dan tidak kurang juga yang kini menjadi usahawan yang berjaya. Peluang pengajian di UMS telah membekalkan mereka dengan kemahiran dan ilmu seperti kemahiran komunikasi, pemikiran kritis serta kemahiran bahasa yang membantu mereka meneroka dunia kerjaya dengan berkeyakinan. Di samping itu mereka juga dididik agar sentiasa beretika dan berpegang teguh kepada agama.
*Dikemas kini pada 11 April 2023