Visi & Misi

VISI, MISI, OBJEKTIF,
LOGO DAN COKMAR

Menjadi sebuah universiti berinovatif yang bertaraf dunia.

Mencapai kecemerlangan ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu untuk mencapai pengiktirafan antarabangsa menerusi pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, penerbitan dan khidmat masyarakat serta untuk mencapai keseimbangan pengkhususan ilmu dan keperibadian pelajarnya untuk menghasilkan produktiviti dan kualiti yang tinggi dalam konteks persekitaran dan aspirasi pembangunan masyarakat dan Negara.

Objektif
1. Mencapai kecemerlangan kesarjanaan akademik bertaraf antarabangsa dalam program berbilang bidang, iaitu sains, teknologi, kejuruteraan, perniagaan, ekonomi, politik dan sains sosial. 
2. Meneroka, memelihara dan memanfaatkan ilmu dengan berkesan untuk pembangunan masyarakat dan negara selaras dengan etos universiti dan negara. 
3. Mempertahankan kebebasan akademik dan mengekalkan kerapian intelektual di kalangan komuniti universiti. 
4. Mengeluarkan graduan yang mengkhusus tetapi seimbang, berketrampilan, bertakwa dan patriotik. 
5. Mengadakan program-program pengajian dan penyelidikan yang berkualiti dan relevan kepada masyarakat dan negara serta membangunkan harta intelek dan inovasi. 
6. Membangunkan pelbagai projek komersial universiti yang berdaya maju dan menjana kewangan. 
7. Menjalin hubungan kerjasama yang rapat lagi berguna di antara universiti dengan industri, kerajaan, badan-badan profesional dan masyarakat. 
8. Memupuk dan menerapkan nilai-nilai kemanusiaan murni sejagat serta keterbukaan berfikir dengan penuh tanggungjawab di kalangan para sarjana, pegawai dan tenaga sokongan universiti sambil mencapai hasil kerja yang optima dan berkualiti tinggi. 
9. Menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang teguh dan keadilan sosial masyarakat melalui penyelidikan, penerbitan, perundingan, perkembangan teknologi dan khidmat masyarakat dalam iklim pengajian, pencarian ilmu dan pengurusan yang cekap dan mantap. 
10. Meningkatkan martabat dan prestij universiti sebagai institut masyarakat yang unggul, progresif, terkemuka dan sentiasa memanfaatkan hasil kesarjanaannya. 

Perisai melambangkan kekuatan universiti sebagai suatu kesatuan daya tenaga yang berpadu untuk mendokong wawasan universiti. 

Buku yang terbuka di atas sebuah rehal melambangkan ilmu pengetahuan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada manusia dan ia menjadi sumber keintelektualan, keimanan, kebijaksanaan dan buku juga melambangkan semangat penerokaan dari deria yang sentiasa ingin mengetahui melalui minda yang analitis.

Mata pena merujuk kepada ketepatan dan kejituan penghayatan ilmu. Pena merupakan manifestasi ilmu yang lahir dalam minda dan diterjemahkan kepada bahasa yang tertulis. Mata pena yang menuju ke atas menunjukkan ilmu itu tidak terbatas bidangnya.

Bunga Rafflesia adalah lambang keunikan "Negeri di Bawah Bayu". 

Lingkaran Sfera menggambarkan cakerawala di mana alam ini wujud, melambangkan ilmu pengetahuan yang disampaikan meliputi seluruh ilmu yang berhubung dengan alam ini. 

Kuning : Melambangkan suasana warga kampus UMS yang sentiasa ceria, segar, aktif dan dinamik umpama alam sentiasa disinar suria.

Merah : Melambangkan keutuhan, kegigihan dan kekentalan yang ada di sanubari setiap warga UMS dalam menghadapi segala cabaran demi mencapai kejayaan dan kecemerlangan.

Biru : Melambangkan suasana kehidupan yang harmoni, yang mencerminkan ikatan persaudaraan di kalangan warga kampus dengan persekitarannya.

Cokmar adalah simbol kebesaran Universiti. Kepala Cokmar berbentuk glob mengandungi emblem negara Malaysia yang terletak di atas Jalur Gemilang. Ini menunjukkan kedudukan Universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang menjunjung misi dan visi negara yang berusaha memberikan pendidikan kepada semua warga negaranya. Pada cincin alas glob tertulis dalam aksara jawi perkataan Universiti Malaysia Sabah.

Badan Cokmar berbentuk batil yang berkaki dan bertutup serta terletak di atas tapak, mengandungi lambang negeri-negeri di Malaysia dan emblem Universiti Malaysia Sabah, manakala di bawah lambang UMS terdapat lambang flora kebanggaan negara iaitu Bunga Raya dan Bunga Rafflesia. Pada kaki dan tapak batil terdapat motif-motif seni masyarakat tempatan, iaitu motif pucuk rebung, motif geometri dan motif padi. Terdapat sembilan tangkai padi dan ini melambangkan UMS sebagai Universiti awam yang kesembilan di Malaysia.

Kaki Cokmar berbentuk tongkat yang terbentuk daripada beberapa batang kecil yang disimpai serta dililit oleh pokok sireh menjalar yang melambangkan sekolah, pusat, institut dan unit yang bersatu teguh manakala simpai pula melambangkan statut, akta dan peraturan-peraturan yang menjadi panduan dan etika pengurusan, pentadbiran dan pendidikan. Sirih Emas yang melilit batang Cokmar melambangkan dinamisme program-program yang dijalankan di Universiti ini.

Motif Bumi di mana pokok ilmu itu mendapat tenaga melambangkan sains dan teknologi untuk hidup dan berkembang serta mendorong cita-cita murni. Di atas bumi terdapat lima mata pena yang melambangkan kekuatan dan keutuhan ilmu, dan setiap satu mata pena ini menjadi simbol keimanan, ketaqwaan, ketulusan budi, keikhlasan dan kesungguhan yang menjadi asas keilmuan dan panduan untuk mencapai kejayaan.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  • Covid 19 : Terkini dari UMS

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.