Ketabahan dan kecemerlangan akademik mengangkat Siti Noorsarah Jeinia, graduan Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial dengan Kepujian ke pentas utama apabila beliau menerima Hadiah Zainal Abidin Bador pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-27.
Pelajar Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS) itu menamatkan pengajian dengan PNGK 3.79, sekali gus melayakkan beliau menerima pengiktirafan berprestij sebagai pelajar terbaik dalam kategorinya.
Selain pencapaian akademik yang membanggakan, beliau turut aktif menyertai program dan aktiviti anjuran fakulti, termasuk program kemasyarakatan dan latihan praktikal yang menekankan nilai empati serta kemahiran kerja sosial.
Penglibatan ini tidak hanya meningkatkan kompetensinya, malah membantu membina keyakinan dirinya sebagai pelajar Orang Kurang Upaya Fizikal yang mampu bersaing dengan mahasiswa lain.
Sepanjang menjalani pengajian di UMS, beliau memperlihatkan komitmen luar biasa dalam mengimbangi cabaran fizikal dengan tuntutan akademik.
Menurutnya, sokongan universiti memainkan peranan besar dalam memastikan proses pembelajarannya berjalan lancar.
“Dari segi pengangkutan, pihak universiti menyediakan kemudahan yang sesuai untuk pelajar OKU. Dari segi yuran pula, jumlah yang dikenakan sangat berpatutan dan mengambil kira keperluan pelajar OKU,” ujarnya.
“Selain itu, UMS juga mempertimbangkan beberapa keperluan seperti masa tambahan semasa peperiksaan, penggunaan lif, serta sokongan lain yang memudahkan pergerakan dan proses pembelajaran kami,” tambahnya lagi.
Beliau turut menyatakan bahawa kekuatan utamanya datang daripada sokongan keluarga yang sentiasa mendorongnya sepanjang tempoh pengajian.
“Yang paling pasti adalah ibu bapa. Mereka banyak memberi sokongan dan dorongan untuk saya terus belajar, dan melihat adik-beradik saya melanjutkan pelajaran membuat saya lebih bersemangat untuk berjaya,” ujarnya
Kejayaan beliau mencerminkan kemampuan pelajar OKU untuk terus maju dalam bidang akademik, terutama apabila diberikan akses kepada kemudahan inklusif, suasana pembelajaran kondusif dan sokongan moral yang berterusan.
Pencapaian ini juga membuktikan bahawa pendidikan berkualiti dapat dicapai oleh semua kelompok masyarakat tanpa mengira kekangan fizikal
Dengan kejayaan yang diraih, beliau berharap dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain, khususnya golongan OKU, agar terus yakin dengan potensi diri dan tidak berputus asa dalam mengejar Impian.
UMS pula kekal komited memperkukuh ekosistem pembelajaran inklusif dalam usaha melahirkan graduan yang berdaya saing, berdedikasi dan berjiwa insan.
(artikel disediakan oleh Safaruddin, Pelajar Program Kewartawanan Fakulti Dakwa dan Komunikasi, UIN Alauddin Makassar, Indonesia yang sedang menjalani latihan industri di UMS)


