Kisah Anak Nelayan Kota Marudu ke Menara Ilmu UMS

 

Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-27 tahun bukan sahaja meraikan kejayaan lebih 3,807 graduan, malah menyerlahkan kisah inspirasi seorang anak nelayan dari Kota Marudu yang membuktikan bahawa pendidikan mampu mengubah masa depan.

Marni Roszdi, 23, graduan Fakulti Perhutanan Tropika UMS, merupakan anak kelima daripada tujuh beradik dalam sebuah keluarga yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laaut.

Mengimbas detik menerima tawaran kemasukan ke UMS, Marni berkata suasana rumah pada hari itu berubah menjadi sunyi, bukan kerana keluarganya tidak gembira, tetapi kerana bimbang tentang kemampuan menanggung kos pengajiannya.

“Rumah kami tiba-tiba senyap. Ibu bapa bimbang bagaimana hendak menampung pengajian saya, maklumlah ayah hanya bergantung kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan keluarga.

“Namun ayah meyakinkan saya untuk terus sambung pengajian dan berjanji akan melawan ombak untuk mencari rezeki bagi membiaya yuran pengajian saya,” luahnya.

Marni berkata sejak hari itu, bapanya turun ke laut setiap subuh, menempuh ombak dan cuaca tidak menentu demi memastikan impian anaknya tidak terkubur.

“Cabaran bertambah ketika pandemik COVID-19, apabila pendapatan keluarga jatuh merudum. Saya hampir berputus asa apabila wang saku tidak mencukupi, namun saya memilih untuk bertahan dengan bekerja sebagai Sukarelawan Bilik Gerakan COVID-19 UMS, menerima elaun RM20 sehari.

“Walaupun jumlahnya kecil, tetapi amat besar ertinya bagi seorang pelajar luar bandar seperti saya,” jelasnya.

Di samping itu, sokongan moral daripada warga Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, menjadi pemangkin kekuatan ketika beliau hampir rebah oleh tekanan.

“Walaupun menggalas komitmen sebagai ahli unit beruniform SISPA serta aktif dalam pelbagai aktiviti universiti, saya tetap berjaya mengekalkan PNGK 3.0 ke atas selama lapan semester.

“Hari ini saya berdiri sebagai graduan hasil doa mama dan titik peluh bapa. Pengorbanan mereka adalah sebab saya sampai ke sini,” katanya sebak.

Mengulas perjalanan Marni, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, menyifatkan kisah itu sebagai cerminan sebenar harapan rakyat Sabah terhadap pendidikan.

“Kisah Marni menggambarkan UMS sebagai universiti harapan rakyat Sabah. Ia menunjukkan bahawa kejayaan bukan ditentukan oleh kemewahan, tetapi oleh usaha, keberanian dan doa ibu bapa.

“Pengorbanan keluarganya, semangat ayahnya menempuh ombak demi masa depan anak, dan keteguhan Marni menghadapi cabaran hidup adalah lambang nilai sebenar UMS. Kisah ini wajar menjadi inspirasi kepada semua pelajar,” tambah beliau.