RABU, 27 FEBRUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Perpustakaan memperbaharui perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Bahagian Perhubungan Awam Kedutaan Amerika Syarikat untuk tempoh dua tahun lagi.

Ketua Pustakawan UMS, Haji Zawawi Tiyunin berkata, MoU itu antara lain menjurus kepada kerjasama antara kedua belah pihak bagi membolehkan UMS menyediakan perkhidmatan dan bahan rujukan berkaitan negara Amerika Syarikat di American Corner dalam perpustakaan UMS.

“Sejak ia mula beroperasi pada 16 November 2017, American Corner telah menjadi salah satu rujukan utama bukan sahaja untuk warga UMS, tetapi juga kepada masyarakat di negeri Sabah.

“Secara tidak langsung, pewujudan sudut ini telah banyak membantu dan memudahkan mereka yang sedang membuat kajian atau mahu mendapatkan maklumat tambahan berkaitan negara Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas pemeteraian MoU itu, di sini, hari ini.

Menurut Zawawi, UMS dan Bahagian Perhubungan Awam Kedutaan Amerika Syarikat mula menandatangani MoU buat kali pertama pada 23 September 2016.

“Selain UMS, American Corner turut bekerjasama dengan sembilan perpustakaan awam tempatan untuk menyediakan koleksi khas Amerika Syarikat kepada orang awam,” jelasnya lagi.

Dokumen pembaharuan MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dan Kaunselor Perhubungan Awam, Kedutaan Amerika Syarikat, Bradly A. Hurst.

Ia turut disaksikan Ketua Timbalan Pendaftar UMS, Mohd. Raffie Hj Janau, dan Penolong Hal Ehwal Kebudayaan Kedutaan Amerika Syarikat, Shanon Phang Yen Pin.

ISNIN, 25 FEBRUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mahu menggiatkan aktiviti penyelidikan translasi (Translational Research) dan penyelidikan transdisiplin (Transdisciplinary Research) agar setiap hasil kajian yang dilaksanakan mampu memberi impak dan manfaat besar kepada komuniti setempat serta industri.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, penyelidikan translasi dan transdisiplin adalah merupakan dua kata kunci utama dalam pelan strategik penyelidikan UMS yang dirangka pada tahun 2018 bagi memenuhi kepentingan pemegang taruh di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Penyelidikan translasi adalah kajian bersifat ilmu yang dapat diterjemahkan kepada kepentingan masyarakat dan industri, sebagai contoh masalah bekalan air di kawasan Pedalaman Sabah misalnya boleh dikaji bagi tujuan menyelesaikan masalah tersebut untuk manfaat komuniti setempat.

“Penyelidikan transdisiplin pula adalah kajian yang dilakukan tidak terhad hanya dari sekelompok penyelidik dalam bidang yang sama, tetapi turut melibatkan penyelidik yang berlatar belakangkan dari pelbagai bidang,” katanya.

Dengan mengambil contoh kajian tentang bidang akuakultur di Sabah boleh melibatkan pakar bidang akuakultur dari Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) bagi kajian terhadap spesies ikan dan makanannya, dan dalam pada masa yang sama penyelidikan dalam bidang sains sosial juga diperlukan bagi melihat impak bidang  akuakultur dalam sesuatu masyarakat, selain boleh juga melibatkan pakar dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) bagi mengambil peranan dalam kajian pemasaran, serta penglibatan dari program kejuruteraan bagi menyelesaikan masalah-masalah dalam aspek fizikal bagi bidang akuakultur.

Prof Shahril menambah, penyelidikan translasi dan transdisiplin ini juga merupakan salah satu kriteria utama dalam agenda penyelidikan dan inovasi UMS yang memfokuskan kepada tujuh bidang penyelidikan iaitu bidang Akuakultur; Pertanian dan Makanan; Kelestarian Biodiversiti dan Alam Sekitar; Pelancongan; Kesihatan Awam dan Penjagaan Kesihatan Pintar; Pembasmian Kemiskinan, Keselamatan dan Pengangkutan Awam; dan   budaya dan bahasa ibunda.

“Tujuh bidang penyelidikan yang ditumpukan ini juga mengambil kira kepentingan masyarakat dan industri, selain selari dengan 10 bidang keberhasilan kerajaan negeri Sabah serta 17 matlamat pembangunan lestari.

“Justeru, bagi tujuan memperkasa usaha penyelidikan bidang-bidang tersebut, UMS telah menetapkan 70% daripada dana penyelidikan dalaman perlu berbentuk penyelidikan translasi dan transdisiplin, selain turut mengambil pendekatan dalam memberikan geran penyelidikan yang tidak hanya memfokuskan kepada satu bidang tertentu, tetapi lebih kepada konsep penyelidikan translasi dan transdisiplin,” jelas beliau.

Mengulas lanjut tentang dasar mempergiatkan aktiviti penyelidikan translasi dan transdisiplin, katanya terdapat kesan di sebalik pendekatan yang diambil itu.

“Apabila universiti memfokuskan kepada penyelidikan translasi, sedikit kemungkinan kesannya adalah dalam bidang pendidikan kerana kajian yang dijalankan  lebih kepada penyelesaian masalah setempat dan negara, sekali gus sukar bagi penyelidik untuk menerbitkan jurnal.

“Diakui para ahli akademik kebanyakannya gemar memilih untuk membuat penyelidikan yang membolehkan mereka menerbitkan jurnal di peringkat antarabangsa yang turut menyumbang kepada peningkatan ranking universiti, tetapi realitinya kajian tersebut hanyalah kajian ilmu semata-mata dan kurang impaknya kepada komuniti dan industri,”katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa pendekatan UMS dalam mengambil ketetapan untuk memfokuskan penyelidikan yang menyumbang atau memberi impak kepada komuniti dan industri adalah lebih penting dan bermakna berbanding ranking semata-mata.

Prof. Shahril turut menekankan betapa agenda penyelidikan translasi dan transdisiplin ini mampu dijayakan melalui kerjasama rapat antara UMS dengan pelbagai pihak khususnya pihak agensi kerajaan dan swasta di negeri Sabah, selain menyifatkan hubungan kerjasama UMS dengan pelbagai agensi ini adalah satu situasi menang-menang kerana mampu memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

“Pelaksanaan satu pelan atau dasar oleh agensi kerajaan negeri Sabah misalnya memerlukan kajian lanjut atau rujukan data-data tertentu sebelum mengambil keputusan untuk melaksanakannya, dan dalam hal ini UMS boleh memainkan peranan dengan adanya sumber kepakaran dari UMS, selain data-data yang ada boleh dikongsi sebagai tujuan membantu perancangan pembangunan negeri Sabah.

“Selain sumber kepakaran dan maklumat, UMS juga sedia untuk berkongsi aset-aset universiti yang berkaitan dengan aktiviti penyelidikan, yang mana dahulunya aset-aset ini hanyalah digunakan untuk tujuan pengajaran dan penyelidikan, tetapi bermula tahun 2018 pihak universiti telah membuka perkongsian kemudahan ini kepada pihak swasta dan agensi kerajaan,” katanya.

Ujar beliau, pihak UMS sedia untuk bertemu dengan pihak dewan perniagaan atau persatuan-persatuan industri bagi menguar-uarkan kepakaran dan kemudahan yang sedia ada bagi tujuan jalinan kerjasama khususnya berkaitan dengan dana penyelidikan.

“Aktiviti penyelidikan sememangnya memerlukan dana, dan dana yang ada pada universiti adalah terhad, justeru dalam senario sebegini adalah penting bagi universiti dan sesebuah agensi untuk bekerjasama dalam menjalankan penyelidikan kerana selain dapat berkongsi dana, kedua-dua pihak mampu menerima manfaat hasil atau keputusan kajian yang diperlukan, selain turut mampu menghasilkan sumber manusia yang berkepakaran melalui penglibatan secara langsung pelajar UMS di peringkat sarjana dan Doktor Falsafah,”katanya.

ISNIN, 25 FEBRUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Perhubungan Kluster Pendidikan Negeri Sabah yang dipengerusikan Setiausaha Persekutuan Sabah, Nor Azri Zulfakar, baru-baru ini.

Menurut kenyataan Bahagian Pentadbiran dan Governan Jabatan Pendaftar UMS, mesyuarat tersebut antara lain mengupas agenda mengenai kaedah untuk mengenal pasti isu dan cabaran yang dihadapi oleh kluster pendidikan khususnya di negeri Sabah.

“Turut dibincangkan isu dan cabaran dalam menerapkan sahsiah jati diri dan keterhadapan belia pada ketika ini dengan kemudahan teknologi yang kian berkembang pesat, di samping mencari langkah mempelbagaikan kaedah dalam aspek pengajaran dan pendidikan ke arah Revolusi Industri (IR) 4.0.

“Hasil daripada perbincangan dan percambahan idea tersebut akan dibentangkan di peringkat pengurusan tertinggi oleh Nor Azri,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa  seramai 30 ahli hadir menjayakan mesyuarat yang diurusetiakan sendiri oleh Naib Canselor UMS,  Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Ia termasuklah wakil-wakil dari Institusi Pengajian Tinggi Awam, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pengarah-pengarah Institut Pendidikan Guru, Pengarah-pengarah Politeknik, Wakil Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pengarah Institut Kemahiran Mara Kota Kinabalu serta Pengarah-pengarah Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi seluruh Sabah.

Kesemua mereka turut dibawa melawat ke beberapa destinasi menarik sekitar kampus UMS.

JUMAAT, 22 FEBRUARI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Islam UMS menerima sumbangan bantuan kewangan pendidikan berjumlah RM1 juta daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Kumpulan Pengurusan Syariah BPMB, Ustaz Mohamad Salihin Deris kepada Timbalan Pendaftar UMS, Mohd Zaidie Adilai yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid UMS, pagi tadi.

Terdahulu, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin dalam teks ucapannya yang dibacakan Zaidie berkata, UMS amat bertuah kerana mendapat kepercayaan daripada enam agensi luar termasuk BPMB pada sesi 2018/2019 dengan menyumbang kepada UMS untuk diagihkan kepada pelajar UMS dalam bentuk zakat.

“Pihak UMS berbesar hati dan berterima kasih kepada pihak BPMB di atas sumbangan berjumlah RM1 juta yakni penyumbang terbesar untuk zakat UMS setakat ini.

“Sumbangan zakat yang terkumpul akan diagihkan kepada empat kategori iaitu asnaf fakir, miskin, mualaf dan fi sabilillah (pelajar),” katanya.

Menurut Prof. Datuk Dr. D Kamarudin, sumbangan diagihkan mengikut permohonan zakat melalui sistem e-zakat yang telah dibuka permohonannya pada 26 Oktober hingga 26 November tahun lalu, melibatkan sejumlah 1,021 permohonan.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengarah Pusat Islam UMS, Prof. Madya Dr. Muhamad Suhaimi Taat dan Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat Kumpulan BPMB, Nor Sham Soyod.

 

JUMAAT, 22 FEBRUARI - Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalankan tanggungjawab terhadap alam sekitar dengan mengadakan gotong-royong perdana bagi membersihkan kawasan pantai Pusat Pembangunan Luar (ODEC) UMS pada Rabu.

Pengerusi penganjur, Profesor Dr. Rossita Shapawi berkata, seramai 1,000 kakitangan dan pelajar UMS telah mengambil bahagian dalam program tersebut yang menyaksikan seberat 1.8 tan sampah berjaya dikutip.

“Selain memastikan kebersihan kawasan pantai terpelihara, program ini juga bertujuan untuk memupuk semangat sayangkan pantai yang kini menjadi salah satu perkara yang ingin diterapkan pengurusan pihak UMS .

“Dalam masa sama, penglibatan warga UMS juga amat wajar bagi menerbitkan rasa kepunyaan yang tinggi terhadap organisasi yakni UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa program gotong royong perdana berlangsung.

Profesor Dr. Rossita yang juga Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) berkata, penganjuran program itu secara tidak langsung turut mendidik para pengunjung yang datang melawat ke pantai ini untuk sama-sama menjaga kebersihan pantai.

“Seperti yang kita sedia maklum, pantai ODEC merupakan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara, maka warga UMS sendiri perlu komited memastikan persekitaran pantai sentiasa dalam keadaan terpelihara dan bersih,” tambahnya lagi.

Program yang berlangsung selama dua jam itu turut dihadiri Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Ujar beliau, pantai ODEC berupaya menjadi pantai tarikan pelancong yang utama di bandar raya Kota Kinabalu apatah lagi usaha yang ditunjukkan oleh warga UMS yang terus menerus mengadakan program-program membersihkan pantai tanpa henti menerusi Fakulti, Institut, Jabatan dan Pusat.

“Dahulu Pantai ODEC ini terasa sunyi dan sedikit terbiar, namun  apabila kita memperkenalkan konsep pelancongan eko-kampus, kita melihat pantai ODEC sebagai nadi utama pelancongan berasaskan pendidikan.

“Maka sejak itu kita giatkan pendekatan membersih pantai secara berterusan,” ujar Profesor Datuk D Kamarudin.

Dalam pada itu, beberapa pelajar dan kakitangan UMS yang ditemui turut menyokong usaha UMS menganjurkan gotong-royong tersebut.

Bagi Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi IPMB, Profesor Madya Dr. Sitti Raehanah Muhamad Shaleh, aktiviti tersebut sangat signifikan bagi mengelak ancaman terhadap hidupan laut serta ekosistem marin sedia ada.

“Acara ini sangat bertepatan dan sekali gus menghindarkan pencemaran yang boleh memberi ancaman kepada hidupan marin,” katanya.

Seorang pelajar program Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) UMS, Norcikeyonn Samuni pula memaklumkan usaha membersihkan kawasan pantai tersebut adalah satu langkah murni dan sewajarnya disematkan dalam diri setiap individu tanpa mengira peringkat umur.

“Memelihara dan memulihara pantai adalah tanggungjawab bersama dan saya seronok menyertai aktiviti-aktiviti seumpama ini bersama rakan-rakan universiti.

“Saya berpendapat ia perlu diperkasakan melalui modul-modul pendidikan sedia ada,” katanya.

Seorang lagi pelajar program PhD di IPMB, Noor Amalia Shaiful Kahar berpendapat, gotong royong perdana yang dianjurkan UMS adalah sangat baik dan harus diteruskan selain menjadi salah satu aktiviti riadah untuk warga kampus.

“Hampir saban hari kita mendengar isu hidupan marin seperti paus, dolfin dan burung dijumpai mati atau tersadai di tepi pantai dan ramai yang tidak sedar akan salah satu puncanya adalah disebabkan oleh plastik.

“Sebagai contoh, plastik seberat 4.25 kilogram yang dijumpai di dalam perut seekor ikan paus pada Mac 2015 dikatakan sebagai antara punca kematiannya di perairan Teluk Likas,” jelas beliau.

Manakala bagi Mohd Shahrul, pelajar tahun satu program prasiswazah, beliau berasa seronok apabila dapat melakukan aktiviti gotong-royong bersama rakan-rakan.

“Membersihkan pantai beramai-ramai menyebabkan saya tidak berasa penat walau pun jarak yang dilalui tanpa disedari adalah sejauh dua kilometer dengan meniti celah-celah batu bagi mengutip sampah-sampah kecil.

“Mungkin salah satu sebab adalah wujud kerjasama erat dan rasa kepunyaan yang tinggi terhadap pantai dan universiti ini serta  kesedaran bahawa menjaga persekitaran alam semula jadi adalah satu amalan yang mulia,” katanya.