RABU, 20 FEBRUARI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) telah menandatangani perjanjian pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Summer Institute Of Linguistic (SIL) Malaysia dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, PPIB pagi tadi.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, pembaharuan MoU yang telah berlangsung sejak 2013 itu adalah sejajar dengan saranan Kementerian Pendidikan Malaysia agar universiti awam sentiasa bekerjasama dengan agensi luar dan antarabangsa.

“Selari dengan saranan ini, PPIB dan SIL sejak beberapa tahun ini telah menjayakan pelbagai siri usaha dan aktiviti dengan melibatkan sumber kepakaran dari kedua-dua pihak.

“Salah satu daripada kerjasama penyelidikan antarabangsa adalah “Ethnologue Review of Language in Sabah” dengan hasil kerjasama tersebut telah mengangkat banyak bahasa etnik Sabah yang tidak diketahui atau masih dalam kajian ke hadapan,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail.

Menurut Prof. Datuk Dr. Kamarudin, satu lagi usaha penyelidikan berskala besar UMS – SIL sebelum ini adalah berkaitan penekanan terhadap pendidikan bahasa ibunda di peringkat pra sekolah di Sabah yang melibatkan United Nations Children's Fund (UNICEF) dan Partners of Community Organizations in Sabah (PACOS) Trust.

“Dengan kolaborasi penyelidikan sedemikian membuktikan bahawa masih banyak yang diperlukan di Sabah, dan apabila semakin ramai penglibatan pakar-pakar sudah pasti semakin baik hasil yang diperoleh.

“Justeru itu, diharapkan melalui pembaharuan kerjasama pada hari ini lebih banyak peluang penyelidikan baru dapat diwujudkan dan diterokai,” ujar beliau.

Pada majlis itu Prof. Dr. Rasid Mail turut mewakili Naib Canselor menandatangani dokumen pembaharuan MoU, manakala SIL diwakili oleh Presiden SIL Malaysia, Timothy Carl Phillips.

Turut menyaksikan pemeteraian pembaharuan MoU itu Dekan PPIB, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau; Pemegang Kursi KadazanDusun, Prof. Madya Dr. Andreas Totu; Ketua Kluster Kebudayaan, Warisan dan Seni dari Borneo Institute for Indigenous Studies (BORIIS) Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Prof. Dr. Jacqueline Pugh Kitingan; Timbalan Pendaftar UMS, Mohd Zaidie Adilai; dan Koordinator Linguistik SIL Sabah, Dr. Mark Miller.

 

SELASA, 19 FEBRUARI - Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan sesi ramah mesra “Meet and Greet” bersama 37 pelajar pascasiswazah Semester 2, 2018/2019 di fakulti berkenaan baru-baru ini.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah) FPEP, Dr Arif@Kamisan Pusiran berkata, semasa mengikuti pengajian peringkat pascasiswazah, para pelajar perlu membentuk disiplin diri dan mengekalkan hubungan baik dengan penyelia.

“Selain itu, amat penting bagi para pelajar pascasiswazah untuk bergiat aktif menyertai aktiviti dan program bukan akademik anjuran fakulti dan UMS di samping sentiasa bersikap proaktif dan saling berhubungan dengan rakan-rakan pelajar dan ahli akademik.

“Dengan demikian, para pelajar bukan sahaja dapat membina jalinan persahabatan yang kukuh, malah ada dalam kalangan rakan-rakan dan pensyarah dikenali nanti dapat memberikan maklumat dan maklum balas mengenai kajian yang dijalankan, sekali gus membantu kelancaran proses pengajian,” katanya.

Dr Arif berucap demikian ketika mewakili Dekan FPEP, Prof. Dr Raman Noordin pada majlis berkenaan.

Hadir sama Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FPEP UMS, Dr. Rini Suryati Sulong, serta beberapa pensyarah selaku penyelia kepada pelajar baharu tersebut.

Beberapa pelajar antarabangsa yang ditemui menyatakan bahawa mereka mengenali UMS sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi yang tersohor di Borneo.

Pelajar dari China, Yuan Weiren berkata, keindahan flora dan fauna kepulauan Borneo, khasnya negeri Sabah memang sudah sedia dikenali oleh komuniti antarabangsa.

“Faktor lain yang mendorong saya datang datang ke Sabah adalah kerana adanya penerbangan langsung ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dari China,” katanya.

Rakan senegaranya, Xiao Yanli turut senada dengan beliau apabila turut melahirkan rasa teruja dengan persekitaran kampus UMS serta tidak sabar untuk menikmati keindahan negeri Sabah semasa mengikuti pengajian doktor falsafah di FPEP nanti.

“Pengajian di universiti ini pasti menjadi satu memori yang indah buat kami,” ujar mereka berdua yang juga merupakan pensyarah di salah sebuah universiti di China. 

Bagi pelajar tempatan, Sean Andrew Labansing, beliau meneruskan ijazah doktor falsafah di UMS kerana yakin akan keupayaan universiti tersebut khususnya FPEP untuk menghasilkan graduan yang berdaya saing.

“Saya mengikuti pengajian kerana minat untuk mengkaji lebih dalam lagi mengenai sektor kelapa sawit dimana kajian itu adalah berkaitan dengan kerjaya saya sebagai pengurus perladangan tanaman kelapa sawit yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia.

“Saya percaya dengan barisan pensyarah yang ada di FPEP UMS ini akan membantu saya untuk fokus dan menamatkan pengajian ini dengan baik,” ujarnya yang berasal dari Penampang.

Untuk rekod, pecahan pelajar pascasiswazah FPEP UMS untuk semester ini terdiri daripada 27 pelajar ijazah doktor falsafah, manakala selebihnya iaitu 10 pelajar yang lain merupakan pelajar ijazah sarjana.

FPEP UMS sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Perniagaan dan Ekonomi ditubuhkan pada tahun 1995 bertujuan untuk memenuhi keperluan negara dalam pelbagai bidang perniagaan, ekonomi dan perakaunan bagi memastikan Malaysia mencapai objektifnya untuk menjadi sebuah negara perindustrian menjelang tahun 2020.

 

 

ISNIN, 18 FEBRUARI - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menerima lawatan kerja rombongan FPSK Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) baru-baru ini.

Menurut Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree, kunjungan rasmi oleh rombongan seramai 32 orang yang diketuai oleh dekannya, Prof. Dr. Hj. Ahmad Hata Rasit adalah bertujuan untuk perkongsian maklumat serta perbincangan potensi kolaborasi antara kedua-dua pihak.

“Selain sesi pengenalan FPSK dan Hospital UMS kepada delegasi dari UNIMAS, turut diadakan adalah sesi perbincangan potensi kolaborasi penyelidikan dan pengurusan hospital, selain lawatan ke beberapa tempat di kampus UMS antaranya Muzium Perubatan UMS, Pusat Penyelidikan Perubatan dan Kesihatan Borneo, Bangunan Canselori, dan Jeti ODEC, serta tinjauan tapak HUMS.

“Pada sebelah malamnya pula rombongan tetamu UNIMAS telah diraikan makan malam bertempat di Restoran Nelayan Bukit Padang,” katanya.

Dalam pada itu, Prof. Dr. Hj Ahmad Hata pula merakamkan penghargaan kepada UMS di atas kesudian menerima kunjungan hormat tersebut.

“Pihak UNIMAS turut menjemput pihak UMS untuk mengadakan kunjungan balas bagi lawatan kerja ke UNIMAS dan berharap agar kerjasama dan persahabatan ini akan berterusan pada masa akan datang,” ujar beliau.

Hadir sama sepanjang sesi lawatan tersebut Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPSK, Dr. Fairrul Kadir; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pascasiswazah, Dr. Firdaus Mohd. Hayati; dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Komuniti, Dr. Yeap Boon Tat.

JUMAAT, 15 FEBRUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalankan semakan semula kurikulum prasiswazah bagi menerapkan beberapa nilai yang telahpun dikenal pasti sejak semakan yang telah dijalankan terdahulu.

Antara nilai yang telah dikenal pasti adalah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, Revolusi Industri 4.0, Kehendak Industri Semasa, Trend Pasaran Kerja Masa Depan, Constructive Alignment on Outcome-based Education, Classroom of the Nature, Nilai ‘Love, Happiness and Mutual Repect’, Nilai ‘Dynamic, Sustainable, Integrity, Justice, Happiness’ serta Branding – Smart-Eco UMS 4.0.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akdemik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Rasid Mail, semakan kali ini merupakan rombakan besar sejak 12 tahun lalu, dan ia merupakan salah satu aktiviti utama sempena sambutan Jubli Perak penubuhan UMS.

 “Objektif bengkel ini adalah untuk menentukan kaedah-kaedah mengoperasikan semakan kurikulum untuk semua program akademik di UMS berdasarkan hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan UMS, dan perkembangan terbaru nilai, amalan serta agenda yang mempengaruhi Pendidikan Tinggi. Kaedah-kaedah ini akan digunakan dalam semakan kurikulum yang formal di fakulti selepas bengkel ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin merasmikan bengkel tersebut.

“Adalah dijangkakan bahawa bengkel ini menjadi platform untuk membincangkan isu-isu terkini dan dapat menambah baik kurikulum bagi semua program akademik UMS agar relevan dengan keperluan masa kini.

“Adalah juga diharapkan bahawa graduan UMS yang akan mengikuti kurikulum yang telah diubah suai akan mengikuti program akademik dalam suasana yang gembira dan memotivasikan, dan seterusnya dapat menguasai hasil pembelajaran yang memenuhi keperluan segera dan industri,” tambahnya.

Bengkel yang dijalankan selama tiga hari itu melibatkan penyertaan daripada 10 fakulti dan dua pusat dalam UMS yang disertai oleh 110 peserta yang terdiri daripada para dekan, pengarah, timbalan dekan, ketua-ketua program, penyelaras dan penolong pendaftar kanan akademik.

Turut hadir pada bengkel tersebut, Presiden Persekutuan Industri Sabah, Datuk Ir. Chong Hon Len; Presiden Kadazandusun Chamber of Commerce and Industry (KCCI), Datuk Bonipasius Bianis; Pengerusi Persatuan Jurutera Perunding Malaysia cawangan Sabah, Ir. Tan Kok Jyh serta Pengurus ASM Management, Ahmad Syabirin sebagai wakil alumni UMS.

KHAMIS, 14 FEBRUARI – Seramai 84 pegawai kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyertai Kursus Metodologi Kejurulatihan dan Bakal Pegawai Siri Khas 2019 yang berlangsung di kampus UMS baru-baru ini.

Kursus yang berlangsung selama enam hari itu antara lain adalah bagi memberikan latihan asas kepada pelajar agar mempunyai kebolehan diri sebagai pegawai kadet yang baik, dan sebagai staf muda bagi PISPA (Pasukan Institusi Pertahanan Awam) ataupun Leftenan Muda bagi SISPA yang mempunyai kemahiran yang secukupnya sebelum ditauliahkan.

“Kursus ini juga bertujuan untuk memastikan pegawai kadet Kor SISPA yang terlibat mempunyai sijil asas metodologi kejurulatihan bagi menepati syarat untuk ditauliahkan,” demikian menurut satu kenyataan dari Kor SISPA UMS.

Kenyataan tersebut turut menjelaskan, pelajar didedahkan dengan pelbagai ilmu dan kemahiran yang terdapat dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sepanjang kursus berlangsung, antaranya adalah pengurusan majlis rasmi, sahsiah dan etika seorang pegawai APM, dan pengucapan awam yang berkesan, selain sesi latihan kawad yang dikendalikan oleh jurulatih Kor SISPA.

Peserta turut berpeluang mengasah kemahiran menangani krisis melalui satu sesi pengajaran yang menyaksikan peserta diberikan situasi krisis dalam sebuah organisasi yang memerlukan mereka mengendalikan masalah krisis tersebut dengan tindakan rasional dan sifat kepimpinan.

Pada akhir kursus itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sabah, Kol. (PA) Kamal Mokhtar telah menyempurnakan majlis perasmian penutupan kursus tersebut, yang turut dihadiri Timbalan Komandan Kor SISPA UMS, Kol. Bersekutu (PA) Dr. Nizam Nazaruddin.