KHAMIS, 14 FEBRUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengharapkan peningkatan dalam jumlah penerbitan buku sejajar dengan penambahan jumlah kakitangan akademik bertaraf profesor.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk K Y Mustafa berkata, sehingga kini UMS telah melantik kira-kira 40 profesor dan diharapkan dengan peningkatan bilangan tersebut turut melonjakkan lagi bilangan buku yang dihasilkan UMS.

“Kita mahu pada tahun 2019 sekurang-kurangnya UMS menerbitkan 40 judul buku.

“Kita akan mencari jalan untuk mengiktiraf dan menghargai staf yang menerbitkan buku, antaranya termasuklah cadangan untuk terus menerbitkan setiap penyelidikan yang sudah siap dihantar ke Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPPI) menggunakan geran penyelidikan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Buku Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) dan Bicara Bersama Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob di Dewan Resital, pagi tadi.

Beliau menambah, setiap penyelidik tidak perlu lagi memohon untuk menerbitkan buku kerana PPPI akan berhubung terus dengan pihak penerbit UMS.

“Di samping itu, UMS akan berusaha menambah ganjaran dalam bentuk wang tunai bagi memberi pengiktirafan dan motivasi kepada penulis buku akademik untuk terus menggalakkan penerbitan buku ilmiah,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Datuk Dr. Yusof Yacob menyempurnakan pelancaran sebanyak 24 buku yang diterbitkan sepanjang tahun 2018 hingga Januari 2019 terbitan Penerbit UMS, Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Buku Malaysia, Springer, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universitas Muhammadiah, Jogjakarta dan Penerbit Kedai Hitam Putih.

Hadir sama pada majlis itu Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Dekan FKSW Dr. Marsitah Mohd Radzi; serta pegawai utama dan kanan UMS.

RABU, 13 FEBRUARI - Seramai 535 pelajar ditawarkan untuk mengikuti program pascasiswazah Doktor Falsafah (PhD) dan Ijazah Sarjana secara penyelidikan dan kerja kursus di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi Semester 2, 2018/2019.

Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah, Prof. Dr. Hajah Arsiah Hj Bahron berkata, sehingga Isnin, seramai 305 pelajar telah berjaya mendaftar sejak pendaftaran dibuka pada 9 Februari 2019 dan jumlah tersebut dijangka akan terus bertambah sehingga tarikh akhir pendaftaran pada 28 Februari 2019.

“Antara yang sudah mendaftar ialah 88 calon pelajar PhD dan 112 pelajar ijazah sarjana bagi mod penyelidikan, manakala 105 orang lagi adalah pelajar Pusat Luar UMS (PLUMS) yang mengikuti pengajian peringkat sarjana secara kerja kursus.”

“Pendaftaran pada kali ini menyaksikan peningkatan pelajar antarabangsa iaitu seramai 35 orang merangkumi pelajar dari negara China, Brunei, Indonesia dan Bangladesh,” katanya ketika ditemui pada sesi pendaftaran yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat Ke-2.

Menurut Prof. Dr. Hajah Arsiah, UMS akan sentiasa menyemarakkan usaha mempromosi pembelajaran sepanjang hayat menerusi program pascasiswazah yang ditawarkan.

Katanya, program-program yang ditawarkan di UMS boleh menjadi salah satu sandaran kepada mereka yang bekerja untuk meningkatkan kecemerlangan karier masing-masing.

“Ini terbukti apabila terdapat kalangan alumni pascasiswazah UMS yang berjaya mendapat kedudukan jawatan yang lebih baik berbanding ketika sebelum mengikuti pengajian pascasiswazah sama ada di bidang kedoktoran mahu pun sarjana.

“Peningkatan pelajar antarabangsa dalam program kedoktoran juga adalah satu indikasi bahawa program doktor falsafah di UMS adalah kekal relevan dan diminati ramai,”  tambah Prof Dr. Arsiah.

Dalam nada yang sama, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa Pusat Pengajian Pascasiswazah, Prof. Madya Dr. Fauziah Sulaiman turut melihat peningkatan pelajar antarabangsa dalam program PhD sebagai satu pengiktirafan daripada komuniti pelajar antarabangsa kepada sistem pengajian yang dilaksanakan oleh UMS.

“Penghargaan juga harus diberikan kepada pejabat Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global serta fakulti, pusat dan institut terlibat yang sentiasa berusaha mempromosi program pascasiswazah di UMS,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Kebajikan Pelajar Pusat Pengajian Pascasiswazah, Dr. Azaze@Azizi Abdul Adis memaklumkan, UMS turut menawarkan skim bantuan sebagai dana bagi meringankan beban kewangan pengajian.

“Terdapat beberapa syarat permohonan yang perlu dipenuhi oleh pelajar yang berminat dan ia adalah berdasarkan kepada peruntukan yang tersedia.

“Antaranya, ialah pelajar yang memohon terdiri daripada pelajar pascasiswazah sepenuh masa mod penyelidikan dan mampu memenuhi objektif utama skim tersebut iaitu menyelesaikan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan,” jelas Dr. Azaze.

Sesi pendaftaran tersebut turut menyaksikan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Hj Mail yang meluangkan masa beramah mesra dengan para pelajar baharu.

Ketika ditemui beliau melahirkan rasa senang dan menyatakan pertemuan dan pergaulan dengan kalangan kumpulan pelajar yang matang ini sentiasa memberi pengalaman unik dan berharga.

“Saya boleh melihat mereka mempunyai sebab masing-masing yang memberi kekuatan dan pendorong untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan PhD.

“Melihat kepada semangat yang ditunjukkan mereka, ia juga sangat memberi inspirasi kepada saya untuk memegang tanggungjawab dalam menggalas tugas yang diamanahkan (Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa),” ujarnya yang juga mantan Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS.

Hadir sama menyambut pelajar baharu ialah Pengarah PLUMS, Prof Madya Dr. Stephen Laison Sondoh dan Timbalan Pendaftar, Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS, Sirahim Abdullah.

 

 

SELASA, 12 FEBRUARI: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkasakan lagi kerjasama sedia ada dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui satu kunjungan hormat kepada Mayor DBKK, Datuk Nordin Siman di pejabatnya kelmarin.

Rombongan UMS yang diketuai Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin telah memberi taklimat ringkas mengenai perkembangan semasa universiti serta kerjasama-kerjasama yang terjalin selama ini.

Antara yang menarik perhatian termasuklah projek “Teaching Resort” yang akan diusahakan UMS bersama pihak industri di dalam kampus.

Menurut Datuk D Kamarudin, projek itu dijangka mampu menarik lebih ramai kehadiran pelancong di Bandar Raya Kota Kinabalu sekali gus merancakkan lagi pembangunan ekonomi di Sabah khususnya di daerah tersebut.

“Kita juga mengalu-alukan warga kakitangan DBKK untuk melanjutkan pengajian di UMS atau mengikuti kursus-kursus jangka pendek sejajar dengan keperluan kakitangan.

“Dalam masa sama UMS juga sentiasa dengan tangan terbuka berkongsi kepakaran yang kita ada dalam kalangan pensyarah-pensyarah untuk menyumbang kepada pembangunan dan khidmat komuniti bersama DBKK,” jelasnya.

Sementara itu, Datuk Nordin berterima kasih atas kunjungan UMS dan berharap agar kerjasama akan terus erat terjalin.

Beliau juga mencadangkan agar diwujudkan jawatankuasa kebersihan melibatkan UMS bagi sama-sama menjaga kebersihan pantai dan sungai di sekitar Kota Kinabalu.

“Kerjasama ini dilihat mampu untuk mengawal dan menangani isu-isu berkaitan kebersihan persekitaran khususnya di kawasan pantai dan sungai,” katanya.

Hadir sama pada kunjungan hormat tersebut ialah Pegawai-pegawai Utama UMS dan Pegawai Pengurusan DBKK.

Untuk rekod, kerjasama UMS-DBKK sebelum ini telah dimeterai dalam satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu pada tahun lalu.

 

SELASA, 12 FEBRUARI - Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Bengkel Penjajaran Konstruktif bagi memantapkan serta meningkatkan lagi kaedah dan kualiti penyampaian pengajaran para pesyarah.

Pengerusi pelaksana bengkel, Dr. Junainah Jaidi berkata, ia termasuk kaedah penyampaian di dewan kuliah, bilik tutorial serta pembelajaran menerusi sistem pembelajaran teradun atas talian (online blended learning).

“Ini merupakan sahutan terhadap inisiatif UMS dalam memperkasakan hasil pembelajaran yang menitikberatkan Outcome Based Education (OBE).

“Dalam masa yang sama, ia menyemarakkan lagi usaha UMS untuk sentiasa seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia, yang baru-baru ini dalam amanat menterinya Dr. Maszlee Malik menyatakan bahawa universiti perlu bertindak sebagai hab untuk penerapan nilai yang mudah difahami dan mudah sebati ke dalam diri pelajar,” katanya.

Dr. Junainah berkata demikian ketika mengendalikan bengkel itu yang berlangsung di Hotelab FPEP UMS pada Sabtu.

Beliau yang juga Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPEP menegaskan bahawa penjajaran konstruktif tersebut dilaksanakan bagi membolehkan para pensyarah dari setiap program dapat merancang bersama dengan lebih terperinci pembelajaran yang ingin dihasilkan agar ia saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Katanya, ia akhirnya akan menghasilkan pelajar yang dapat menguasai lebih banyak ilmu sekali gus dapat meningkatkan nilai kebolehpasaran apabila bergraduat kelak.

“Kita mahu graduan yang dihasilkan menepati keperluan industri sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menghasilkan graduan yang terbukti bersedia memenuhi kehendak majikan.

“Apabila mereka bergraduat kelak mereka tahu kualiti yang mereka ada dan mereka berani untuk “menawarkan” diri kepada para majikan di luar sana,” tambah Junainah.

Sementara itu, salah seorang pakar rujuk bidang penjajaran konstruktif dan OBE UMS, Sharifah Milda Amirul memaklumkan penganjuran bengkel tersebut amat bertepatan bagi membolehkan para pensyarah akan lebih memahami dan meningkatkan kualiti hasil pembelajaran dalam mereka bentuk kursus atau kurikulum yang dikendalikan.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan wujud kesukaran untuk mengadaptasi kaedah pengajaran ini dalam kalangan pensyarah senior, beliau yang juga Pesnyarah Program Perakaunan FPEP berpandangan bahawa ia tidak akan berlaku.

“Ini adalah kerana pensyarah senior lebih berpengalaman dan lebih arif mengenai nilai yang perlu disampaikan dalam pengajaran.

“Pensyarah senior adalah sumber inspirasi kepada saya selaku pensyarah muda, cuma mungkin disebabkan oleh kaedah yang baharu ini menggunakan aplikasi teknologi sepenuhnya, maka ia membentuk cabaran kepada pemakaian kaedah ini,” jelasnya.

Dalam pada itu Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin dalam ucapan perasmiannya  menyatakan bengkel itu sebagai satu manifestasi kepada usaha menjayakan kajian semula kurikulum baharu UMS yang menekankan aspek kandungan pembelajaran, kaedah penyampaian dan kesediaan infrastruktur moden.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah atas komitmen yang ditunjukkan para pensyarah yang untuk hadir ke bengkel ini biarpun ia diadakan pada hujung minggu.

“Semangat dan keghairahan (passion) seperti ini sudah pasti akan membolehkan UMS untuk terus kekal relevan sebagai Universiti awam yang berdaya saing di pentas global,” katanya.

ISNIN, 11 FEBRUARI - Persidangan tahunan International Conference on Marine Science and Aquaculture 2019 (ICOMSA 2019) anjuran Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan diadakan pada 12 hingga 14 Mac ini di Magellan Sutera, Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu.

Bertemakan ‘Marine Biodiversity for Sustainable Management of Aquaculture and Ecosystem Services’, sejumlah sembilan sub-tema bagi persidangan yang telah dianjurkan buat kali ke-17 ini, iaitu Interaksi Persekitaran Akuakultur, Pelancongan Marin, Penderiaan Jauh dan Oseanografi Pantai, Keselamatan Makanan dan Sekuriti, Inventori Marin, Spesis Marin Terancam, Ekologi Perikanan, Genetik Akuakultur dan Pencemaran Marin serta Kesihatan Lautan.

Pihak IPMB dalam satu kenyataan menjelaskan, kesemua sub-tema tersebut adalah relevan di peringkat global dan sangat penting di dalam bidang Sains Marin dan Akuakultur, dengan perkhidmatan ekosistem marin memainkan peranan penting dalam pembangunan sosio-ekonomi, industri akuakultur dan keselamatan makanan laut.

“Dianggarkan lebih daripada 100 peserta dari universiti dan institusi tempatan dan antarabangsa dijangka akan mengambil bahagian dalam ICOMSA 2019.

“Para penyelidik dalam bidang yang berkaitan adalah dijemput untuk menyertai ICOMSA 2019 dan menggunakan platform ini untuk berkongsi hasil penyelidikan masing-masing,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Untuk maklumat lanjut mengenai ICOMSA 2019, sila layari http://icomsa2019.wixsite.com/icomsa , atau hubungi Sekretariat Persidangan, Dr. Zarinah Waheed di talian telefon 088-320000 sambungan 2588.