ISNIN, 3 DISEMBER - Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) 1440H/2018M bertemakan “Menyantuni Ummah Membawa Rahmat” yang diraikan warga UMS setiap tahun diharap dapat menyampaikan mesej bahawa Islam ialah agama perdamaian, kasih sayang dan menolak sama sekali unsur kekerasan, keganasan dan kebencian.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, ini kerana pelbagai kisah suri teladan telah dirakamkan oleh para sahabat dalam ribuan hadis tentang keindahan akhlak Rasulullah s.a.w sehingga menjadikan Baginda sebagai ‘Role Model’ dalam menyantuni ummah.

“Justeru, dalam konteks kita sebagai warga universiti tidak kira pelajar, kakitangan mahupun pensyarah, kita seharusnya menjadikan Rasulullah sebagai idola yang wajib dicontohi dalam memperbaiki akhlak dan sahsiah diri kita, kerana Baginda bukan hanya berperanan sebagai Nabi dalam menyampaikan dakwah dan risalah Islamiah tetapi juga berperanan sebagai pemimpin, ketua keluarga, seorang suami, ayah dan sahabat.

“Dalam setiap peranan Baginda mempamerkan akhlak terbaik, dan begitulah juga kita, dalam setiap perkara kita hendaklah mempamerkan akhlak seorang Muslim yang terbaik yang boleh dicontohi oleh orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Perarakan dan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat UMS 1440H/2018M di Masjid UMS, baru-baru ini.

Ujar beliau, memperlihatkan akhlak baik juga merupakan satu dakwah dalam menyebarkan kefahaman bahawa Islam merupakan agama yang menyeru kebaikan dan mencegah perbuatan Munkar.

Terdahulu, lebih 400 warga UMS terdiri daripada kakitangan dan pelajar UMS melibatkan 19 kontinjen dari pelbagai Jabatan, Fakulti, Pusat dan Institut UMS berkumpul di Dataran Dewan Canselor seawal jam 7 pagi sebelum berarak ke masjid.

Sementara itu, Kontinjen Jabatan Bendahari dinobatkan sebagai johan bagi Pertandingan Sepanduk Terbaik, sekali gus membawa pulang hadiah wang bernilai RM 500 berserta sijil.

Naib johan disandang kontinjen Fakulti Psikologi dan Pendidikan, manakala tempat ketiga dimenangi kontinjen Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK).

Masing-masing menerima hadiah wang berjumlah RM 300 dan RM 200 berserta sijil.

Bagi Pertandingan Kontinjen Terbaik, johan dimenangi Kontinjen Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan, manakala kontinjen FPSK dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi masing-masing muncul naib johan dan tempat ketiga.

Johan bagi pertandingan tersebut turut membawa pulang hadiah wang berjumlah RM 500 berserta sijil, sementara naib johan dan tempat ketiga juga masing-masing mendapat hadiah wang berjumlah RM 300 dan RM 200 berserta sijil.

Turut diadakan pada majlis tersebut Ceramah Perdana oleh Pegawai Dakwah Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), Rafeah Md Enarji, persembahan Qasidah oleh kumpulan Sautul Muffa Al-Mubarak dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Hadwannizam Awang Damit.

KHAMIS, 29 NOVEMBER – Seorang ayah dan ibu tidak dapat menahan sebak apabila hadir menerima Ijazah Anumerta untuk anak masing-masing semasa Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-20, di sini, baru-baru ini.

Ijazah Anumerta merupakan penghargaan kepada waris graduan yang meninggal dunia dan berjaya menyelesaikan lebih 85 peratus pengajian mereka.

Suhaimi Zakaria, 47, dari Kelantan mengambil Ijazah Sarjana Muda Sosiologi dan Antropologi Sosial, Intan Syakirin Suhaimi, 23, yang meninggal dunia disyaki menghidap penyakit leukemia.

Menurut Suhaimi, anak sulung daripada empat adik beradik itu merupakan anak yang sangat periang dan sangat baik dengan keluarga.

“Intan Syakirin mula sakit selepas balik dari Kota Kinabalu ke Subang, seminggu sebelum Hari Raya dan dimasukkan di Hospital Sungai Buloh sebelum disyaki menghidap penyakit leukemia.

“Dia pergi mengadap Ilahi pada 22 Jun 2018, yang merupakan Hari Raya kelapan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu,” katanya dengan nada sedih.

Sementara itu, Merna Sulaiman, 48, mewakili anak ketiganya, Allahyarham Mohammad Sadan Abd Ghani yang meninggal dunia Aidifitri lalu, dipercayai akibat jangkitan kuman dalam perut.

Merna berkata, arwah anaknya pernah meluahkan hasrat untuk memajukan perniagaan ikan bilis milik keluarga selepas menamatkan Ijazah Sarjana Muda Hubungan Industri.

“Ibu graduan lain datang memeluk dan meraikan anak mereka, namun saya hanya mampu memeluk ijazahnya sahaja,” katanya sebak ketika ditemui selepas mengambil skrol anaknya.

Ibu tunggal kepada lima beradik itu berkata, Mohammad Sadan seorang anak yang baik, berdikari dan tidak banyak bercakap berbanding adik-beradik lain.

“Beberapa hari sebelum meninggal, saya lihat dia lebih suka mendiamkan diri. Walaupun tahu arwah seorang pendiam, tetapi ia sangat berbeza,” katanya yang berasal dari Tawau.

Seramai 5,003 graduan terdiri daripada 4,276 ijazah sarjana muda, 603 ijazah sarjana, 55 doktor falsafah dan 69 diploma diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS kali ini.

 

Sumber: Maxwell Atan Hillary Saing 

 

KHAMIS, 29 November - Lebih 100 peserta terdiri daripada pelajar prasiswazah dan pascasiswazah menghadiri Seminar Kebangsaan Pascasiswazah Sains Sosial dan Kemanusiaan (SPSSK) 2018 yang diadakan di Theatrette Ahmad Nisfu, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS), kelmarin.

Seminar sehari itu merupakan platform ke arah membawa pelbagai idea sains sosial dan kemanusiaan di bawah satu bumbung untuk dibincang, dicabar, dikritik dan diterima oleh para peserta seminar.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, penganjuran seminar tersebut membolehkan para peserta dan pembentang berkongsi pengalaman dan pendapat untuk mengatasi sebarang masalah yang dihadapi sepanjang menjalankan penyelidikan.

“Keadaan dunia yang semakin mencabar dan proses globalisasi yang berlaku menyebabkan seseorang sentiasa menuntut ilmu baharu, di samping mengemas kini ilmu yang sedia ada dalam bidang kepakaran masing-masing. Ini penting agar ilmu yang sedia ada tidak menjadi ketinggalan zaman, dan dapat membantu dalam pembangunan modal insan sesebuah negara.

“Saya berharap agar seminar pascasiswazah ini akan menjadi titik-tolak untuk kita bersama-sama berganding bahu dan berkongsi komitmen untuk memastikan proses pengajian dan penyelidikan saudara-saudari berjalan dengan lancar dan sempurna, dan pada akhirnya akan dapat menamatkan pengajian dengan jayanya di dalam tempoh yang ditetapkan,” ujarnya pada majlis perasmian seminar berkenaan.

Teks ucapan beliau dibacakan Dekan FKSW, Profesor Dr. Ismail Ibrahim.     

Tambah Datuk Dr. D Kamarudin, sebagai usaha membantu para pelajar pascasiswazah supaya lebih kompetitif dan berinovatif, pihak pengurusan UMS telah menyediakan pelbagai insentif berupa bantuan kewangan dan geran penyelidikan khas untuk para pelajar.

“Sumber kewangan merupakan motivasi penting dalam memastikan para pelajar pascasiswazah khasnya menyelesaikan pengajian mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Sehubungan itu, UMS menerusi Pusat Pengajian Pascasiswazah menawarkan Skim Bantuan Pascasiswazah kepada para pelajar Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana, khusus bagi membantu meringankan beban kewangan para pelajar,” katanya. 

SPSSK menampilkan seorang sejarawan negara, yang juga merupakan mantan Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS, Profesor Emeritus Datuk Dr. Ahmad Adam sebagai penyampai ucaptama seminar tersebut.

Turut hadir, wakil Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah, Dr. Maria Lourdes dan Pengerusi SPSSK, Profesor Dr. Dzurizah Ibrahim.

RABU, 28 NOVEMBER - Semangat juang tanpa mengenal erti putus asa menjadi kunci kejayaan Muhammad Izzudin Rumaling, graduan yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-20.

Menurutnya, sesuatu kejayaan tidak akan datang bergolek semudah yang disangka dan kadang kala ia memerlukan pengorbanan.

“Tidak kira berkorban dari segi masa, wang dan keluarga, banyak pengorbanan yang perlu dilalui bagi memastikan kejayaan menjadi milik kita,” katanya ketika ditemui media selepas menerima anugerah berkenaan.

Izzudin berkata, bergelar sebagai mahasiswa mempunyai banyak cabaran yang perlu dilalui.

“Jangan jadikan cabaran ini sebagai penghalang, biarkan ia sebagai pembakar semangat untuk terus berdaya saing dan kekal melangkah ke hadapan,” katanya yang juga graduan sarjana muda Fizik dengan Elektronik dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA).

Beliau juga menyuarakan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya ingin membawa perubahan dalam kehidupan keluarga saya. Perubahan yang membawa kebaikan dan kehidupan yang lebih selesa. Itulah impian saya,” ujar Izzudin.

Anugerah Pelajaran DiRaja adalah antara anugerah yang diberikan UMS bagi menghargai kegigihan, ketekunan dan kecekalan pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.

 

Sumber: Nurica Nobily

 

 

 

 

RABU, 28 NOVEMBER - Masalah penglihatan tiga graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak menjadi penghalang mereka untuk meraih impian.

Nur Shahieda Eddie, Ally Racheal Yunus dan Amirul Nabil Jamaludin, masing-masing berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda sekali gus diraikan pada Majlis Konvokeysen UMS ke-20.

Bagi Nur Shahieda, masalah yang dihadapinya bermula dari peringkat awal usia dan semakin merosot ketika berada di tingkatan tiga.

“Saya terpaksa menggunakan kanta pembesar pada awalnya tetapi sejak masuk UMS, saya menggunakan kanta pembesar elektronik sumbangan daripada pihak kebajikan universiti.

“Saya menyiapkan tugasan yang diberikan seperti pelajar lain, tetapi akan meminta bantuan daripada rakan untuk memeriksa kesilapan ejaan dan format tugasan,” katanya yang mengambil jurusan Sarjana Muda Ekonomi (Ekonomi Perancangan dan Pembangunan).

Menjadikan pakar ekonomi cacat penglihatan iaitu Allahyarham Prof. Datuk Dr Ismail Salleh sebagai sumber inspirasi, Nur Shahieda turut memberi pesanan kepada golongan kurang bernasib baik agar tidak berputus asa dalam hidup.

“Selagi ada peluang untuk belajar, teruskan. Sebab kejayaan kita hanya dari kita, dan jangan jadikan kekurangan yang ada sebagai alasan untuk tidak berjaya,” katanya.

Kisah yang sama turut dikongsikan Ally Racheal dari Kampung Lodung, Kudat yang menceritakan bagaimana deria penglihatannya lenyap ketika berusia 13 tahun.

“Sewaktu lahir doktor sahkan saya sebagai anak normal, tetapi bermula di bangku sekolah iaitu semasa darjah satu, penglihatan semakin kabur dan kemudiannya tidak dapat melihat tulisan di papan tulis.

“Doktor pakar ada memberitahu bahawa semakin saya meningkat usia penglihatan saya semakin teruk, dan ketika umur saya 13 tahun penglihatan saya pun lenyap,” katanya.

Graduan Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Sejarah) itu turut berkongsi tips membangkitkan semula semangat dalam diri.

“Sebenarnya saya fikirkan kesusahan keluarga dan kedua orang tua saya, masa depan saya, dan berpegang kepada kepercayaan agama untuk timbulkan balik semangat dalam diri yang pada suatu ketika pernah merasa sangat berputus asa,” jelasnya lagi yang juga anak sulung daripada empat adik beradik.

Dalam pada itu, Amirul, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial menyatakan bahawa penyakit Glaukoma telah menyebabkan beliau mempunyai penglihatan terhad sejak tahun 2010.

Beliau yang berasal dari Pontian Johor memaklumkan masalah yang dihadapinya itu juga menyebabkan dia memerlukan masa agak lama untuk menghabiskan sesebuah buku bacaan.

“Saya kemudiannya mulai menyusun masa belajar dengan teliti iaitu bermula selepas solat maghrib sehingga jam 10.00 malam dengan mendapatkan pertolongan rakan-rakan bagi bahan-bahan ulangkaji.

“Walau bagaimanapun, saya tidak menjadikan kekurangan ini sebagai penghalang diri saya untuk bergiat aktif dalam sebarang aktiviti. Saya merupakan Presiden untuk Mahasiswa Orang Kurang Upaya UMS pada tahun ke-3 pengajian dan banyak melakukan aktiviti sukan bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS,” tambah Amirul.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, anak bongsu kepada lima adik-beradik itu mahu mengikut jejak ayahnya menceburi bidang keusahawanan pertanian.

“Saya mahu membantu ayah mengembangkan projek-projek penternakan dan penanaman, serta dalam masa yang sama akan menyambung pelajaran sekiranya mempunyai peluang,” jelas penerima Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial itu lagi.

Majlis Konvokesyen UMS yang berlangsung pada 24-26 November itu menyaksikan seramai 5,003 graduan menerima ijazah terdiri daripada 55 penerima ijazah doktor falsafah, 603 ijazah sarjana, 4,276 ijazah sarjana muda dan 69 graduan diploma.

 

Sumber: Maxwell Atan Hillary Saing dan Al Hidayah Awang