KHAMIS, 11 OKTOBER  - Proses Penamaan Calon Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjalan lancar kelmarin di kampus induk UMS termasuklah di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) dan Kampus Cawangan Sandakan.

Penamaan Calon  itu yang bermula pukul 9.00 hingga 11.00 pagi menyaksikan seramai 25 calon bakal bertanding bagi merebut 10 Kerusi Umum pada PMPP yang dijalankan serentak pada 17 Oktober ini.

Daripada jumlah tersebut, 17 calon akan bertanding bagi tujuh kerusi di UMS Kota Kinabalu, lima calon untuk dua kerusi di UMSKAL dan tiga calon bertanding untuk satu kerusi di UMS Kampus Sandakan.

Bagi Kerusi Fakulti, sebanyak lima fakulti di kampus induk telah mencatatkan kemenangan calon tanpa bertanding.

Fakulti tersebut ialah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Turut merekodkan calon menang tanpa bertanding ialah Kerusi Fakulti untuk Pusat Pengajian Pascasiswazah.

Fakulti selebihnya iaitu Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) masing-masing akan ditentukan pada proses pemilihan nanti.

Dalam pada itu, di UMSKAL calon-calon akan bertanding bagi merebut dua kerusi Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan satu kerusi untuk FKI Labuan.

Senario itu turut dirasai di Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS Kampus Sandakan menerusi empat calon yang bertanding untuk dua Kerusi Fakulti.

Sehubungan itu, para pelajar UMS yang layak mengundi dipelawa untuk menunaikan tanggungjawab bagi membuang undi pada tarikh ketetapan tersebut.

 

RABU, 10 Oktober - Budaya suka membaca harus dipupuk sejak di peringkat kanak-kanak bagi mencapai hasrat ke arah modal insan yang berilmu tinggi.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, masyarakat terutamanya  para ibu bapa harus mengambil peluang dan berkunjung ke pesta buku bersama anak-anak dan menjadikannya sebagai satu aktiviti keluarga yang berkualiti.

Menurutnya, pesta buku sememangnya sering diadakan di Kota Kinabalu namun ianya berskala kecil dan bersifat ad-hoc.

“Mungkin tidak keterlaluan jika penganjur menjadikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai contoh atau penanda aras dan hala tuju Pesta Buku Borneo pada masa akan datang,” ujarnya dalam teks ucapan perasmian penutupan program tersebut yang dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi, Jennifer Lasimbang.

Selain itu, beliau juga menyarankan agar pihak penganjur memikirkan secara serius idea untuk mewujudkan Anugerah Buku Borneo sebagai pengisian utama pada Pesta Buku Borneo pada masa akan datang.

Terdahulu, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menyatakan komitmen UMS dalam memartabatkan lagi Pesta Buku Borneo dengan melibatkan bantuan daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta pada masa akan datang.

“Dengan sokongan semua pihak terutamanya masyarakat dan penggemar buku Borneo ini, tidak mustahil Pesta Buku Borneo boleh pergi lebih jauh. 

“Saya juga berharap kunjungan orang ramai, ibu bapa dan pelajar-pelajar ke pesta buku ini telah mendatangkan impak yang positif dan dimanfaatkan sepenuhnya. Jadikan kunjungan ke pesta buku ini bukan sahaja sebagai satu aktiviti keluarga yang berkualiti, tetapi bagi peminat-peminat buku, ini adalah peluang keemasan untuk menambah koleksi buku,” tambahnya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Madya Dr. Normah Awang Besar.

Turut hadir, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Asmiah Ajamain; Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pesta Buku Borneo 2018 Sandapak Enterprise, Haji Osman Langkap; serta Pengarah Penerbit UMS, Profesor Madya Dr. Asmady Idris.

RABU, 10 OKTOBER – Syarahan Perdana Science, Technology, Engineering and Mathematic (STEM) yang berlangsung di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menjadi medan percambahan ilmu berkaitan wadah dalam memupuk minat anak-anak muda khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Program anjuran Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS itu menampilkan dua pakar sebagai penceramah jemputan yang mempunyai kaitan kuat dengan gerakan STEM iaitu Pengerusi National STEM Movement,  Prof. Dato’ Dr. Noraini Idris dan Pengarah Pusat Asasi STEM, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Laili Che Rose.

Kedua-dua Penceramah berkongsi mengenai kepentingan STEM pada masa kini yang mampu menjadi platform paling efektif dalam usaha menyediakan graduan mahir dalam ilmu sains, matematik dan kejuruteraan selaras dengan kepesatan Revolusi Industri 4.0.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Noraini, pelbagai keputusan mampu dibuat berdasarkan perbincangan akademik yang membincangkan isu perkembangan sains terhadap kelestarian alam dan perbincangan  melalui bentuk syarahan seperti ini dapat membuka jalan penambahbaikan kepada banyak perkara.

“Saya percaya para peserta mempunyai kemampuan untuk menjadi seorang mahir dengan ilmu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik sekali gus menyumbang kepada kemajuan negeri Sabah dan negara kita Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam ucapannya berkata, program syarahan perdana STEM itu merupakan program yang julung kalinya diadakan sebagai inisiatif universiti untuk menyokong perkembangan sains dan teknologi di negeri Sabah.

“Ilmu dan perkongsian penceramah  dalam sesi syarahan ini mampu menonjolkan kehebatan sains dan keperluan sains dalam kehidupan seharian sama ada sebagai saintis atau pentadbir.

“Justeru, saya menyeru kepada semua pelajar, ambillah peluang ini untuk melengkapkan ilmu dan pengetahuan mengenai gerakan STEM, moga anda yang hadir hari ini merupakan bakal graduan STEM yang mampu menyumbang semula kepada negeri yang kita cintai ini,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS, Prof. Dr. Hj. Mohd Dahlan Hj. A. Malek.

Turut hadir pada majlis syarahan itu, Dekan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Prof. Dr. Ismail Ibrahim.

SELASA, 9 OKTOBER – Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Chong Li Tsu meraih kecemerlangan pada 3rd Malaysian Nursing Council-International Nursing Conference 2018 apabila memenangi Anugerah Persembahan Oral Terbaik pada acara tersebut.

Bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau yang merupakan pensyarah Program Kejururawatan meyampaikan persembahan bertajuk ‘Smartphones Usage as Learning Aid among Nursing Students in Universiti Malaysia Sabah’.

Kejayaan itu menyaksikan beliau mengatasi 33 peserta dalam dan luar negara yang telah menyertai pertandingan dalam kategori tersebut.

Dalam pada itu, Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree ketika mengulas tentang kejayaan tersebut berkata, kemenangan ahli akademik FPSK khususnya di peringkat antarabangsa akan membantu menaikkan lagi imej UMS di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Diharapkan kejayaan sebegini akan terus dicapai secara konsisten oleh Pensyarah FPSK pada masa akan datang demi memartabatkan lagi nama UMS di peringkat dunia,” ujar beliau.

 

SELASA, 9 OKTOBER -  Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) telah menerima kunjungan balas daripada Kelab Wanita UMT (Mutiara) ke Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Rombongan Kelab Mutiara UMT yang diketuai oleh Pengerusinya, Prof. Madya Dr. Noraida Hj. Ali bersama 15 orang ahli Mutiara telah disambut mesra Timbalan Yang DiPertua KESUMBA, Dr. Aza Sherin Mohamad Yusuff bersama Ketua Biro dan ahli KESUMBA dalam satu majlis di Teratak KESUMBA UMS.

Terdahulu, Dr. Aza Sherin dalam ucapannya menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak kelab Mutiara UMT atas kesudian mengadakan lawatan balas ke Kelab KESUMBA UMS dan berharap dapat  mengeratkan lagi hubungan baik antara kedua-dua organisasi ini.

Sementara itu, Dr. Noraida turut menyampaikan rasa syukur dan amat terharu dengan sambutan dan persiapan yang istimewa disediakan pihak KESUMBA dan rombongan Mutiara amat bertuah dapat datang ke UMS yang indah serta dapat melawat ke Negeri Di Bawah Bayu ini.

Setiausaha Kehormat KESUMBA, Stella@Nurul Marini Gontol telah memberi taklimat tentang latar belakang KESUMBA termasuk aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun 2018.

Antara aktiviti yang turut diadakan adalah sesi Demonstrasi membuat keropok lekor oleh Ahli Kelab Mutiara kemudian lawatan ke Akuarium dan Hatceri di Institut Penyelidikan Marin Borneo UMS.

Kunjungan balas ini ekoran Lawatan Kelab KESUMBA ke UMT pada 7 hingga 10 April 2018 lalu.

Turut bersama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Kampus Antarabangsa Labuan (KAL), Hayati Salleh Baihaki, Ketua-ketua Biro dan ahli KESUMBA yang lain.