RABU, 28 JUN - Seramai 40 pelajar wanita Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Bengkel Pengurusan Penampilan dan Imej (BPPI) yang dianjurkan Persatuan Mahasiswa Psikologi dan Pendidikan (PERMAPS) baru-baru ini.

Bertempat di Dewan Kuliah Pusat 29, bengkel tersebut diadakan dengan kerjasama Charismatic Leaders Academy (CLA).

Menurut kenyataan PERMAPS, antara aktiviti yang dijalankan termasuklah taklimat bertajuk “Building Confidence: Attitudes & Attire”, sesi bual bicara kecantikan dan keyakinan diri serta  kelas solekan “Night & Day Look”.  

Menurut kenyataan itu lagi, bengkel tersebut dilaksanakan bagi mendidik para peserta mengenai pentingnya penjagaan penampilan dan imej dalam pembentukan sahsiah diri seseorang yang bergelar mahasiswa.

Majlis perasmiannya disempurnakan Pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Dr. Crispina Gregory K. Han.

Dalam ucapannya, beliau berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan kerana mampu memberi pelbagai manfaat khususnya dalam mendidik para pelajar dalam aspek penampilan sekali gus meningkatkan keyakinan diri.

 

Sumber: PERMAPS

 

KHAMIS, 22 JUN - Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa (SRIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mengadakan Kembara Integriti SRIM Siri 3 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menurut kenyataan SRIM, penganjurannya di UPSI adalah bersempena Program Perhimpunan Rakan Integriti Mahasiswa (PRIMA) anjuran Rakan Integriti Mahasiswa (RIM) UPSI.

Program yang berlangsung selama empat hari itu menyaksikan penyertaan seramai 12 ahli SRIM UMS yang terdiri daripada barisan Majlis Tertinggi dan Majlis Eksekutif SRIM.

Dalam kenyataan itu ada menyebut bahawa rombongan peserta UMS turut berkongsi pengalaman dan idea berkaitan dengan program-program yang telah dijalankan dengan jayanya oleh mereka di UMS.

Program PRIMA itu turut diisi dengan forum bertajuk ‘Integriti dalam Pendidikan’ yang telah berlangsung di Dewan E-Learning UPSI.

Antara topik yang dibincangkan adalah bagaimana integriti dalam pendidikan boleh melahirkan ramai mahasiswa yang hebat.

Turut menjadi perbincangan hangat ialah bagaimana membentuk generasi yang berintegriti seiring dengan kecemerlangan dalam pencapaian pendidikan.

 

Sumber: SRIM, UMS

KHAMIS, 22 JUN - Exco Kesenian dan Kebudayaan, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) Non-Resident (NR), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program Jejak Seni dan Kebudayaan Sabah baru-baru ini.

Program itu diadakan di tiga lokasi iaitu Muzium Sabah, Muzium Tamadun Islam dan Balai Seni Sabah dengan penyertaan  seramai 40 mahasiswa.

Menurut kenyataan Jakmas NR, penganjurannya antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada peserta khususnya yang berasal dari luar negara, Sarawak dan Semenanjung Malaysia tentang keunikan adat dan kebudayaan masyarakat Sabah yang diwarisi sejak turun temurun.

Kenyataan itu memaklumkan, kesemua peserta ketika berada di Muzium Sabah telah melawat Geleri Keretapi, Pusat Sains Sabah serta Rumah-rumah Tradisional.

Di Muzium Tamadun Islam pula, selain lawatan ke sekitar muzium, turut diadakan taklimat dan sesi soal jawab bersama pegawai dari muzium tersebut.

Program itu diakhiri dengan kunjungan ke Balai Seni Sabah.

 

Sumber: Jakmas NR

 

 

RABU, 21 JUN – Semangat gotong-royong antara kakitangan Jabatan Bendahari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam menyediakan jamuan sempena program ‘Ketuk-ketuk Ramadan’ mampu mengeratkan lagi jalinan ukhuwah antara kakitangan yang terlibat.

Program tahunan Jabatan Bendahari yang memasuki tahun kelima penganjurannya merupakan kemuncak kepada beberapa siri program yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan,  antaranya sesi tazkirah mingguan dan penyediaan juadah Iftar di Masjid UMS. 

Menariknya, kakitangan bukan beragama Islam turut bersemangat mengambil bahagian dalam acara yang bermula seawal jam 9.30 pagi tadi di Perkarangan Aras 2, Blok Utara, Bangunan Jabatan Canselori.

Antara juadah yang disediakan ialah Nasi Tomato, Ayam Goreng Berempah, Ayam Masak Merah, dan minuman Laici Kang.

Juadah yang selesai dibungkus kemudiannya diagihkan kepada kakitangan UMS dari jabatan lain.

 

RABU, 21 JUN – Persatuan Pelajar Pascasiswazah (PSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil kesempatan dalam keberkatan bulan Ramadan dengan menyantuni golongan anak-anak yatim baru-baru ini.

Program Semarak Bulan Ramadan Bersama Anak Yatim 2017 yang berlangsung di Hotel Tabung Haji, Sembulan itu meraikan seramai 35 anak yatim dari tujuh buah sekolah di sekitar Kota Kinabalu antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Gudon, SK Melawa, SK Kolombong, SK Inanam 2, SK Pengiran Siti Hafsah, SK Bukit Padang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Likas.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Pusat Pengajian Pascasiswazah, Jakaria Dasan berkata, majlis tersebut dilangsungkan bertujuan untuk mengimarahkan dan menzahirkan bulan Ramadan dengan meraikan golongan anak-anak yatim yang masing-masing berumur lingkungan 7 hingga 17 tahun.

“Ini sekali gus mampu memupuk rasa cinta beramal ibadah menerusi amalan bersedekah, serta membentuk sifat rendah diri dalam kalangan pelajar pascasiswazah,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis itu.

Selain acara berbuka puasa, turut diadakan aktiviti pengagihan barangan sumbangan yang terdiri daripada keperluan harian, dan pemberian duit raya kepada anak-anak yatim sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Kos barangan dan duit raya adalah hasil sumbangan dan derma ikhlas daripada para dermawan yang diusahakan sendiri oleh exco-exco PSA.

“Ini sedikit sebanyak diharap dapat menghiburkan hati golongan kurang bernasib baik ini,” ujar Jakaria.