RABU, 15  Jun  - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melancarkan Kumpulan Penyelidikan ‘Sustainability Initiative in the Marginal Seas of South and East Asia’ (SIMSEA) baru-baru ini.

Menurut Ketua SIMSEA UMS, Profesor Dr. Fadzilah Majid-Cooke, pelancarann itu sekali gus membolehkan UMS menjadi rakan kongsi beberapa institusi dari Jepun, New Zealand dan Filipina dalam menjana dasar dan pengetahuan berkaitan komuniti.

“SIMSEA UMS terdiri daripada penyelidik dari pelbagai pusat kecemerlangan dan fakulti UMS termasuk Institut Penyelidikan Marin Borneo, Fakulti Sains dan Sumber Alam, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, SIMSEA merupakan pakatan antarabangsa saintis semula jadi dan sosial yang mendapat sokongan daripada Majlis Antarabangsa Pejabat Wilayah Sains bagi Asia dan Pasifik (ICSU ROAP).

“Salah satu objektif SIMSEA adalah untuk bersama mereka bentuk program integratif yang akan mewujudkan kelestarian Laut Marginal Selatan dan Asia Timur,” jelas Dr. Fadzilah.

Sementara itu, SIMSEA akan mengadakan simposium penyelidikan serantau pada 26-28 September 2016 di Filipina bagi meneroka potensi kerjasama penyelidikan dan penubuhan rangkaian tindakan pengetahuan bagi rantau ini.

 Maklumat lanjut berhubung simposium boleh diperolehi melalui http://simseaasiapacific.org/call-for-session-proposals-simsea-regional-symposium-2016-on-26-28-september-2016-at-quezon-city-philippine/. – FL

Sumber: UMS SIMSEA Kumpulan Penyelidikan

SELASA, 14 JUN – Pusat Minda Lestari (PML) baru-baru ini menganjurkan Temasya Sukaneka bagi program Tadika Minda Lestari buat julung-julung kalinya dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), PML. 

Bertemakan ‘Membina Generasi Cemerlang’, aktiviti tahunan ini diadakan di Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan dirasmikan Pengarah PML, Aidah Noordin.

Dalam ucapannya beliau berkata, program itu bertujuan melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelektual.

“Murid bukan sahaja berpeluang memperkembangkan daya intelek mereka, malah jasmani turut dilatih agar lebih sihat dan cergas,” katanya.

Menurutnya lagi, temasya tersebut juga bagi memupuk semangat kerjasama antara PML dan PIBG khususnya dalam melaksanakan tanggungjawab bersama membangunkan pendidikan awal kanak-kanak.

“Sesungguhnya peranan ibu bapa juga amat penting sebagai pendorong kepada anak-anak untuk meminati bidang sukan sejak kecil. Sokongan mereka sangat besar impaknya kepada anak-anak dalam membantu mereka mencapai kejayaan. Menang atau kalah adalah adat pertandingan dan yang penting anak didedahkan dengan nilai-nilai keharmonian semasa bersukan,” tambah Aidah.

Penyertaan kali ini melibatkan kira-kira 150 peserta terdiri daripada murid-murid Tadika berumur 4-6 tahun, ibu bapa atau penjaga serta guru-guru PML.

Sebanyak 20 acara telah dipertandingkan, antaranya ialah kutip gula-gula, lempar gelung, bina menara, lari berhalangan, si buta menyusun huruf, langkah seribu dan lumba pakai stoking dan selipar. 

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua PIBG, Abdul Latif Matali. -SS

 

Sumber: Zaleha Abdul Ghani, PML

 

 

 

 

 

 

ISNIN, 13 JUN - Sempena bulan Ramadan ini, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan (ERDEC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Bazaar Ramadan UMS bertempat di Perkarangan Anjung Siswa.

Bazaar yang mula beroperasi sejak 6 Jun lalu itu merupakan usahasama antara Jabatan Hal Ehwal Pelajar, ERDEC dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Tinjauan media UMS mendapati, setiap hari dianggarkan lebih 300 orang pengunjung berpusu-pusu ke bazaar tersebut yang mula dibuka seawal pukul 3.00 petang.

Antara juadah yang terdapat di bazaar berkenaan termasuklah pelbagai jenis kuih muih, minuman dan menu masakan yang menyelerakan.

Warga kampus dan penduduk sekitar yang bercadang untuk berkunjung ke bazaar berkenaan dinasihatkan agar tidak khuatir kerana Bahagian Keselamatan UMS menyediakan tempat letak kereta yang mencukupi untuk semua pengunjung.

 

 

JUMAAT, 10 JUN - Kelab 1Malaysia Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menganjurkan program Rimbunan Kasih bertempat di Rumah Anak Yatim dan Asnaf, Kampung Langsat, Ranau.

Menurut Presiden kelab itu, Muhammad Firdaus Syarifuddin, seramai 20 ahli kelab menjayakan program berkenaan yang dimulakan seawal pukul 10.00 pagi.

“Program Rimbunan kasih ini diadakan sebagai medan untuk  beramah mesra bersama anak yatim selain memberi sumbangan kepada pihak rumah kebajikan tersebut yang baharu siap dan beroperasi tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, program sehari itu mendapat sambutan yang amat baik dan kesemua penghuni rumah anak yatim seramai 26 orang begitu teruja menyertai aktiviti yang telah dirancang.

“Antara aktiviti yang diadakan termasuklah sesi senaman pagi dan acara sukaneka yang dilihat sedikit sebanyak memberi kegembiraan kepada golongan anak-anak yang kurang bernasib baik ini,” ujar Firdaus.

Dalam masa yang sama katanya, program berkenaan turut menjadi platform ahli kelab yang juga mahasiswa UMS mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan masyarakat luar.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sumbangan dan cenderahati kepada wakil Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Langsat Ranau, Ustaz Hainin. –SS

Sumber:  Norhana Nordin, Jabatan Hal Ehwal Pelajar

JUMAAT, 10 JUN - Bahagian Pergigian Pusat Rawatan Warga (PRW)  buat julung kalinya telah menjayakan Program Pencegahan Kerosakan Gigi khusus untuk kanak-kanak Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Bertemakan ‘Gigi Sihat Hati Riang’, program tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Kesihatan UMS, Dr.Fredie Robinson.

Menurut ketua ptogram tersebut, Dr. Mary Sieman, , matlamat utama program ini adalah untuk memberi tunjuk ajar mengenai cara-cara penjagaan kesihatan gigi dan mulut di peringkat awal kanak-kanak dan juga kepentingan untuk membiasakan diri dengan tabiat yang baik dan membuang tabiat buruk yang boleh merosakkan gigi.

“Gigi yang sihat dan kuat memberi banyak kepentingan kepada kita. Ia berfungsi menghancurkan makanan sebelum diproses untuk membekalkan tenaga kepada badan

Ini sekali gus memberi implikasi dalam meningkatkan keyakinan kanak-kanak untuk bergaul dengan rakan mereka apabila mereka mempunyai gigi yang cantik, sihat dan senyuman yang ceria,” katanya.

Ujarnya lagi, pihak PRW juga berharap mampu meneruskan kerjasama dengan PML berkaitan penjagaan gigi pada masa akan datang.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memeriahkan suasana program tersebut, antaranya penyerahan berus gigi kepada kanak-kanak, pameran, demo dan memberus gigi bersama, pemilihan gigi sihat, pertandingan kuiz dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Hadir sama dalam program tersebut Pengarah PML, Aidah Noordin dan Ketua PRW, Dr.Shazia Qaiser.

Sumber: Zaleha Abdul Ghani, PML