- Jumlah paparan: 603
"Lepto-AD" Kit Hasil Inovasi Penyelidik IPB Ungguli Anugerah BioPitch BioMalaysia 2016
KHAMIS, 9 JUN - Dua penyelidik Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Kenneth Rodrigues dan Dr. Daisy Vanitha John telah mencatatkan pencapaian membanggakan apabila berjaya memenangi Anugerah BioPitch di BioMalaysia 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
Produk "Lepto-AD" Kit Pengesanan Antigen Leptospira memenangi anugerah tersebut atas faktor penyelesaian inovatif yang cemerlang terhadap cabaran-cabaran teknikal, sosial dan alam sekitar dalam analisis perubatan dan diagnostik.
Produk inovasi yang telah dihasilkan kedua-dua penyelidik tersebut bersama-sama dengan pelajar mereka, Mohd Iskander Ramzanah dan Yuszniahyati Yaakob dari Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu adalah berdasarkan kepada pendekatan menyeluruh dalam menangani kos yang tinggi untuk antigen yang boleh didapati secara komersial untuk aplikasi Enzyme Linked Immuno Sorbent Assay (ELISA) terhadap leptospirosis.
Leptospirosis adalah penyakit bakteria berjangkit yang menjangkiti manusia dan haiwan disebabkan oleh spiroket Leptospira, yakni mikroorganisma patogenik, yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, meningitis (radang membran di sekeliling otak dan saraf tunjang), kegagalan hati, masalah pernafasan dan kematian dalam kes-kes tertentu.
Pasukan penyelidikan menggunakan bioinformatik untuk mengenal pasti kawasan penting yang mempamerkan keantigenan yang tinggi terhadap spiroket tersebut.
Kit Lepto-AD terdiri daripada panel tiga antigen yang diuji bersama untuk mencapai tahap ketepatan yang lebih tinggi dalam diagnostik, dan ketepatan kit ini telah disahkan oleh pengesanan antigen menggunakan sampel serum yang positif leptospira yang diperolehi daripada pesakit tempatan.
Kos pengeluaran kit ini juga adalah jauh lebih rendah; yakni satu per sepuluh daripada harga produk yang boleh didapati secara komersial.
Produk ini telah pun di guna pakai oleh Platcomm Ventures Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang membiayai pembangunan produk inovatif untuk dibawa ke pasaran.
Produk Lepto-AD kini boleh didapati untuk penggunaan makmal diagnostik yang terlibat dalam pengesanan Leptospirosis.
Sumber: Institut Penyelidikan Bioteknologi



RABU, 08 JUN - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah melahirkan kekecewaan terhadap sebuah akhbar tempatan yang memuatkan tajuk berita yang tidak tepat berhubung insiden bas terbabas yang berlaku di kampus itu di sini semalam.
RABU, 08 JUN – Kolej Kediaman E, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mengadakan satu Majlis Makan Malam bertemakan “Aloha, Hakuna Matata” anjuran Exco Kesenian dan Kebudayaan, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) kolej berkenaan.
SELASA, 7 JUN – Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program Eco-FPEP yang dianjurkan oleh HE06 Green Team, sebuah kelab yang bernaung di bawah program Pengurusan Kewangan dan Perbankan (HE06) baru-baru ini.
SELASA, 7 JUN - Satu program khidmat masyarakat telah diadakan baru-baru ini bertempat di Kampung Baru Jumpa, Tenom anjuran 35 pelajar kursus kokurikulum berkredit Interaksi Mahasiswa dan Masyarakat (INTERIM), Semester II, Sesi 2015-2016.