Seramai 437 kakitangan dan pesara Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraikan dalam Anugerah Kecemerlangan Universiti (AKU) 2023 yang berlangsung di Pusat Islam UMS, di sini, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 165 orang adalah penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 70 penerima Anugerah Inovasi, dan 27 pesara penerima Anugerah Jasamu Dikenang.

Majlis AKU 2023 turut meraikan 70 kakitangan yang genap berkhidmat selama 25 tahun dengan memberi Anugerah Sanjungan Budi, 94 penerima Anugerah Jasa Setia (berkhidmat 20 tahun) dan 80 penerima bagi Anugerah Jasa Bakti (berkhidmat 10 tahun).

Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor.

Kasim dalam ucapannya berkata kakitangan UMS perlu menghayati konsep Negara MADANI yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

“Kita akan dapat menelaah, mempelajari dan memahami bahawa wujud suatu konsep atau ciri-ciri sumber manusia yang cekap dan berwibawa.

“Ini adalah kerana MADANI itu mempunyai enam nilai teras yang unggul kualitinya, mendalam maknanya, yakni kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

“Selaku institusi ilmu, kita di universiti perlu turut sama menghayati maksud MADANI ini dan dengan sebaik mungkin menerapkannya ke dalam gerak kerja dan tindakan yang kita lakukan,” katanya.

Tambah Kasim, beliau percaya dengan pengalaman, kepakaran dan kemahiran yang ada pada diri kakitangan, mereka mampu untuk terus mencurah khidmat bakti kepada komuniti dan masyarakat.

“Bak kata bidalan, ‘Dibuang ke laut menjadi pulau, ditebar ke langit menjadi bintang, dilempar ke hutan menjadi gunung’.

“Teruskan usaha gigih tuan-tuan dan puan-puan menjadikan UMS sebagai institusi pengajian tinggi yang terus melakar pelbagai kejayaan pada masa hadapan,” jelasnya.

Kasim turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah pada majlis tersebut.

“Semoga penganugerahan dan pengiktirafan yang diberikan dapat menyuntik semangat tuan-tuan dan puan-puan untuk terus berkhidmat dengan lebih berdedikasi, berintegriti dan penuh iltizam demi kecemerlangan universiti kita yang tercinta ini,” ujarnya.

Pada majlis tersebut juga, Kasim turut melancarkan Pelan Transformasi UMS 2050 dan Pelan Strategik UMS 2023 - 2027.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly dan Pendaftar UMS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis AKU 2023, Luqman Ridha Anwar.

 

Training Course on Tourism 2023 University Malaysia Sabah (UMS)-MTCP equip knowledge and skills to champion sustainable and responsible tourism.

Implementation of this program is aim to equip knowledge and skills to champion sustainable and responsible tourism, to draw lessons from adversity and infuse them into resilient strategies, and to create a dynamic network that transcends borders and fosters collaboration.

According to Vice Chancellor of UMS, Professor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, the Training Course on Sustainable and Resilient Tourism beyond Frontiers is not just about advancing academic knowledge.

“It is a bridge to a more sustainable tourism industry that is deeply cognizant of its role in the broader framework of global development.

“This course embodies a holistic approach, weaving together the threads of nature tourism, sustainability studies, and consultative experiences,” he said.

He said this while inaugurating the closing ceremony of this program.

Kasim added, this program also stands at the intersection of academia, industry, and community, recognizing that the journey to transformational change must be collective and inclusive.

“As we gather here today with our unique skillsets and perspectives, we embark on a journey of exploration, discovery, and co-creation.

“This journey is not just about learning, it is about driving innovation, fostering resilience, and empowering each participant to become a torchbearer of change within their respective spheres of influence,” he said.

This program is a testament to the unwavering dedication of the Institute for Tropical Biology and Conservation (ITBC) at UMS towards advancing sustainable and responsible tourism in alignment with the United Nations’ Sustainable Development Goals (UNSDG 2030).

Present to this program, Director of Institute for Tropical Biology and Conservation UMS, Associate Professor Dr. Fiffy Hanisdah Saikim and Undersecretary of International Cooperation and Development Division, Ministry of Foreign Affairs, Malaysia, Devrin Jeck.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalin kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui penubuhan Pusat Dialisis UMS-YKN bagi membantu pesakit end stage renal disease (ESRD) atau penyakit buah pinggang kronik bagi mendapatkan rawatan.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, Pusat Dialisis UMS-YKN menyediakan penjagaan dan rawatan hemodialisis berkualiti tinggi kepada pesakit ESRD.

“Kini, Pusat Dialisis UMS-YKN dilengkapi dengan sembilan kerusi hemodialisis yang boleh memuatkan jumlah maksimum 54 pesakit keseluruhan.

“Terdapat 14 orang jururawat terlatih dan dua orang pembantu perawatan kesihatan yang bertugas di pusat rawatan tersebut.

“Bukan itu sahaja, perundingan daripada pakar perubatan dan pakar nefrologi profesional dengan pasukan jururawat profesional untuk memastikan penjagaan dan rawatan kejururawatan berkualiti tinggi turut diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena program lawatan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri ke pusat dialisis tersebut.

Menurut Kasim lagi, kemudahan rawatan yang disediakan di Pusat Dialisis UMS-YKN dapat membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat yang berpendapatan rendah bagi mendapatkan rawatan hemodialisis.

“YKN telah melantik UMS bagi melaksanakan perkhidmatan dalam tempoh lima tahun bermula 16 April 2021 sehingga 15 April 2026 dan akan menghantar sejumlah maksimum 18 pesakit ESRD sepanjang tempoh tersebut.

“YKN akan membuat bayaran rawatan bagi setiap pesakit tajaan mereka sebanyak RM250 bagi setiap kali rawatan dengan bilangan maksimum rawatan sebanyak 13 kali sebulan.

“Sepanjang tempoh rawatan tersebut, pendidikan kesihatan dan ceramah dan penilaian pemakanan juga turut diberikan dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi.

Kasim turut memaklumkan, Pusat Dialisis UMS-YKN telah dibuka untuk orang ramai termasuk pelajar dan kakitangan UMS sejak 14 Jun 2017.

Pada majlis tersebut, Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron turut menyempurnakan acara Penyerahan Memorandum Persefahaman antara UMS-YKN.

Nancy juga berkesempatan dibawa untuk meninjau kemudahan serta melawat beberapa pesakit yang menerima rawatan di pusat tersebut

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hajah Aiman Athirah Sabtu dan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Maziah Che Yusof.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Seni dan Teknologi Kreatif (PASTIK23) di Theatrette Ahmad Nisfu, ASTiF baru-baru ini. 

Persidangan dua hari yang bertemakan Seni, Kreativiti dan Teknologi Memartabatkan Budaya itu menghimpunkan sebanyak 68 kertas kerja merangkumi pelbagai tajuk yang berkait dengan seni, sastera lisan dan moden, tarian, teater, filem serta industri kreatif.

Ucaptama persidangan ini disampaikan oleh Pengasas Studio Ace Production, Geoffrey Sinn Chun Hou yang bertajuk Navigating Relevance: Creative Workers in the Transformative Era.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, PASTIK23 merupakan usaha ASTiF yang cemerlang dalam konteks mempromosikan penyelidikan khususnya dalam bidang seni kreatif.

“Peranan seni kreatif sebagai satu medium yang mengangkat budaya, adat dan tradisi pemangkin masyarakat perlulah diteruskan dengan mengimplimentasikan teknologi seni kreatif bagi memperkasa adat dan tradisi warisan menerusi pertemuan para pengkaji dan ahli akademik yang menjadi satu platform perbincangan dan perkongsian informasi dalam sejagat kebudayaan.

“Pakar seni haruslah mengambil peluang dengan menggabungkan disiplin ilmu seni dalam bidang reka bentuk grafik, sains dan industri melalui penggunaan teknologi komputer untuk menghasilkan penerbitan akademik yang berkualiti,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Tambah beliau, implementasi teknologi dalam bidang seni mampu membuka horizon baharu kepada para pengkaji seni untuk lebih kreatif dengan menggabungkan berbagai elemen visual, audio dan interaktif.

Katanya, gabungan disiplin ilmu dalam penyelidikan dan penerbitan penting untuk mengintelektualkan ilmu seni, sekali gus mampu melonjakkan martabatnya secara global.

PASTIK23 dianjurkan buat kali ketiga melibatkan seramai 123 peserta dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi MARA (UITM) termasuk UMS serta universiti antarabangsa dari Brunei, Indonesia dan China.

Turut hadir Dekan ASTiF, Prof. Madya Dr. Zairul Anwar Md. Dawam dan Pengerusi PASTIK23, Prof. Dr. Low Kok On.

 

Dalam usaha untuk terus menyemai dan menyuburkan rasa cinta kepada negara dalam kalangan masyarakat, Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama-sama komuniti pustakawan di negeri Sabah telah menjayakan Program Kembara Merdeka 2023 baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Pustakawan Malaysia dengan kerjasama Perpustakaan UMS, Perpustakaan Negeri Sabah, Perpustakaan Penyelidikan Borneo Tun Haji Mohd Fuad Stephens, Yayasan Sabah serta Kelab Pemilik Basikal Retro Membakut (KROM).

Program tahunan itu antara lain bertujuan untuk meyemarakkan semangat patriotik dan nilai kecintaan kepada bangsa dan negara, selain menjadi medan meningkatkan jalinan ukhuwah dikalangan pustakawan dan warga perpustakaan sekitar Kota Kinabalu dengan bekerjasama menggembleng tenaga menjayakan program tersebut.

Menurut Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif, Kembara Merdeka itu sudah menjadi acara anjuran tahunan oleh Persatuan Pustakawan Malaysia kumpulan Sabah dan pada tahun ini diadakan di Perpustakaan Negeri Sabah cawangan Membakut.

“Pihak kami akan sentiasa bersedia untuk menyokong program-program yang berkaitan, dengan harapan program seumpama ini membawa harapan yang besar untuk memberi impak positif kepada masyarakat.

“Ia bukan hanya merayakan sejarah kita, tetapi juga menggalakkan kesedaran akan kepentingan ilmu dan pengetahuan dalam pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks perasmian yang dibacakan oleh Timbalan Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, George Yih Ching Yaw.

Tambah beliau, melalui penganjuran program tersebut, masyarakat dapat bersatu dalam semangat persatuan dan keharmonian yang telah menjadi ciri utama Malaysia khususnya di Sabah.

“Melalui program ini juga, masyarakat dapat menghayati kembali perjuangan yang telah membawa kita kepada kemerdekaan dan mengapresiasi kesepakatan antara kaum yang membentuk negeri dan negara kita yang unik,” ujarnya.

Program Kembara Merdeka 2023 bermula di Stesen Keretapi Tanjung Aru sehingga ke Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Membakut yang diadakan bersempena dengan Hari Malaysia.

Untuk rekod, seramai 120 orang yang terdiri daripada peserta dan jemputan telah menghadiri majlis perasmian program tersebut.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kecil Membakut, Ibrahim Terki dan Ketua Pustakawan UMS, Md Sazali Md Salleh.