KHAMIS, 06 DISEMBER – Seramai 49 murid diraikan pada Majlis Graduasi Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-8 yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) baru-baru ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam ucapan perasmiannya berkata, usaha mencapai kecemerlangan dalam pendidikan bermula dari rumah dan ibu bapa adalah guru pertama yang dikenali anak-anak.

“Ibu bapa bertanggungjawab menanam nilai atau norma hidup yang sesuai bagi membolehkan anak-anak cemerlang pada masa depan serta menjadi manusia yang dapat memanfaatkan agama, bangsa dan negara.

“Saya yakin peranan yang dimainkan ibu bapa dan kakitangan di sini akan terus menjadi pencetus kepada kecemerlangan pendidikan dalam kalangan anak-anak di PML,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan  Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Prof. Dr. Murnizam Halik di Dewan Kuliah Pusat 1.

Datuk Dr. D Kamarudin turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak pengurusan PML dan Jawatankuasa Majlis Hari Graduasi kerana berjaya menganjurkan majlis tersebut dengan gilang-gemilang.

Sementara itu, Pengarah PML, Aidah Noordin berkata, selain bertujuan memberi penghargaan kepada graduan prasekolah di PML, penganjuran Hari Graduasi itu  juga antara lain memupuk nilai-nilai murni dan kerjasama antara para pendidik dan ibu bapa.

“Tema tahun ini ‘Love Our Ocean atau ‘Sayangi Lautan Kita’ dipilih adalah bagi memupuk kesedaran kanak-kanak menjaga alam sekitar dan kepentingannya kepada manusia.

“Persiapan pentas dan persembahan mereka juga adalah mengikut tema ini,” jelas Aidah.

Hadir sama pada sambutan itu ialah Yang Dipertua KESUMBA, Datin Roha Asmara; Bendahari UMS, Zallifah Shadan; Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS, Dr. Connie Chin @ Connie Cassy Ompok; Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) PML, Abdul Latif Matali dan Penolong Pendaftar PML merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis, Faddili  Kasin.

 

KHAMIS, 06 DISEMBER – Di sebalik perkembangan dan saingan daripada media elektronik termasuk portal akhbar atas talian pada era digital masa kini, namun media cetak juga masih kekal relevan kepada masyarakat.

Demikian menurut Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Abdul Kadir Jasin ketika menyampaikan ucaptama bersempena program Dialog Isu dan Cabaran Komunikasi Strategik Dalam Era Malaysia Baharu yang berlangsung di Dewan Resital, UMS baru-baru ini.

Menurut beliau, media arus perdana harus melakukan perubahan besar untuk terus kekal relevan, kerana kepercayaan masyarakat terhadap media arus perdana juga semakin terhakis akibat laporan berkaitan politik yang berat sebelah semasa zaman pemerintahan kerajaan lama.

“Sejak sekian lama media arus perdana ini sudah tidak mencatat rekod jualan yang baik, dan kemungkinan ramai pembaca sudah meninggalkan mereka sendiri kerana tidak suka akan berita-berita yang mereka laporkan yang dirasakan hanya menyebelahi kerajaan.

“Justeru, pada era Malaysia baharu ini, mereka seharusnya melakukan perubahan terhadap dasar-dasar mereka yang terdahulu, dan kita harus memberi mereka ruang dan peluang untuk melakukan perubahan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, walaupun mendapat saingan daripada pertumbuhan platform media atas talian pada masa ini, membaca surat khabar atau bahan bercetak masih sangat penting.

“Kita boleh baca e-buku, akhbar atas talian atau berita daripada portal tapi saya rasa membaca bahan bercetak masih lagi penting kerana bahan bercetak boleh memberikan kita rujukan arkib, dan kita masih memerlukan editor untuk memilih berita yang rakyat perlu baca,” katanya yang turut berpendapat akhbar dalam media sosial atau kumpulan Whatsapp mungkin tidak mendapat gambaran penuh mengenai perkara yang berlaku di sekeliling.

Beliau turut menggesa para wartawan akhbar untuk memanfaatkan kebebasan media pada era Malaysia baharu ini untuk menghasilkan sesuatu laporan akhbar dengan mendalami laporan akhbar tersebut serta melakukan penyelidikan dan analisis agar laporan berita lebih menarik.

Program sehari dengan kerjasama Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) UMS, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, dan Persatuan Wartawan Sabah (SJA) itu terbahagi kepada dua sesi wacana yang bertajuk ‘Laman Sosial sebagai Digital Agora dalam Malaysia Baharu’ dan ‘Kebebasan Media Dalam Malaysia Baharu’.

Hadir sama pada program tersebut Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali; Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim; dan Presiden SJA, Muguntan Vanar dan Timbalan Pengarah PPSKK, Talib Abdullah Shani.

 

 

RABU, 05 DISEMBER – Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus diiktiraf apabila sering dijemput untuk mengongsikan kejayaan yang dikecapi kepada masyarakat.

Terbaru, Sabli Yusin yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Sejarah), Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan pada tahun 2009 dijemput memberi ceramah pada Konvensyen “Halatuju dan Potensi Industri dalam Memacu Pertumbuhan Ekonomi Sabah”.

Bertempat di Dewan Kuliah UMS, program yang julung kalinya diadakan itu merupakan anjuran Koperasi Penternak Kambing Bumiputera Negeri Sabah (KOPENS) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah.

Subli dalam ceramahnya mengongsikan bagaimana  pengalamannya ketika mula terlibat dalam penternakan kambing pada hujung tahun 2010 dengan hanya tiga ekor kambing yang ditempatkan di reban ayam.

Bermula dari itu, beliau terus fokus pada perusahaan tersebut sehingga pernah dinobatkan sebagai pemenang pertandingan Perniagaan Luar Bandar (RBC 2013).

“Selepas mengenali KOPENS banyak pengalaman rakan penternak dapat dikongsi bersama, memudahkan rujukan bagaimana menternak kambing dan bekalan kambing untuk dijual sentiasa ada.

“Minat, usaha dan sentiasa mencari ilmu tambahan adalah tonggak utama kepada kejayaan untuk menceburi bidang ini,” katanya yang turut mengusahakan cili fertigasi dan tanaman pisang seluas dua ekar.

 

 

RABU, 05 DISEMBER - Seramai 25 pelajar Politik Alam Sekitar Antarabangsa Fakulti Kemanusiaan, Seni, dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat  (CSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tampulan, Telipok, baru-baru ini.

Pengarah program, Syafiqah Abd Kadir berkata, program itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar dalam kalangan pelajar SK Tampulan di samping memupuk semangat pelajar untuk memelihara serta memulihara alam sekitar.

“Ia juga bagi memberi peluang siswa-siswi FKSW menjadi proaktif dalam melaksanakan sesuatu program sekali gus meningkatkan jaringan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Syafiqah, pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program itu yang bertemakan “Today Trees, Tomorrow Future”.

“Antaranya, ceramah daripada Pensyarah Khidmat Masyarakat dari University College Sabah Foundation (UCSF), senamrobik, kuiz, aktiviti menanam bunga serta beberapa aktiviti permainan dalam kumpulan.

“Pelajar  UMS juga turut membantu mengecat kelas murid darjah tiga yang dibina oleh pelajar Kelab Penyayang UMS sebelum  ini,” ujarnya.

Program yang dianjurkan dengan gabungan kerjasama Kelab Penyayang UMS, UCSF dan pihak pengurusan SK Tampulan disertai kesemua 80 pelajar SK Tampulan.

Majlis perasmiannya disempurnakan Pensyarah Kursus Politik Alam Sekitar Antarabangsa UMS, Marja Azlima Omar.

 

Sumber: FKSW

 

RABU, 05 DISEMBER – Sebanyak 240 anak pokok bakau ditanam di kawasan lapang Hutan Simpan Paya Bakau Sulaman sempena kempen “Save The Green for The Better Nature” baru-baru ini.

Program itu merupakan anjuran kerjasama kursus Politik Alam Sekitar Antarabangsa Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS); Kota Kinabalu Indonesia School (KKIS); dan pengurusan Kota Kinabalu Wetland Centre (KKWC).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kursus Politik Alam Sekitar Antarabangsa FKSW, penanaman anak pokok bakau diperuntukkan oleh KKWC dan dijayakan seramai 24 pelajar kursus tersebut dan 20 peserta dari KKIS.

“Selain di Tuaran, para peserta juga menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan paya bakau di KKWC.

“Program ini dijalankan bagi memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk memelihara serta memulihara alam sekitar serta pendedahan akan kepentingan habitat paya bakau,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, program tersebut juga dapat mengeratkan hubungan dua hala antara pelajar UMS dengan agensi-agensi luar.

Ia juga memberi peluang kepada peserta-peserta untuk mendapat pengalaman menanam pokok bakau yang belum pernah dilakukan sendiri oleh mereka.

Majlis perasmiannya disempurnakan pensyarah kursus Politik Alam Sekitar Antarabangsa UMS, Marja Azlima Omar.

 

Sumber: FKSW