KHAMIS, 22 MAC - Untuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus relevan dan memenuhi aspirasi pemegang taruh di era industri 4.0, UMS akan melaksanakan Transformasi ke Arah Universiti/Industri 4.0, kata Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

“Agenda ini telah disenaraikan sebagai salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama (KRA) dalam Pelan Strategik UMS 2018-2020.

“Antara lain transformasi ini akan melibatkan transformasi Pembelajaran dan Pengajaran 4.0 (Learning & Teaching 4.0).

“Ini akan memfokus kepada kurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran, dan pembelajaran sepanjang hayat.

“Suka saya nyatakan di sini bahawa, salah satu perubahan dalam kurikulum program prasiswazah UMS ialah semua pelajar akan diwajibkan untuk mengambil sekurang-kurangnya satu kursus berkaitan Industri 4.0 seperti kursus Data Analytics,” katanya.

Datuk Dr. D Kamarudin berkata, UMS juga akan bekerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi membangunkan kurikulum seperti penawaran kursus wajib di atas.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Naib Canselor 2018 di hadapan lebih 5,000 kakitangan dan pelajar UMS di Dewan Canselor dan turut disaksikan secara live streaming oleh warga UMS dari UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan dan Sikuati, Kudat.

“Perancangan untuk transformasi pembelajaran dan pengajaran ini adalah selari dengan apa yang telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh dalam Amanat 2018 baru-baru ini yang memfokuskan kepada Learning & Teaching 4.0 atau Higher Education 4.0,” jelasnya.

Beliau berkata, UMS perlu menerima Industri 4.0 agar terus relevan kepada pelajar khususnya pelajar generasi Z, sekali gus melahirkan generasi akan datang yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan sesuai dengan keperluan transformasi industri berkenaan.

“Ini kerana Industri 4.0 ini memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal  serta kemahiran sosial yang dikenali sebagai 21st Century Skills seperti literasi digital, literasi maklumat, penyelesaian masalah, kerja berpasukan, keusahawanan, pemikiran kritis, kepimpinan dan kecerdasan emosi.

“Dengan kata lain, UMS perlu menghasilkan graduan future proof, yang mempunyai atribut di atas selain berciri gembira, berdaya tahan (resilient) dan mempunyai emosi yang bijak (emotionally intelligent) serta berkeupayaan dalam mencipta peluang pekerjaan (job creators),” tambah Datuk Dr. D Kamarudin.

Hadir sama pada majlis tersebut, Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Pengiran Hj. Mohd Hussein bin Datuk Pengiran Hj. Mohd Tahir Nasruddin, Datuk John Maluda @ Wanji  dan Datin Hajah Nurlaila Said serta Pegawai-pegawai Utama dan kanan universiti.

RABU, 21 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP)  terus giat dalam membuat penyelidikan terhadap kepelbagaian sumber khazanah alam semula jadi di Malaysia.

Pemangku Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Monica Suleiman berkata, terbaru para penyelidik IBTP menemukan empat  jenis tumbuhan dan 11 spesies siput baharu.

“Empat jenis tumbuhan ditemui di Sabah, manakala sebanyak 11 spesies siput ditemui di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, dua jenis tumbuhan baharu itu ditemui sewaktu beliau mengetuai satu kajian botanikal di Pusat Konservasi Maliau Basin Sabah bersama dua rakan penyelidiknya iaitu Dr. Kenji Suetsugu dari Department of Biology, Graduate School of Science, Kobe University, Jepun dan  Dr. Hirokazu Tsukaya  dari Department of Biological Sciences, Graduate School of Science, The University of Tokyo, Jepun.

“Tumbuhan baharu yang pertama dinamakan sebagai Thismia bryndonii, sejenis tumbuhan saprofit. Manakala tumbuhan yang satu lagi merupakan varieti baharu bunga orkid yang diberi nama Didymoplexis obreniformis var. maliauensis, bersempena nama kawasan ia ditemui iaitu di Maliau Basin,” ujar Dr. Monica.

Beliau berkata, dua lagi penemuan baharu diperolehi melalui kajian yang dilaksanakan oleh Prof. Madya Dr. Kartini Saibeh bersama Taman-taman Sabah di Taman Bukit Tawau.

“Pensyarah IBTP yang kini dipinjamkan di Fakulti Pertanian Lestari UMS Kampus Sandakan ini bersama dua orang Felo Penyelidik Bersekutu IBTP iaitu Peter C. Boyce dari Ludwig-Maximilians-Universität München, Germany dan Prof. Madya Dr. Wong Sin Yeng dari Fakulti Sumber Sains dan Teknologi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), telah menemui dua  spesies baharu keladi yang masing-masing diberi nama Schismatoglottis saafiei dan Schismatoglottis zainuddinii,” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Monica memaklumkan 11 jenis siput daratan yang ditemui di Semenanjung Malaysia telah dikenalpasti sebagai spesies yang baharu oleh seorang lagi penyelidik IBTP, Dr. Liew Thor Seng bersama Foon Junn Kitt  iaitu salah seorang pelajar pascasiswazah IBTP.

“Kesemua spesies baharu siput ini dikenali sebagai Alycaeus selangoriensis, Alycaeus costacrassa, Alycaeus ikanensis, Alycaeus alticola, Alycaeus charasensis, Alycaeus kurauensis, Alycaeus regalis, Alycaeus virgogravida, Alycaeus senyumensis, Alycaeus expansus dan Alycaeus clementsi,” katanya sambil menambah penemuan baharu itu menjadikan sejumlah 28 spesies siput Alycaeus telah berjaya dikenalpasti di Semenanjung Malaysia.

Untuk rekod, semua penerbitan santifik mengenai penemuan tersebut boleh didapati dalam Jurnal Acta Phytotax. Geobot.68(2):105-109(2017)doi:10.18942/apg.201709, Phytotaxa 312(1):135-138 https://doi.org/10.11646/phytotaxa.312.1.13, Nordic Journal of Botany 000:001-005, 2017 doi:10.1111/njb.01554 dan Zookeys https://doi.org/10.3897/zookeys.692.14706.

RABU, 21 MAC - Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani Surat Niat (LoI) bersama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah,  kelmarin.

LoI tersebut merupakan usaha untuk menjalinkan kerjasama yang lebih mapan berkenaan kerja-kerja sosial diantara FPP UMS dan JPKA Sabah.

UMS diwakili oleh Dekan FPP, Profesor Dr. Mohd Dahlan A. Malek, manakala JPKA diwakili oleh Pengarah, Mohd Noor Wahab.

Majlis tersebut merupakan salah satu pengisian sempena sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia yang diraikan pada 20 Mac setiap tahun selain Bengkel Bahasa Isyarat, Program Derma Darah dan pameran daripada agensi dan pertubuhan bukan kerajaan.

Ketika merasmikan penutupan sambutan tersebut, Profesor Dr. Mohd Dahlan menyeru agar pelajar UMS mengambil peluang mengikuti program kerja sosial dengan penuh semangat dan mempamerkan tingkah laku yang baik dan profesional.

“Program seperti ini hendaklah diambil berat oleh semua pihak bagi mewujudkan suasana yang lebih kondusif dalam kalangan mahasiswa UMS sepanjang tempoh pengajian di peringkat universiti.

“Peranan yang dimainkan oleh mahasiswa ini juga bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran insaniah, tetapi juga menjana kecemerlangan universiti,” katanya.

Pada majlis tersebut juga turut diserahkan borang program Volunteer to Institution (V2i) daripada pelajar program kerja sosial FPP UMS kepada Pengarah JPKA Sabah.

Program V2i merupakan program kesukarelawan  yang dirangka oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khusus untuk pelajar universiti dan institut latihan bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Antara khidmat yang ditawarkan adalah seperti Khidmat Sokongan Sosial, Bimbingan dan Psikologi; Khidmat Keceriaan; Khidmat Penjagaan Kesihatan; Khidmat Kerohanian, Sukan, Kebudayaan dan Kesenian; Khidmat Pendayaupayaan Kapasiti dan Pembangunan Insaniah serta Khidmat Sokongan Teknikal.

SELASA, 20 MAC – Persidangan “5th Regional Conference on Campus Sustainability” 2018 (5RCCS2018) yang menghimpunkan ahli-ahli akademik serantau mampu mengetengahkan lagi pelbagai idea dan kajian yang menjurus kepada usaha kelestarian serantau.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, usaha kelestarian sememangnya merupakan satu komitmen kepada masyarakat dan alam sekitar.

“Sangat penting untuk kita menggunakan dan menguruskan kepelbagaian sumber alam dengan penekanan terhadap aspek kelestarian.

“Usaha ini tidak mungkin berhasil tanpa penglibatan khusus oleh pihak kerajaan dari segi aspek penggubalan peraturan dan undang-undang serta pembangungan infrastruktur dan modal insan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian persidangan tersebut yang disampaikan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin di Bilik Seminar Institut Penyelidikan Bioteknologi, pagi tadi.

Beliau menambah, UMS juga turut terlibat secara langsung dalam cabaran terhadap kelestarian melalui inisiatif EcoCampus dan peningkatan terhadap kelestarian kampus.

“UMS juga konsisten dalam matlamatnya untuk menjadikan para pelajar, komuniti setempat dan pemegang taruh sebagai agen kepada pengurangan aktiviti manusia terhadap alam sekitar,” ujar beliau.

Persidangan selama dua hari itu disertai seramai 120 peserta dari 32 universiti, kolej dan institusi dari beberapa negara luar antaranya dari Filipina, Jepun, Thailand dan Indonesia dengan 58 kertas kerja dan 10 poster akademik dibentangkan.

 

ISNIN, 19 MAC -  Mohamad Farizal Mohamad Shawal, alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) tahun 2003 hingga 2006 dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan, tidak menyangka penglibatannya dalam bidang keusahawanan pertanian membolehkan beliau bergelar usahawan berjaya melalui perniagaan fertigasi.

Mula menjalankan perniagaan itu pada tahun 2014, beliau kini mengusahakan lima lot rumah hujan berkeluasan 40x120 kaki seunit di lot tanah Jabatan Pertanian Serdang bagi tanaman ‘Golden Melon’ dan ‘Rock Melon’. 

Ketika menerima lawatan dari Pusat Alumni UMS baru-baru ini, beliau turut memaklumkan bahawa perniagaannya itu juga telah membuka cawangan di lokasi baharu di Teluk Panglima Garang Selangor bagi tanaman cili dan timun mini.

“Menjalankan perniagaan fertigasi pertanian penuh dengan cabaran terutama di peringkat awal tetapi dengan adanya tekad, ketekunan dan disiplin yang tinggi pasti akan membuahkan kejayaan,” kata Mohamad Farisal.

Pemuda berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, perniagaan tersebut memberikan pulangan yang baik apabila diurus dengan sempurna sambil mengongsikan pendapatannya yang kini mencecah hingga RM120,000 setahun.

Justeru, beliau mengajak orang ramai khususnya para alumni UMS untuk bersama-sama melibatkan diri dalam perniagaan fertigasi.

“Saya bersedia memberikan khidmat nasihat dan bimbingan kepada sesiapa yang mahu mempelajari perniagaan ini,” ujarnya.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Pusat Alumni UMS di talian 017-6809371.