KHAMIS, 14 SEPTEMBER - Perbezaan anutan agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia seharusnya dihormati dan dijadikan sebagai kekuatan terhadap asas perpaduan masyarakat di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Dato' Seri Jamil Khir Baharom berkata, ini penting dan seharusnya dikekalkan dan diperkukuh tatkala negara pada masa ini hidup dalam keadaan aman dan harmoni serta mengalami pembangunan pesat sejak mencapai kemerdekaan 60 tahun yang lalu.

"Pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi tidak akan berhasil sekiranya tidak wujud kesepaduan dalam kalangan rakyat.

"Justeru, usaha sama erat antara kerajaan dan rakyat secara keseluruhan adalah diperlukan bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian, dan kesedaran sebegini mampu membantu usaha mempertahankan negara Malaysia sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Dialog Antara Penganut Agama di Dewan Canselor, UMS.

Menurut beliau, penganjuran dialog antara berlainan agama mampu menjadi platform dalam memperkukuh kerangka perpaduan negara dengan menyelami dan menghormati perbezaan antara agama.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin menyeru warga UMS khususnya agar mengukuhkan sikap bersangka baik sesama warga, berpersepsi positif dan melihat sesuatu daripada pelbagai sudut serta tidak bersikap mudah menghukum terhadap pihak lain.

"Sinergi dalam kalangan pelajar datang daripada pelbagai latar belakang budaya dan agama mampu menatijahkan iklim kampus yang sihat dan kondusif.

"Bermula daripada kehidupan bermasyarakat di kampus, kita harus memahami bahawa pembinaan negara yang aman dan harmoni merupakan perjuangan kolektif yang didukung oleh masyarakat pelbagai etnik dan agama," ujar beliau.

Dialog anjuran bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan kerjasama UMS serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) antara lain adalah bagi memenuhi hasrat negara memupuk kesepaduan masyarakat melalui program ilmiah dalam kalangan penganut pelbagai agama dan merupakan satu usaha penting dalam memperkasa hubungan antara penganut agama.

Dialog tersebut dikendalikan Pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ustaz Muhammad Hasbi Abdul Rahman, dan melibatkan lima panel, iaitu pensyarah kanan UMS, Dr. Sarip Adul sebagai panel agama Islam; Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Belia Malaysia, Thai Ming Yeow sebagai panel agama Buddha; Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Ooli Gunalan Manickam sebagai panel agama Hindu; Presiden Christian For Peace and Harmony Malaysia, Wong Kim Kong sebagai panel Agama Kristian; dan Pemegang Kursi Kadazandusun UMS, Prof. Madya Dr. Andreas Totu sebagai panel peribumi Sabah.

RABU,13 SEPTEMBER - Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW),  Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menghantar lapan pelajar di bawah Program Geografi untuk menghadiri Summer Coursedi Indonesia dengan diiringi Pensyarah Kanan, Dr. Gaim James Lunkapis.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh fakulti itu, lapan pelajar tersebut adalah penerima biasiswa Smart City, Village and Region (SCVR) Courseyang ditawarkan oleh Universitas Gadjah Mada (UGM), Jogjakarta, Indonesia.

Lapan pelajar itu ialah Erwina Nuar, Nurshaslinda Abdul Kadir, Brenda Sandan, Nurallyyana Zainuddin, Nur Izzah Nabilah Haron, Nur Jannah Roslan, Eccaleena Chrissy Latius danThressa Veney Ansilmus.

Mereka adalah antara 35 peserta antarabangsa merangkumi 10 negara dari Eropah dan Rantau Asia iaitu Amerika Syarikat, Vietnam, Colombia, Pakistan, Indonesia, Jerman, Thailand, Kemboja, Palestin dan Malaysia.

Kursus itu melibatkan 13 pensyarah lain termasuk dua dari Malaysia; Dr. Goh Hong Ching dan Profesor Dr. Lee Boon Thong dari Universiti Malaya.

Kenyataan itu menambah, SCVR adalah usaha mulia dalam meningkatkan pemahaman tentang penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam konsep wilayah, kampung dan bandar raya.

Kursus itu juga sekali gus bertujuan memperluaskan kerjasama antarabangsa antara dua institusi pengajian tinggi; Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Gadjah Mada, Indonesia.

 

Sumber: Feria Lee, FKSW

SELASA, 12 SEPTEMBER  – Seramai 250 pelajar Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia melalui program Kibarkan Jalur Gemilang, kelmarin.

Bertemakan “PPST Sehati Sejiwa”, program yang diadakan di dataran PPST itu turut dijayakan seluruh warga kakitangannya.

Pengarah PPST, Prof. Madya Dr. Sazmal Effendi Arshad berkata, sebanyak 100 Jalur Gemilang yang disumbangkan Biro Tatanegara Cawangan Sabah diedarkan kepada pelajar Asasi Sains sempena program itu sebagai usaha menyemarakkan semangat sehati sejiwa sekali gus menghayati erti bangsa merdeka.

Salah seorang pelajar PPST, Syazreen Farlina Sharuddin ketika ditemui media turut menyatakan rasa bangga dapat bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang pada program berkenaan.

“Sebagai anak Malaysia, kita patut berterima kasih kepada para pemimpin negara yang berjuang untuk kemerdekaan sehingga kita pada masa kini dapat menikmati keharmonian dan kemakmuran di negara ini.

“Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada PPST UMS kerana menganjurkan program yang amat bermanfaat khususnya dalam meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda seperti saya,” ujarnya.

Turut hadir pada program itu, Timbalan Pengarah PPST, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din.

             

 

 

 

SELASA, 12 SEPTEMBER - Bersempena program 11th Global Congress and Conferment Ceremony “Global Leadership: Strategic Communication Management” anjuran RI Singapore baru-baru ini, seramai 39 peserta program itu telah melawat Muzium Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Program yang dianjurkan dengan kerjasama UMS Borneo Tourism Research Centre itu menyaksikan para peserta dibawa melihat sendiri muzium yang mempamerkan  bahan pameran anatomi manusia.

Antara peserta yang terlibat termasuklah kakitangan beberapa buah universiti di Filipina seperti Queen University Philippines dan juga ahli unit penyelamat Rescue Recon Philippines yang rata-rata baru pertama kali menjejakkan kaki ke UMS.

Melalui lawatan itu secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan baik antara universiti luar negara dengan UMS serta menjadi medan promosi untuk mereka tentang universiti ini sebagai sebuah universiti yang menarik bagi destinasi melanjutkan pengajian tinggi.

Salah seorang peserta, Glenn B. Gagante dari Quezon City turut merasa tertarik dengan fasiliti pembelajaran dan pengalaman menyaksikan spesimen anatomi sebenar adalah pengalaman pertama kali beliau.

 

 

Sumber: Faranizah Taufick, FPSK

 

 

ISNIN, 11 SEPTEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Haji Aman atas penganugerahan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri daripada Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi pada Sabtu.

Naib Canselor UMS, Prof. Dr.  D Kamarudin D Mudin berkata, pengaruniaan itu merupakan satu pengiktirafan besar terhadap jasa dan kepimpinan serta sumbangan pemimpin nombor satu negeri ini yang ternyata telah memberi impak besar terhadap kamajuan dan pembangunan pesat negeri Sabah termasuk perkembangan dalam pendidikan.

"Kita juga merasa berbangga kerana selain sebagai Pro Canselor UMS,  Tan Sri Musa Haji Aman juga  sentiasa memberi pandangan dan nasihat serta sokongan padu terhadap usaha dan inisiatif yang dijalankan UMS dalam memperkasakan pendidikan tinggi bumi di bawah bayu ini.

"Bagi pihak seluruh warga UMS, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas penganugerahan darjah kebesaran ini, dan saya mendoakan agar Yang Amat Berhormat Ketua Menteri akan terus diberikan kesihatan yang baik untuk kekal menerajui negeri Sabah dengan cemerlang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Untuk rekod, Tan Sri Musa Haji Aman dilantik Pro Canselor UMS sejak tahun 2005 sehingga kini.