Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh jalinan kerjasama dengan pihak industri bagi memberi manfaat khususnya kepada pelajar dan kakitangan.

Terbaharu, FPEP UMS menandatangani surat niat bersama Kadazandusun Chamber of Commerce and Industry (KCCI).

Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim berkata, program itu antara lain bertujuan membantu meningkatkan akademik di samping berkongsi kepakaran dalam kalangan warga UMS, pihak KCCI dan komuniti.

“Selain itu, ia juga untuk berkongsi pengetahuan melalui penyertaan aktif menggunakan pelbagai platform termasuk seminar, persidangan, bengkel dan lain-lain yang berkaitan dengan latihan, penyelidikan dan pentadbiran yang biasanya boleh memberi manfaat kepada UMS dan KCCI.

“Saya berharap kerjasama ini dapat memberi faedah kepada KCCI dan juga fakulti dan seterusnya memberi kesan yang positif kepada pelajar dan juga masyarakat setempat melalui aktiviti atau program-program yang bakal dijalankan,” ujar Rahimie.

Tambah Rahimie, sepanjang pentadbiran Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, beliau turut menekankan sumbangan dan penglibatan UMS terhadap komuniti.

“Sebenarnya di bawah pentabiran Naib Canselor sekarang, beliau memang menekankan kepada sumbangan UMS kepada komuniti dengan tagline ‘UMS Leading Towards Innovative Societies’.

“Apa yang kita mahu adalah kewujudan UMS ini dapat memberi manfaat kepada orang ramai khususnya kepada komuniti,” tambah beliau.

Sementara itu Presiden Kadazandusun Chamber of Commerce and Industry (KCCI) Datuk Ladislaus Maluda berkata, surat niat yang ditandatangani akan membuka ruang kerjasama bagi kedua-dua pihak.

Katanya, pihak KCCI mengalu-alukan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak atas dasar peranan dan kekuatan masing-masing dalam memajukan bidang ekonomi dan perniagaan dalam kalangan penduduk, penuntut universiti dan usahawan yang sedia ada.

Ladislaus berkata penyempurnaan surat niat tersebut akan menjadi titik permulaan kepada perhubungan dan kerjasama strategik antara FPEP dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun Malaysia.

Pada majlis menandatangani surat niat tersebut, FPEP UMS diwakili oleh Rahimie manakala KCCI diwakili oleh Ladislaus Maluda.

Hadir sama, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Madya Dr. Suddin Lada; Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), Dr. Sharifah Milda Amirul serta Setiausaha Agung KCCI, Pius Jaua.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Persatuan Pemerhati Burung Sabah (SBWA) telah menganjurkan program October BIG Day sebagai usaha memupuk minat pelajar universiti khususnya terhadap aktiviti memerhati burung.

Menurut Presiden SBWA, Ron Pudin, October BIG Day yang dianjur setiap minggu kedua bulan Oktober di seluruh dunia akan menyaksikan para pemerhati burung seluruh dunia akan merekodkan spesies burung-burung yang ditemui menggunakan aplikasi eBird dalam tempoh 24 jam.

“Pada hari ini, UMS bersama-sama SBWA dengan kerjasama Institute for Development Studies Sabah (IDS) dan Shangri-La Rasa Ria Resort, Tuaran mengadakan aktiviti memerhati burung di sekitar Pantai ODEC UMS dan kawasan hutan UMS Health Ecotourism and Hiking Trail.

“Aktiviti ini penting kerana memerhati burung juga menyumbang kepada usaha pemuliharaan hutan, iaitu melalui kehadiran burung-burung dapat menentukan hutan tersebut dalam keadaan sihat dan mempunyai sumber biodiversiti yang mampu menampung habitat burung,” katanya ketika ditemui media sempena program tersebut.

Tambah beliau, program ini juga sekali gus mampu meningkatkan pengenalan terhadap spesies burung, khususnya burung tempatan yang terdapat di Sabah.

“Justeru, adalah harapan kami agar menerusi program ini, para peserta akan terus memupuk minat untuk memerhati dan merekodkan spesies burung melalui aplikasi yang disediakan.

“Ini kerana selain memainkan peranan sebagai saintis masyarakat, usaha merekodkan kehadiran burung di kawasan-kawasan tertentu di Sabah mampu menarik minat dan menggalakkan pelancong dan peminat burung dari luar negara untuk datang ke Sabah dan memerhatikan kepelbagaian burung yang terdapat di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, UMS melalui Pusat Penyelidikan Pelancongan Borneo (BTRC) Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) dalam satu kenyataan memaklumkan, October BIG Day merupakan salah satu aktiviti yang dijalinkan hasil daripada pemeteraian kerjasama bersama SBWA pada September lalu.

“Idea untuk mengadakan program ini buat pertama kali diusulkan dalam program Winged Wonders anjuran Shangri-La Rasa Ria dengan kerjasama BTRC dan SBWA.

“UMS menyambut baik cadangan tersebut dengan melihat manfaatnya terhadap usaha memupuk pemuliharaan hutan serta memperkenalkan aktiviti tersebut sebagai salah satu elemen pelancongan terhadap kepelbagaian destinasi pelancongan yang menarik di kampus UMS memandangkan kawasan UMS sering menjadi destinasi persinggahan migrasi burung.

“Hasilnya, pada hari ini lebih 50 peserta dalam kalangan pelajar dan staf UMS, bersama-sama ahli SBWA dan IDS bersama-sama menjayakan program ini,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Program setengah hari itu menyaksikan para peserta berkumpul di pintu utama UMS bagi sesi penerangan, sebelum bergerak ke Pantai ODEC bagi aktiviti pemerhatian burung menggunakan binokular.

Para peserta akan menandakan spesies burung yang ditemui mengikut senarai dalam aplikasi eBird, selain turut menggunakan aplikasi Merlin Bird ID untuk mengenali spesies burung yang ditemui.

Hadir sama pada acara tersebut Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim dan Pengarah BTRC, Prof. Madya Dr. Balvinder Kaur Kler.

 

Seminar Sains, Teknologi , Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) Kali ke-4 anjuran Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu menjadi wadah perkongsian akademik dalam usaha mengembangkan bidang STEM.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, usaha itu penting kerana bidang STEM dilihat merupakan teras utama dalam menyelesaikan sesebuah masalah pada masa hadapan.

“Seminar STEM ini tidak hanya sebagai platform untuk pertukaran akademik, tetapi juga adalah ruang dalam meletakkan asas untuk inovasi masa depan yang boleh mengubah industri, masyarakat dan ekonomi.

“Justeru, ini merupakan peluang kita untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar, untuk menyumbang kepada perbincangan yang akan membentuk masa depan sains dan teknologi, dan mencabar diri untuk berfikir secara kritis mengenai pelbagai isu semasa dunia hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian seminar tersebut di PPST UMS.

Kasim menambah, UMS sentiasa komited dalam mengembangkan ilmu yang bukan sahaja inovatif tetapi memberi impak

“Universiti ini telah berkembang menjadi sebuah institusi terkemuka bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini, dengan program penyelidikan dan akademik bagi menangani cabaran global dalam bidang seperti biodiversiti, sains marin dan tenaga boleh diperbaharui.

“Pertukaran idea, penyelidikan yang dibentangkan dan kerjasama yang dibentuk akan menyumbang kepada ekosistem pengetahuan memacu inovasi yang memacu inovasi, meningkatkan kehidupan dan mencipta perubahan jangka panjang.

“Melalui inisiatif ini, kita dapat memperkasakan pelajar dan penyelidik untuk bergerak melangkaui sempadan”, katanya lagi.

Terdahulu, Pengarah PPST, ChM. Dr. Newati Wid dalam ucapannya berkata penganjuran seminar STEM yang bertemakan “Memperkasakan Idea Untuk Hari Esok Yang Lebih Baik” tepat pada masanya dan penting dalam membincangkan cabaran dan peluang yang semakin berkembang yang ditawarkan dalam bidang STEM.

“Format penganjuran seminar ini secara maya juga membolehkan pelbagai pihak untuk berhubung merentasi sempadan serta menyediakan ruang yang inklusif untuk pertukaran pengetahuan.

“Harapan saya agar seminar ini akan menjadi pemangkin kepada perbincangan menyeluruh, penyelidikan inovatif, dan perkongsian merentasi sempadan,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof; dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dilantik untuk menjalankan kajian selama enam bulan mengenai Penstabilan Harga Barang di Sabah, Sarawak dan Labuan sebagai langkah jangka panjang untuk menstabilkan harga barangan keperluan terpilih.

Dalam ucapan ketika merasmikan Program Khidmat Masyarakat berteraskan Penyelidikan anjuran UMS, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menyatakan bahawa usaha tersebut selari dengan kerangka Madani dan bertujuan untuk menstabilkan harga barang di seluruh negara.

Beliau berharap kajian tersebut dapat memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai perbezaan harga dan seterusnya membantu kerajaan dalam merangka dasar yang lebih berkesan untuk menangani isu kos sara hidup yang membebani rakyat.

Armizan juga bersetuju untuk menggunakan kepakaran dan hasil penyelidikan UMS dalam membangunkan produk dan perkhidmatan, serta menjalankan kajian-kajian berkaitan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat Sabah.

“Kerjasama erat antara kementerian, universiti, dan komuniti tempatan adalah kunci untuk memajukan ekonomi setempat dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor menyatakan komitmen universiti dalam membantu komuniti melalui pelbagai inisiatif penyelidikan dan pembangunan.

“UMS telah berjaya membangunkan sumber bekalan air bersih kepada 50 buah rumah di Pitas menerusi pengerudian air bawah tanah.

“Kualiti dan bekalan air ini dipantau secara berterusan menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) untuk memastikan penduduk kampung mendapat akses kepada air bersih yang berterusan,” katanya.

Beliau juga menambah bahawa Papar terkenal dengan pelbagai jenis makanan kering yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.

“UMS bersedia untuk membantu usahawan tempatan dalam meningkatkan kualiti produk melalui penambahbaikan kandungan, pembungkusan, dan strategi pemasaran yang lebih efektif, terutamanya untuk tujuan eksport.

“Selain itu, UMS akan membantu usahawan tempatan mendapatkan pensijilan halal, yang bukan sahaja dapat membuka peluang pasaran lebih luas, tetapi juga meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk tempatan,” ujar beliau.

Pada program tersebut turut diadakan pameran penyelidikan yang menonjolkan pelbagai inovasi UMS, antaranya ‘Batik Borneo’ dan ‘VIR Seni’ oleh Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS, kajian geologi serta sistem pencarian dan perawatan air bawah tanah untuk bekalan air bersih, serta penyelidikan berkaitan makanan ternakan ruminan oleh penyelidik-penyelidik UMS.

Penerangan mengenai hasil-hasil penyelidikan ini disampaikan sendiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.

Antara hasil inovasi yang diketengahkan ialah ‘Batik Borneo’, yang mengetengahkan keunikan seni batik tempatan dengan motif tradisional Borneo, bertujuan memperluaskan pasaran produk ini ke persada antarabangsa.

Program tersebut turut menyaksikan penyampaian sumbangan Bakul Rahmah kepada masyarakat setempat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban kos sara hidup golongan yang memerlukan.

Pada program tersebut juga beberapa pensyarah turut berkongsi ilmu kepada komuniti melalui ceramah Asas Perniagaan yang disampaikan oleh Awang Ahmad serta ceramah Penggunaan Teknologi IoT dalam Pemakanan dan Kesihatan Ternakan oleh Dr. Razak Ali Lee.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim.

 

Prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi Crisnanalina Jumis yang berasal dari Paitan untuk mendaftar bagi kemasukan ke Universiti Malaysia Sabah (UMS), Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin berkenan untuk memberikan sumbangan bagi membolehkan beliau melanjutkan pengajian ke UMS.

Menurut kenyataan dari Istana Negeri Sabah, di samping sumbangan bantuan komputer riba dan bantuan perbelanjaan bagi persiapan Crisnanalina untuk mendaftar di UMS, Tun Juhar juga akan membantu menyelesaikan yuran pendaftaran kemasukan beliau ke UMS.

“Bantuan ini adalah sumbangan prihatin daripada Tun Juhar yang mahu Crisnanalina menerima kemudahan secukupnya bagi membolehkan beliau menyambung pengajian ke universiti.

“Sebagai Canselor UMS, perkara berkaitan kebajikan pelajar khususnya amat dekat di hati Tun Juhar, justeru bantuan ini diharap sedikit sebanyak meringankan beban serta menguatkan semangat Crisnanalina untuk menempuh kehidupan sepanjang berada dalam pengajian,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan Crisnanalina yang berasal dari Kg. Dalamas, Paitan, Sabah menghadapi kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran serta pelbagai perbelanjaan yang berkaitan, dan memohon bantuan dari pelbagai pihak bagi membolehkan beliau mendaftar dan memulakan pengajian.

Susulan itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor telah mengarahkan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS untuk berhubung dengan pelajar tersebut bagi memudahkan urusan pendaftaran kemasukan ke universiti.