Syarikat KTS Plantation Sdn Bhd (KTSP) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) buat kali kedua dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi memperkukuh kerjasama pintar dalam pengurusan hutan secara lestari.

Kerjasama pintar kedua-dua pihak menerusi MoA berkenaan dimulakan selepas penubuhan kerusi akademik oleh KTSP di bawah nama Kursi Pengurusan Hutan Asli Lestari di Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) UMS.

Pengarah KTSP Diana Lau Kor Ping berkata, penubuhan kerusi akademik di UMS selaras dengan dasar hutan negeri dan visi KTSP untuk mengurus Unit Pengurusan Hutan (FMU) 19B Segaliud Lokan di Sandakan secara lestari.

Katanya, antara fokus kajian Kursi Pengurusan Hutan Asli Lestari adalah pengenalan kepada teknologi penderiaan jauh dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) di peringkat landskap untuk meningkatkan perancangan hutan sedia ada.

Menurutnya, usaha itu juga melibatkan pemulihan hutan yang menjadi komponen utama dalam penyelidikan.

Pada masa sama, pihaknya menyifatkan bidang penyelidikan berkenaan adalah kritikal untuk mencapai objektif jangka panjang pengurusan hutan lestari di Hutan Simpanan Segaliud Lokan.

"Melalui sinergi antara institusi penyelidikan dan industri perhutanan, yang diwakili oleh UMS dan KTSP, kita yakin ini adalah strategi inovatif dalam memanfaatkan potensi impak yang kompetitif daripada kedua-dua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Menandatangani MoA UMS-KTSP di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah KTSP Sdn Bhd Ting Jack Hui.

Pada majlis itu, UMS diwakili oleh Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dan Pendaftar UMS Luqman Ridha Anwar manakala, KTSP diwakili oleh Ting dan Pengarah KTSP Wong Kee Mee.

Dalam pada itu katanya, KTSP sebelum ini pernah menerima Anugerah Kepimpinan dalam Kelestarian MTCC pada 2019 dan Anugerah SFM MTC pada 2021.

"Kami percaya, kerjasama penyelidikan pintar antara Jabatan Perhutanan Sabah, UMS dan KTSP sejak 2016 menjadi salah satu faktor utama dalam mencapai anugerah berprestij ini.

"Pihak KTSP turut yakin hasil daripada program penyelidikan di bawah Kursi Pengurusan Hutan Asli Lestari UMS akan meningkatkan prestasi Pengurusan Hutan Lestari kami dalam mengurus hutan semula jadi ke tahap yang lebih tinggi," jelasnya.

Sementara itu, Kasim dalam ucapannya berkata, MoA yang dimeterai pada majlis itu adalah simbol visi, dedikasi, dan tekad untuk memajukan matlamat bersama dalam penyelidikan dan pembangunan yang menyokong pengurusan hutan lestari.

Menurutnya, kerjasama itu juga akan memanfaatkan dan menggabungkan keupayaan akademik dan penyelidikan UMS dengan kekuatan keusahawanan serta kewangan KTSP dalam menghasilkan hasil penyelidikan yang akan memberi manfaat kepada sektor perhutanan.

"Kerjasama ini adalah bukti kekuatan kolaborasi antara pihak akademi dan industri.

"Ia menekankan kepentingan kerjasama untuk merapatkan jurang antara pengetahuan teori dan aplikasi secara praktikal," katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Konservator Hutan Jabatan Perhutanan Sabah Indra Purwandita H. Sunjoto, dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FPT UMS Dr. Wilson Wong Vui Chiong.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu memudahkan pelajar baharu khususnya yang kurang berkemampuan untuk mendaftar bagi sesi kemasukan 2024/2025 yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, inisiatif tersebut termasuklah kemudahan penangguhan yuran pendaftaran universiti bagi memastikan pelajar dapat menyelesaikan urusan pendaftaran tanpa perlu bimbang berkenaan masalah kewangan.

“Selain itu, pihak universiti juga turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang boleh dimohon oleh pelajar khususnya yang kurang berkemampuan seperti bantuan kewangan (MyCare), bakul makanan dan sumbangan zakat.

“Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) 3.0 juga diteruskan bagi membantu anak pertama dalam keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian di UMS,” katanya dalam satu kenyataan.

Kasim turut memaklumkan, sepanjang proses persediaan sebelum sesi pendaftaran, pelbagai hebahan maklumat telah dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) bagi memastikan pelajar yang mempunyai masalah kewangan dapat menghubungi talian bantuan JHEP dengan segera.

“Sepanjang Minggu Suai Mesra Pelajar Baharu UMS yang bermula 30 September nanti dijalankan, pelajar akan didedahkan dengan maklumat berkaitan permohonan biasiswa seperti Biasiswa Kerajaan Negeri, Yayasan Sabah, Biasiswa MARA, dan sebagainya.

“Satu slot khusus bersama wakil dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga disediakan bagi memudahkan proses permohonan pelajar,” katanya.

Justeru itu, beliau berpesan agar para pelajar baharu yang akan mendaftar ke UMS tidak perlu gusar memikirkan soal kewangan kerana pelbagai inisiatif telah disediakan untuk memudahkan urusan pendaftaran kelak.

“Kesemua inisiatif ini dilaksanakan sebagai menunjukkan kesungguhan pihak UMS yang mengutamakan kebajikan pelajar agar dapat melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi walaupun daripada pelbagai latar belakang ekonomi.

“Ini sekali gus menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang mengarahkan semua pentadbir universiti menerima masuk pelajar yang kurang berkemampuan serta menangguhkan yuran pendaftaran universiti bagi memudahkan urusan kemasukan pelajar baharu ke universiti,” ujar beliau.

UMS akan mula menerima kemasukan pelajar baharu pada dua hari sesi pendaftaran yang bermula 28 September ini di kampus induk Kota Kinabalu, UMS Kampus Antarabangsa Labuan, dan Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan dan akan mengadakan MSM selama seminggu bermula 30 September. Sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung di talian hotline HEP 088-320060.

 

Tiga pelajar sekolah menengah mencipta pencapaian besar dalam kajian kulat menerusi penemuan ‘Phaeoclavulina cokeri’ iaitu sejenis kulat karang jarang jumpa di Bukit Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

UMS dalam satu kenyataan berkata, penemuan menarik itu dibuat oleh sekumpulan kanak-kanak yang menyertai program Friends of BORNEENSIS (FOB 2024) yang terdiri daripada Muhammad Aqil Fahmi Mahadimenakbar (Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Tebobon), Muhammad Daniel Ashraff Abdullah (SMK Likas) dan Cleasha Joiee Alfius (SM All Saint).

Program yang diadakan itu merupakan sebuah inisiatif yang menekankan pembelajaran secara praktikal tentang biodiversiti dan penemuan itu menandakan rekod pertama spesies ini di kawasan tersebut.

‘Phaeoclavulina cokeri’, sejenis kulat karang yang dikenali dengan struktur bercabang yang menyerupai karang, pada asalnya dikelaskan di bawah genus Ramaria oleh ahli mikologi British E.J.H. Corner semasa kajiannya pada tahun 1960-an.

Namun, pada tahun 1976, semakan taksonomi berdasarkan analisis genetik dan morfologi telah membawa kepada pengelasan semula ke dalam genus Phaeoclavulina.

Kulat ini dicirikan berwarna kuning pucat hingga coklat kemerahan dan peranannya dalam membentuk hubungan mikoriza dengan pokok, memainkan peranan penting dalam ekosistem hutan dengan memudahkan pertukaran nutrien dan menyumbang kepada pengayaan tanah.

Rekod baru ‘Phaeoclavulina cokeri’ di Sabah ini sangat penting kerana spesies ini lebih biasa ditemui di Amerika Utara, China, India, dan beberapa bahagian di Asia Tenggara.

Kali terakhir spesies ini dilihat di rantau ini adalah lebih daripada 60 tahun yang lalu. 

Penemuan ini telah mencetuskan keterujaan di kalangan penyelidik dan menonjolkan potensi untuk penerokaan lanjut terhadap kepelbagaian kulat di Sabah.

Selain ‘Phaeoclavulina cokeri’, kanak-kanak yang terdiri daripada Sean Ho Min Jun (SM Lok Yuk Kota Kinabalu), Eory Glory Dharius (SK Rungus) dan Isaac Sin Sang (SMK Likas) turut menemui satu lagi spesies yang jarang ditemui iaitu  ‘Marasmius elegans’, yang dikenali sebagai kulat payung baldu.

Spesies ini, yang mempunyai topi berwarna coklat kemerahan dan stipe putih dengan bulu-bulu putih di dasarnya, biasanya ditemui di hutan eukaliptus di Australia.

Spesies ini pertama kali digambarkan sebagai Collybia elegans oleh ahli mikologi Australia John Burton Cleland pada tahun 1933, dan kemudiannya dipindahkan ke genus Marasmius oleh Cheryl Grgurinovic pada tahun 1997.

Penemuan Marasmius elegans mewakili satu lagi rekod baru untuk Malaysia, seterusnya mengukuhkan kepentingan kajian kulat di rantau ini.

Penemuan berganda kedua-dua spesies jarang ini menekankan keperluan untuk penyelidikan biodiversiti yang berterusan di Sabah. 

Ia juga menunjukkan nilai melibatkan golongan muda dalam usaha sebegini, kerana rasa ingin tahu dan semangat mereka boleh menyumbang kepada pencapaian saintifik yang penting.

“Penemuan ini bukan sahaja memperkayakan pemahaman kita tentang kepelbagaian kulat di Sabah, tetapi juga menekankan potensi yang belum diterokai yang wujud di hutan kita,” kata Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim, Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), yang menganjurkan program Friends of BORNEENSIS 2024.

Ketika pengetahuan mikologi di rantau ini terus berkembang, kajian lanjut tentang kulat yang baru ditemui ini akan menjadi penting dalam memahami peranan ekologi mereka dan memastikan pemuliharaan biodiversiti unik di Sabah. 

 

Pembangunan pendidikan di luar bandar perlu berhadapan dengan cabaran dalam era kepesatan teknologi hari ini.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, zaman digital memberikan peluang yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan ini memberi cabaran yang membimbangkan untuk pendidikan luar bandar.

“Alat digital berpotensi untuk merapatkan jurang dalam akses kepada pendidikan berkualiti, membolehkan pelajar di kawasan paling terpencil berhubung dengan sumber dan kepakaran yang satu ketika dahulu di luar jangkauan.

“Jurang digital kekal sebagai penghalang yang ketara, memburukkan lagi ketidaksamaan dan mengehadkan potensi faedah yang boleh dibawa oleh teknologi kepada pendidikan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Pendidikan Luar Bandar: Memperkasa Pendidikan Luar Bandar Dalam Era Digital di Dewan Resital, UMS.

Justeru katanya persidangan anjuran UMS itu mampu menggalakkan semua peserta untuk terlibat dalam perbincangan yang bermakna, berkongsi idea berinovasi dan bekerjasama dalam penyelesaian yang akan membantu mengatasi cabaran-cabaran dalam isu pendidikan.

"Persidangan ini menyediakan platform unik untuk kita meneroka bagaimana memanfaatkan kuasa teknologi digital untuk mewujudkan peluang pendidikan yang inklusif, saksama dan mampan untuk semua,” katanya.

Tambah beliau, pengiktirafan juga perlu diberikan kepada peranan pendidik yang berada di barisan hadapan dalam transformasi tersebut.

"Memperkasakan pendidikan luar bandar dalam era digital bukan sahaja memerlukan infrastruktur teknologi tetapi juga pembangunan celik digital dan kemahiran pedagogi dalam kalangan guru.

"Pendidik kita mesti dilengkapi dengan pengetahuan dan alatan untuk menyepadukan sumber digital dengan berkesan ke dalam amalan pengajaran mereka, memupuk persekitaran di mana pelajar boleh berkembang maju dalam dunia yang berubah dengan pantas".

“Melalui program penyelidikan kami, dan kerjasama dengan rakan kongsi tempatan dan antarabangsa, kami berhasrat untuk menyumbang kepada pembangunan model pendidikan inovatif yang boleh disesuaikan dengan keperluan masyarakat luar bandar,” ujar beliau.

Hadir sama pada perasmian persidangan tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dan Dekan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, Prof. Madya Dr. Soon Singh a/l Bikar Singh.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersedia bekerjasama dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pihak industri kesihatan dalam aspek penyelidikan penyediaan makanan terutamanya bagi pesakit disfagia.

Ketua Program Perkhidmatan Makanan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS, Dr. Sylvester Mantihal dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah mengadakan kunjungan serta memeterai surat niat (LoI) bersama HKL, baru-baru ini.

Katanya kerjasama tersebut adalah melibatkan aspek penyediaan makanan yang sihat sesuai dengan keperluan semasa pesakit-pesakit di hospital.

“Pada kunjungan tersebut, FSMP UMS dan HKL telah membincangkan empat agenda utama yang bakal dilaksanakan bersama, antaranya adalah pembangunan modul dan resepi pesakit disfagia menerusi International Dysphagia Diet Standardisation Initiative (IDDSI), penempatan latihan industri pelajar, latihan bersama kakitangan serta kolaborasi penyelidikan dan inovasi.

“Melalui kerjasama ini juga, kedua-dua entiti akan mendapat manfaat yang mana FSMP dan HKL saling memerlukan kepakaran antara satu sama lain,” katanya.

Pada majlis menandatangani LoI tersebut, UMS diwakili Sylvester manakala HKL diwakili oleh Timbalan Pengarah Perubatan 1 HKL, Dr. Hajah Shahrum Ismail.

Tambah Sylvester, FSMP UMS serta HKL berharap agar kerjasama itu akan dapat diteruskan serta mengalu-alukan peluang kolaborasi lain pada masa akan datang.

Turut hadir, Pensyarah Kanan FSMP UMS yang juga merupakan pakar dalam bidang menyediaan makanan pesakit Disfagia, Dr. Aizul Azri Azizan.

Pada Mac 2024, FSMP UMS telah bekerjsama dengan Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Negeri Sabah dalam memperkasa menu pesakit disfagia bagi memastikan menu yang disediakan selari dengan intervensi dan preskripsi klinikal yang diberikan oleh pakar perubatan.