Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) telah melancarkan Program Inovatif Kesihatan Mental Remaja di HUMS baru-baru ini.

Menurut Pengarah HUMS, Prof. Madya Dr. Hajah Malehah Datuk Mohd Noh, penganjuran program tersebut bertujuan untuk membekalkan remaja dengan kemahiran emosi dan sosial yang penting bagi menghadapi cabaran kehidupan.

“Selain itu, program ini hadir tepat pada masanya memandangkan statistik menunjukkan kes buli di Malaysia meningkat sebanyak 77% dari tahun 2015 hingga 2023.

“Di Sabah khususnya, kadar prevalens buli dalam kalangan pelajar sekolah berada pada paras 9 hingga 10 peratus, membuktikan perlunya intervensi segera, pencegahan berkesan, serta penglibatan aktif semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa, komuniti dan agensi berkaitan.

“Justeru itu, program ini dilihat mampu memberi kemahiran dan ruang selamat kepada remaja agar mereka dapat mengawal emosi, menyelesaikan konflik secara aman, dan saling menyokong,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada majlis pelancaran program tersebut.

Malehah menambah, inisiatif itu memberi tumpuan kepada aspek kesedaran dan pengawalan emosi, serta kemahiran interpersonal dalam kalangan remaja.

“Melalui sesi interaktif bersama pelajar dan guru, program ini menyediakan alat praktikal untuk membantu remaja mengurus tekanan, membina hubungan sihat, dan meningkatkan daya tahan diri.

“Kerjasama HUMS dan UNICEF ini turut merangkumi latihan kepada guru serta kaunselor sekolah, bagi memastikan kesannya berkekalan,” katanya.

Ujar beliau, harapan HUMS dan UNICEF adalah agar program ini bukan sahaja dapat mengurangkan kes buli dan tekanan emosi di sekolah, tetapi juga membentuk generasi muda Malaysia yang lebih berdaya tahan, berempati, dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Hadir sama pada majlis tersebut Puan wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Nowenna Willie D Tamsin; wakil UNICEF Malaysia, Aina Izzati Muslan; wakil Pengarah Pusat Keluarga LPPKN Negeri Sabah, Dr. Norhalili Mohd Tamiri; dan Pegawai Perubatan Psikiatri, Dr. David Tan Ming Gui.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi mencatat sejarah apabila dinobatkan sebagai Sustainability Team of the Year: Green Technology Innovation dalam Malaysia Sustainability Leadership Awards 2025 yang berlangsung di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengiktirafan berprestij bersempena dengan program The Solar Week Malaysia 2025 itu diberikan atas kejayaan projek inovatif bertajuk Sustainable Microgrid Framework, hasil kajian pasukan penyelidik dari Microgrid Laboratory Research Group, Fakulti Kejuruteraan UMS yang bermula sejak tahun 2023.

Menurut Prof Madya Dr. Mohd Kamal Mohd Shah yang merupakan ketua bagi projek tersebut, beliau menyifatkan projek itu adalah sebuah inisiatif untuk menyokong pelaksanaan “Sustainable Green Island Framework Project” dengan mengintegrasikan teknologi tenaga boleh diperbaharui dan inovasi grid pintar.

Tambahnya, projek tersebut merupakan usaha untuk meningkatkan daya tahan tenaga serta kelestarian alam sekitar, khususnya di kawasan pulau dan luar bandar.

“Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi serta semangat kolaborasi seluruh pasukan penyelidik bersama rakan industri.

“Ini juga membuktikan komitmen UMS untuk terus memperkasa teknologi hijau dan menyokong matlamat pembangunan lestari negara,” ujarnya.

Pelaksanaan projek tersebut turut melibatkan pasukan penyelidik yang terdiri daripada Prof. Madya Irma Wani Othman, Dr. Nahiyan Al Azad, dan Ts Ir Dr. Zahari Dollah, serta mendapat sokongan padu daripada rakan industri.

Pengiktirafan UMS pada majlis penganugerahan yang turut menghimpunkan pemimpin industri, ahli akademik, dan pakar inovasi dalam bidang kelestarian itu merupakan satu pencapaian penting dalam meletakkan UMS sebagai institusi peneraju teknologi hijau di Malaysia dan serantau.

 

Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah dijemput untuk berkongsi kepakaran pensyarah dan pelajar Teaching English as a Second Language (TESL) dalam Kem Sanggar Bahasa Generasi MADANI Peringkat Daerah Tuaran 2025.

Kem yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Gayang Tuaran ini telah berlangsung di Dewan Pusat Latihan RELA Negeri Sabah, baru-baru ini.

Pasukan fasilitator UMS yang diketuai oleh Dr. Wirawati Ngui bersama tujuh pensyarah dan sepuluh pelajar TESL UMS memainkan peranan penting dalam menjayakan pelbagai aktiviti berimpak tinggi.

Menurut Wirawati, matlamat utama program adalah untuk meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekolah rendah menerusi pendekatan pembelajaran yang bersifat interaktif dan lebih menyeronokkan

“Program ini turut menampilkan sesi-sesi yang memfokuskan kepada kemahiran komunikasi, lakonan drama, dan persembahan lisan secara kolaboratif, bertujuan untuk menggalakkan penyertaan aktif serta membina keyakinan diri dalam kalangan peserta,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid PPD Tuaran, Mohd Hanim Mohammad Goss menyatakan Kem Sanggar Bahasa Generasi Madani ini berjaya menyediakan platform pembelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang menyeronokkan.

Tambahnya, program ini juga berjaya melahirkan murid dengan tahap keyakinan yang tinggi, berani dan lebih berketerampilan.

“Kerjasama erat antara penganjur, fasilitator dan peserta telah memastikan kelancaran program serta pencapaian objektif yang ditetapkan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut

Seramai 50 murid sekolah rendah dari pelbagai sekolah kebangsaan di bawah PPD Tuaran telah terlibat dalam kem kali ini.

Turut hadir adalah Guru Besar SK Gayang, Mateli Ekeh dan Ketua Pogram TESL, FPPS, Dr. Megawati Soekarno.

 

Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar (UPPLB), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Kembara Mobiliti Ilmu dan Budaya Sabah Onsoi Tahun 2025 di Kampung Kobuni, baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Jesselton University College (JUC) bertujuan memperkasa jambatan ilmu, memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan komuniti sekaligus memelihara budaya setempat.

Ketua Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar, FPPS UMS, Dr. Connie Cassy Ompok berkata, projek keluarga angkat itu membuka peluang kepada peserta untuk memahami kehidupan penduduk kampung, sekali gus mempelajari nilai kekeluargaan dan persaudaraan menerusi keihklasan dan keterbukaan hati.

“Program ini bukan sahaja sebuah platform berkongsi ilmu dan pengalaman, tetapi juga membina sebuah kisah persahabatan, kasih sayang, dan penghargaan terhadap warisan budaya yang tidak ternilai.

“Ia mempunyai penerapan nilai pengajaran seperti amalan bekerjasama, hormat-menghormati dan menghargai antara satu sama lain. Program ini juga menerapkan bahawasanya ilmu bukan sahaja diperoleh di bilik kuliah, tetapi juga dalam kehidupan seharian masyarakat,” katanya.

Dalam ucapan perasmian, Connie turut meluahkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sekaligus mengharapkan program ini mampu memberi inspirasi kepada kanak-kanak kampung untuk mengejar cita-cita, memupuk semangat dan mewujudkan rasa cinta terhadap warisan.

Sementara itu, wakil USM, Dr. Jacqueline Karimon berkata, program tersebut bukan sekadar membuka ruang kepada pertukaran pengetahuan, tetapi juga menjadi jambatan merapatkan kefahaman budaya antara peserta dari pelbagai latar.

“Melalui perkongsian pengalaman, kita bukan sahaja mempelajari ilmu baharu, tetapi turut menyemai rasa hormat dan cinta terhadap warisan yang membentuk identiti kita,” Ujarnya.

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor Jesselton University College (JUC), Dr. Vincent Oh Kim Seng dan Wakil Kurator Bahagian Muzium Tamadun Islam Sabah, Jabatan Muzium Sabah, Mohd Khairul Anuar Jamil.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui pensyarah undang-undang Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Marja Azlima Omar, menggariskan kepentingan dua prinsip undang-undang tort, in loco parentis dan liabiliti ketat (strict liability) yang boleh digunakan dalam menangani kes buli di sekolah.

Prinsip in loco parentis, yang berasal daripada istilah Latin bermaksud “mengambil tempat ibu bapa”, meletakkan tanggungjawab undang-undang kepada guru dan pihak sekolah untuk bertindak demi kepentingan terbaik pelajar, terutamanya dalam aspek keselamatan dan pengawasan.

“Sejak dahulu lagi, pelbagai kes mahkamah telah mengukuhkan prinsip ini. Dalam konteks buli di sekolah, tanggungjawab ini meliputi penyediaan persekitaran yang selamat serta mengambil langkah proaktif bagi mencegah bahaya, kecederaan atau tragedi,” jelas Marja.

Menurut beliau, di bawah undang-undang tort, pelanggaran tanggungjawab menjaga kebajikan (duty of care) boleh dianggap sebagai kecuaian. Namun, bagi kes buli yang berulang atau diketahui sering berlaku di sesebuah sekolah, konsep liabiliti ketat juga boleh dipertimbangkan.

Liabiliti ketat membolehkan sesuatu pihak dipertanggungjawabkan atas kemudaratan yang berlaku tanpa memerlukan bukti kecuaian atau kesalahan. Dalam konteks pendidikan, ini bermakna jika kejadian buli terbukti berlaku secara berleluasa, pihak sekolah boleh dipertanggungjawabkan walaupun telah mengambil langkah penjagaan sewajarnya.

“Secara mudahnya, apabila terbukti buli berlaku di persekitaran sekolah, undang-undang boleh meletakkan tanggungjawab kepada institusi tersebut. Ini mengubah fokus daripada hanya menyalahkan pelaku kepada turut menilai sistem perlindungan dan prosedur keselamatan yang diamalkan,” tambahnya.

Marja turut menegaskan bahawa pendekatan ini selaras dengan Artikel 19 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang telah diratifikasi oleh Malaysia.

”Artikel ini mewajibkan kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perundangan, pentadbiran, sosial dan pendidikan bagi melindungi kanak-kanak daripada semua bentuk keganasan fizikal atau mental, kecederaan, penderaan, pengabaian atau eksploitasi.

“Komitmen antarabangsa ini memperkukuhkan lagi kewajipan sekolah untuk bertindak secara proaktif dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di bawah jagaan mereka,” ujar beliau.

Beliau menegaskan bahawa tujuan penjelasan ini bukan untuk menuduh atau menyalahkan mana-mana sekolah secara khusus, sebaliknya untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kerangka undang-undang dan berasaskan hak yang sedia ada bagi melindungi pelajar.

“Buli tidak boleh diterima atau dianggap sebagai tradisi. Apabila undang-undang mengiktiraf tanggungjawab menjaga kebajikan, konsep seperti liabiliti ketat dan kewajipan di bawah Artikel 19, ia memberi masyarakat alat untuk memastikan sekolah kekal sebagai ruang selamat untuk semua pelajar,” katanya.