Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus giat menjalankan Knowledge Transfer Programme (KTP) dalam memenuhi fungsinya untuk menyebar luas ilmu kepada masyarakat.

Terbaharu UMS melalui Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) telah menjalankan KTP melalui program Pendidikan Literasi Politik dan Kewarganegaraan Demokratik kepada para pelajar North Borneo University College (NBUC).

Dekan PPIB Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng selaku Ketua Projek berkata penganjuran program itu telah meningkatkan tahap literasi politik dan kesedaran kewarganegaraan demokratik kepada peserta program yang merupakan golongan belia.

“Program yang bermula pada bulan September 2023 ini dilaksanakan melalui modul-modul latihan dan penerapan bersiri mengenai pengetahuan demokrasi dan perlembagaan berdasarkan kepada kuliah, latihan dan penilaian dalam kalangan pelajar NBUC.

“Pihak penganjur berharap modul dan program yang julung kali dilaksanakan ini dapat diteruskan dalam meningkatkan tahap kesedaran dan literasi politik kalangan belia di Sabah sebagai salah satu hasil penerapan falsafah bernegara Malaysia.

“Ini juga sekali gus mendukung salah satu fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2024 iaitu memberdayakan komuniti dan industri melalui program pemindahan dan perkongsian ilmu,” jelasnya.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor Kanan NBUC, Prof. Madya Dr. Steward G. Stephen berkata melalui pelaksanaan program tersebut, para peserta dari Fakulti Keselamatan dan Governan NBUC telah mendapat manfaat secara langsung dalam mendalami pemahaman mengenai literasi politik dan kewarganegaraan demokratik.

Dalam pada itu, salah seorang peserta program, End Andron Rizaly berkata melalui program ini, golongan belia dan pelajar dapat meningkatkan kefahaman mengenai politik, demokrasi dan perlembagaan Persekutuan.

“Saya harapkan program ini akan diteruskan agar kesedaran terhadap golongan belia dan juga pelajar dapat ditingkatkan dan diteruskan lagi”, katanya.

Majlis penutupan program ini turut meraikan penghargaan kepada para peserta melalui penyerahan sijil penyertaan dan beberapa kategori istimewa seperti peserta paling ceria, peserta lelaki terbaik dan peserta wanita terbaik.

Program tersebut turut disertai oleh ahli-ahli akademik UMS yang berperanan sebagai penceramah dan fasilitator antaranya Prof. Madya Dr. Anantha Raman Govindasamy, Prof. Madya Dr. Mohd Azri Ibrahim, Dr. Kavitha Ganesan dan Dr. Shaffarullah Abdul Rahman.

Selain itu turut serta ialah Dr. Budi Anto Mohd Tamring, Dr. Amy Azuan Abdullah, Dr. Mohd Hatib Ismail dan Mohammad Aqmal Hafidz Musa.

 

Pasukan mewakili Kolej Kediaman Tun Fuad  (KKTF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menjuarai Piala FA UMS yang julung kali dianjurkan sempena Liga Sukan UMS 2023/2024.

Pada perlawanan akhir, pasukan KKTF berjaya menewaskan pasukan Fakulti Kejuruteraan dengan jaringan 2-0 yang berlangsung di Stadium UMS di sini Sabtu lalu.

Turut diadakan pada saingan liga itu adalah Liga Premier UMS; Liga UMS; Liga Futsal Wanita UMS 2023 dan Liga Bola Tampar UMS.

Bagi saingan Liga Premier UMS, pasukan mewakili Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR) dinobatkan sebagai juara dan diikuti Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) ditempat kedua dan ketiga dimenangi KKTF.

Juara Liga UMS berjaya dimenangi Fakulti Pengajian Islam (FIS) dan tempat kedua dimenangi Kolej Kediaman Non resident (KKNR).

Manakala tempat ketika bagi Liga UMS dimenangi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP).

Sementara itu, pasukan mewakili KKTPAR turut menjuarai Liga Futsal Wanita UMS selepas menewaskan Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) di tempat kedua dan KKTF ditempat ketiaga.

KKTPAR sekali lagi menjuarai Liga Bola Tampar UMS selepas menewaskan pasukan KKTM di tempat kedua dan FPEP ditempat ketiga.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UMS Prof Madya Dr Raman B Noordin.

 

Penyedia transformasi digital, teknologi dan perkhidmatan di Asia Tenggara, Neurogine Group of Companies telah bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menubuhkan makmal teknologi di Labuan.

Inisiatif berkenaan dikenali sebagai "Pusat Kecemerlangan Asia UMS untuk Rantaian Blockchain" (UMS ACoE), ditubuhkan bagi mewujudkan kluster inovasi tertumpu pada teknologi blockchain (lejer digital terbuka) khususnya dalam aplikasi kewangan dan platform menangani keselamatan makanan. 

Ia berkata usaha bersama itu akan melibatkan kumpulan bakat (pekerja berkemahiran) dari Sabah, Sarawak, Brunei, Indonesia dan Asia Timur sekali gus menempatkan UMS ACoE sebagai hab inovasi kewangan blockchain.
 
Pengerusi Neurogine, Chen Chee Peng berkata, keputusan itu dicapai susulan Mesyuarat Tahunan Lembaga Penasihat 2024 yang diadakan buat kali pertama di Labuan.
 
Beliau berkata, ahli lembaga itu telah melawat Kampus Antarabangsa Labuan (LIC) UMS sebelum ini dan meninjau lokasi berpotensi dan memilih dua lokasi kerana kerana saiz dan sumbernya.
 
Chen berkata, jumlah bakat ketika ini dalam teknologi blockchain adalah rendah walaupun kepentingannya semakin meningkat, menekankan peranan pusat itu dalam menarik dan membangunkan bakat.
 
"UMS ACoE yang dicadangkan akan mencari bakat yang sesuai dan menyediakan platform khusus untuk mereka mempamerkan dan menunjukkan aplikasi dan penyelesaian kewangan blockchain mereka.
 
"Kami mencadangkan kerjasama rapat dengan dua fakulti di UMS LIC iaitu Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan dan Fakulti Pengkomputeran dan Informatik kerana kedua-duanya berada pada kedudukan tepat untuk membangunkan bakat dalam bidang ini yang menggabungkan teknologi dan kewangan," katanya.
 
Selain itu, Chen menjangkakan pusat itu memainkan peranan penting dalam mata wang digital bank pusat di seluruh Asia dengan menekankan permintaan untuk bakat dalam landskap yang berkembang ini.
 
Sehubungan itu, inisiatif itu bukan sahaja akan mencipta peluang pekerjaan tetapi juga menarik pelaburan asing ke Labuan yang berpotensi mengubah aspek perdagangan dan sosial di rantau ini, katanya.
 
Selain itu, beliau berkata, syarikat itu menyasarkan untuk memupuk bakat belia melalui pusat itu, memperkasakan agenda pendigitalan untuk memberi manfaat kepada komuniti Labuan terutamanya dengan penempatan semula ibu kota Indonesia kelak.
 
Chen meluahkan keyakinan bahawa kerjasama dengan UMS akan menghasilkan pertumbuhan ekonomi, teknologi dan sosial yang positif di Labuan.

 

Graduan yang seimbang dalam pelbagai aspek merupakan aset negara yang diperlukan untuk memacu kemajuan pembangunan negara dan mampu bersaing ke peringkat antarabangsa.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, ini sejajar dengan visi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Pendidikan Tinggi Berkualiti, Insan Cemerlang, Negara Sejahtera.

“Amatlah jelas hasrat negara dalam melahirkan graduan yang berkualiti dan terdidik bukan hanya cemerlang dalam akademik, tetapi turut cemerlang sahsiahnya.

“Justeru itu, UMS melalui Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar telah menawarkan kursus-kursus yang memfokuskan potensi pelajar dalam mengasah bakat dan kemahiran insaniah para pelajar melalui silibus kursus yang sesuai dan program-program yang dianjurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Karnival Kokurikulum UMS (KARKUMS) Sesi 1 2023/2024 di Dewan Canselor, UMS.

Kasim menambah, salah satu inisiatif yang dilakukan adalah melalui Karnival Inovasi dengan tema “Inovasi Mudah dan Realistik”.

“Menerusi inisiatif ini, pelajar diberi pendedahan tentang inovasi dengan bimbingan daripada jurulatih yang bertauliah.

“Usaha ini merupakan inisiatif yang baik untuk membuka mata pelajar dalam inovasi dan memberi peluang kepada mereka untuk berfikir secara kreatif sejajar dengan slogan UMS Peneraju Masyarakat Berinovatif,” katanya.

Melalui penganjuran KARKUMS juga katanya para pelajar berpeluang mempamerkan hasil pembelajaran mereka di meja pameran masing-masing dengan penuh kreatif dan ceria.

“Dengan bertemakan kebudayaan dan tradisional, semangat cintakan warisan budaya dapat dipupuk dalam kalangan pelajar, selari dengan slogan Karnival Kokurikulum kali ini iaitu “Pembudayaan Tradisi Warisan Bangsa, Melestari Jati Diri Sejati,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Kasim turut menyempurnakan pelancaran logo KARKUMS bersempena dengan 30 tahun penubuhan UMS.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pengarah PKPP, Prof. Madya Dr. Jurry Foo; dan Pengarah Program KARKUMS, Awang Ku Syaiffudinsah Awang Ku Zainuddin.

 

Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCoE) bagi penghasilan benih ikan marin yang bernilai tinggi.

Menurut Pengarah IPMB, Prof. Madya Dr. Ching Fui Fui, IPMB menerima pengiktirafan tersebut daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan skim geran dana HiCoE sebanyak RM6.75 juta.

Katanya, IPMB merupakan HiCoE pertama di Borneo dengan bidang penyelidikan berfokus kepada Sekuriti Makanan Laut yang menjurus kepada penghasilan benih ikan bernilai tinggi seperti ikan kerapu dan ikan maming.

“IPMB telah melakar sejarah dalam industri akuakultur kerapu dengan kejayaan menghasilkan ikan kerapu hibrid sebelum ini, yang mempunyai kadar pertumbuhan pantas dalam tempoh tujuh bulan berbanding tiga tahun bagi ikan kerapu biasa.

“Pertumbuhan pantas ikan kerapu ini penting untuk memenuhi permintaan pasaran makanan laut bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau Asia.

“Selain ikan kerapu, IPMB juga sedang giat menjalankan penyelidikan ikan maming dalam pelbagai aspek termasuklah genetik dan pembiakan, pemakanan dan kesihatan serta pengurusan sistem ternakan. Setakat ini, IPMB telah berjaya mengenal pasti jantina dan tahap kematangan induk ikan maming dan berupaya memperolehi telur ikan maming yang berkualiti dan sedia disenyawakan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir ke Hatceri Ikan IPMB sempena lawatan kerja sulungnya ke UMS, baru-baru ini.

Turut mengiringi lawatan Zambry ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Menurut Kasim, impak penyelidikan ikan kerapu hibrid UMS telah menghasilkan nilai ekonomi sebanyak USD630 juta seperti yang didokumentasikan oleh Food and Agriculture (FAO) pada tahun 2015 dan nilai ekonominya terus meningkat sehingga kini.

“Saya yakin kejayaan yang sama boleh dilakukan terhadap ikan-ikan bernilai tinggi lain khususnya ikan maming bagi memastikan keterjaminan makanan laut menerusi penghasilan benih ikan berkualiti tinggi.

“Usaha ini dijangka mampu mengurangkan isu kepupusan ikan bernilai tinggi yang akan menjamin kelestarian sumber perikanan selain dapat memacu sumber ekonomi menerusi kerjasama dengan rakan akuakultur dan industri,” katanya.

Pada lawatan tersebut, Kasim turut menzahirkan penghargaan kepada KPT atas penyaluran dana sebanyak RM3 juta untuk tahun pertama pelaksaaan program HiCoE IPMB.

HiCoE IPMB juga akan bekerjasama dengan Kindai Universiti dan beberapa universiti di dalam dan luar negara serta Kerajaan Negeri Sabah dalam memacu ekonomi biru yang menjadi agenda pembangunan negeri Sabah sebagai hab ekonomi negara.