Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung baru-baru ini mampu menjadi wadah terbaik dalam memperkukuh asas perpaduan warga universiti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, ini kerana sambutan yang diadakan setiap tahun itu diraikan bagi memperingati kelahiran Nabi Muhammad s.a.w dan sirah kehidupan Baginda, termasuklah sejarah Piagam Madinah yang menjadi dasar bagi masyarakat Madinah pada masa pemerintahan Rasulullah.

“Sukacita saya ingin mengajak seluruh warga UMS untuk sama-sama menghayati intipati yang terkandung di dalam Piagam Madinah, iaitu suatu bentuk Perlembagaan Negara Islam Madinah yang mencerminkan prinsip-prinsip inklusif, setia bersama, dan keadilan.

“Piagam Madinah merupakan salah satu tonggak penting dalam sejarah awal Islam dan menunjukkan bagaimana masyarakat Islam dan bukan Islam dapat hidup bersama dalam sebuah kerangka yang adil dan harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan tersebut di Pusat Islam, UMS baru-baru ini.

Kasim turut menzahirkan harapan agar program seumpama itu menjadi platform dalam mengukuhkan asas perpaduan yang telah lama dibina dalam kalangan warga UMS.

“Sesungguhnya ini mampu memangkin hubungan lebih erat sesama kita warga UMS yang cintakan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan selaras dengan slogan “Leading Towards Innovative Societies”,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kasim turut memaklumkan UMS melalui Pusat Islam telah dilantik sebagai Ejen Pungutan dan Agihan Zakat bagi Majlis Ugama Islam Sabah dan Ejen Kutipan Zakat serta Wakalah daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Menerusi pelantikan ini telah memberikan manfaat yang amat besar kepada warga UMS tidak kira golongan pelajar mahupun kakitangan melalui pemberian pelbagai bantuan.

“Antara bantuan tersebut seperti elaun sara hidup, penyelesaian yuran pengajian, bantuan Ramadan, Aidilfitri dan sebagainya,” ujar beliau.

Terdahulu, sejumlah 29 kontinjen dari pelbagai Jabatan, Akademi, Fakulti, Pusat, Institut dan Bahagian berhimpun di Dataran Dewan Canselor sebelum berarak menuju ke Pusat Islam.

Pada tahun ini, kontinjen Jabatan Bendahari mengekalkan kemenangan yang diraih tahun lalu apabila dinobat sebagai Johan bagi pertandingan Kontinjen Terbaik, sekali gus membawa pulang hadiah wang berjumlah RM1,000.

Tempat kedua dimenangi kontinjen Jabatan Canselori, manakala kontinjen dari Pejabat Canselori meraih tempat ketiga.

Kedua-dua kontinjen masing-masing membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM700 dan RM500 yang disampaikan Kasim.

Pada majlis yang sama, Kasim turut melancarkan Tabung Solidariti Palestin sebagai medium membolehkan warga universiti memberi sumbangan kepada bantuan kemanusiaan di Palestin yang kini berhadapan dengan konflik.

 

Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu terus mengekalkan hubungan atau perasaan ‘sense of belonging’ dengan alma mater mereka iaitu UMS sebagai satu usaha untuk menyokong dan menyumbang ke arah menambah baik agenda pembangunan universiti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, penganjuran program UMS Alumni Homecoming Dinner umpamanya adalah platform terbaik bagi mengeratkan silaturahim dan bertentang mata antara para alumni dan pentadbiran universiti seterusnya merencana ruang-ruang kerjasama dan program-program bersama universiti.

“Majlis sebegini bukan sahaja istimewa dalam konteks ‘reunion’ dan imbasan kenangan warga UMS tetapi turut signifikan untuk mengekalkan perasaan ‘sense of belonging’ tersebut.

“Perasaan ‘Sense of belonging’ ini tidak terhad kepada penganjuran program yang berbentuk acara atau majlis semata-mata tetapi merangkumi pelbagai inisiatif dan aktiviti yang berimpak tinggi dan memberi nilai tambah terhadap sumbang kembali alumni kepada bakal alumni yang masih menuntut di UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan UMS Alumni Homecoming Dinner di Hotel Hilton, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Kasim menambah, UMS amat bertuah kerana alumninya sentiasa proaktif membantu, menyokong dan mendukung pelbagai program yang dijalankan pihak universiti sama ada berbentuk pembangunan fizikal, pengupayaan modal insan dan lonjakan akademik.

“Setiap perkara yang akan memberi manfaat kepada bakal alumni, alumni dan juga universiti, teruslah memberi semoga dengan cara ini alumni terus dapat memperkukuhkan hubungan antara alumni dan universiti.

“Pendapat saya, bukan nilai pada sumbangan yang diberikan kepada universiti sebaliknya bagaimana bentuk sumbangan itu mampu membawa perubahan kepada pembangunan universiti dan juga kebaikan kepada masyarakat dan komuniti setempat,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin memaklumkan, lebih 500 alumni berjaya dihimpunkan pada majlis makan malam tersebut.

“Ini termasuklah alumni antarabangsa antaranya dari Brunei, China dan Timor Leste.

“Selain makan malam, beberapa aktiviti juga diadakan bersama dengan para alumni antaranya pertandingan boling, Campus Tour dan Kejohanan Golf,” katanya.

Beliau turut berharap agar pertemuan ini dapat merapatkan hubungan antara alumni, serta para alumni akan terus memberikan pandangan dalam menyokong pembangunan universiti.

Pada majlis tersebut, Kasim turut menyempurnakan penyerahan surat niat kepada 25 syarikat yang menjadi rakan strategik kepada Alumni UMS, serta turut melancarkan Alumni Club House Fund.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMS, Samasuddin Yusop dan Datuk Haji Aliasgar Basri; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahril Yusof; Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr. Arif @ Kamisan Pusiran; dan Pemangku Presiden Pertubuhan Alumni UMS, Mohammad Pauzi Jhumat.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus melangkah ke hadapan dengan meraikan inovasi digital selama lima hari pada sambutan Bulan Digital 2023, di sini, hari ini.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, UMS sedang bergerak menuju arah masa depan yang semakin digital dan inovatif.

“Pelajar dan staf adalah warga digital, justeru amat penting untuk memahami dan menguasai peralatan serta pengetahuan yang diperlukan dalam era digital.

“Bulan Digital ini menawarkan kesempatan luar biasa untuk belajar, berkomunikasi, dan merasai kemajuan digital,” ujarnya.

Kasim berkata, sepanjang Bulan Digital 2023 pada kali ini pihak urus setia telah merancang pelbagai aktiviti yang merangkumi pelbagai aspek teknologi digital, termasuk penggunaan platform digital, pemarkahan digital, pembelajaran digital, dan lain-lain lagi.

“Kita juga disajikan dengan pameran ICT dan pameran buku oleh pempamer daripada dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Perasmian Bulan Digital UMS 2023. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Digital Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi UMS, Profesor Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim.

Tambah Kasim, bagi menyemai kesedaran ICT dan digital, UMS turut mengadakan taklimat berkaitan transformasi digital di UMS serta taklimat inovasi STEM.

“Dalam era globalisasi dan digitalisasi ini, selain bergerak seiring dengan perkembangan teknologi, UMS juga harus memastikan teknologi ini digunakan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

“Sebagai sebuah universiti, kita mempunyai tanggungjawab dan peluang untuk membentuk masa depan yang lebih baik bagi para pelajar dan generasi akan datang.

Saya percaya Bulan Digital ini adalah langkah ke arah membentuk dan memperkasakan generasi muda untuk merangkul masa depan.

“Teknologi mempunyai banyak manfaat, tetapi juga mempunyai risikonya sendiri jika disalah guna. Oleh itu, gunakanlah teknologi dengan bijak,” katanya.

Pada majlis tersebut, UMS turut melancarkan UMS Metavarsity Project, pelancaran Sistem Arkib UMS, dan peluncuran logo Perpustakaan.

Turut hadir, Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Salleh dan Ketua U-Science UMS, Hj. Zawawi Tiyunin

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) dengan kerjasama CANON Malaysia dan Malaysian Nature Society (MNS) telah menanam 200 pokok pelbagai jenis di SFERA@UMS baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, aktiviti penanaman menerusi program One Canon One Tree (OCOT) itu merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sering dilakukan oleh CANON Malaysia.

“Program ini adalah inisiatif pihak CANON Malaysia untuk mengurangkan jejak karbon (carbon footprint) dan membantu dalam peningkatan SDGs (Sustainable Development Goals) yang telah ditetapkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sejak 2015 bagi memastikan semua orang menikmati keamanan dan kemakmuran menjelang 2030,” katanya.

Kasim turut memaklumkan, program OCOT merupakan yang pertama dilaksanakan di Pantai Barat Sabah dan UMS adalah lokasi yang dipilih untuk aktiviti penanaman pokok.

“Oleh itu, UMS berperanan dalam membantu merealisasikan objektif kempen ini dengan memupuk semangat cintakan alam semula jadi.

“Ini adalah melalui penanaman pelbagai jenis pokok kepada segenap lapisan masyarakat serta menyokong komitmen untuk mengekalkan litupan kawasan berhutan di Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, aktiviti sedemikian turut menyokong Pelaksanaan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021 sehingga 2025 di peringkat UMS melalui FPT.

Pada program tersebut, seramai 122 orang yang terdiri daripada kakitangan CANON Malaysia, ahli MNS, kakitangan akademik dan pentadbiran serta pelajar-pelajar FPT UMS telah menyertai aktiviti penanaman pokok buah-buahan tempatan yang terdiri daripada durian, rambutan, tarap, cempedak dan nangka.

Turut hadir, Ketua CANON Marketing Malaysia Cawangan Sabah, Calvin Liew; Pengerusi MNS Cawangan Sabah, Anna Wong @ Wong Yun Moi dan Dekan FPT UMS, Prof. Madya Dr. Normah Awang Besar @ Raffie.

 

Berbekalkan kekuatan semangat untuk mencapai hasrat melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS), salah seorang pelajar baharu UMS dalam ketegori B40 berjaya merealisasikan impiannya setelah terpaksa menolak tawaran kemasukan ke universiti tiga tahun lalu kerana kedudukan kewangan yang tidak mengizinkan.

Kimson Albert, 22 tahun yang berasal dari Kampung Murut, Kalabakan akhirnya bergelar pelajar baharu UMS setelah dua tahun gigih mengumpul wang dengan bekerja di kampung halaman beliau.

Menceritakan semula tentang tawaran kemasukan ke universiti yang ditolaknya tiga tahun lalu, Kimson menjelaskan selepas menamatkan pengajian dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sesi 2019/2020, beliau telah membuat permohonan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti melalui Unit Pusat Universiti (UPU).

“Saya memang dapat tawaran melalui sistem UPU iaitu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

“Namun, memikirkan universiti tersebut agak jauh dan keadaan kewangan keluarga yang kurang stabil pada waktu itu, saya terpaksa menolak tawaran tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu UMS Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2023/2024 di Dewan Canselor, UMS.

Beliau kemudiannya memutuskan untuk bekerja dan menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menjana kewangan dan membantu bapanya yang merupakan pekerja di ladang kelapa sawit.

“Selepas dua tahun bekerja, saya dapat mengumpulkan wang yang cukup dan saya membuat permohonan baru di UPU menggunakan keputusan STPM saya yang lepas.

“Pada akhirnya saya dapat tawaran di UMS dengan jurusan yang saya minati iaitu Geografi,” katanya.

Kimson menzahirkan kesyukuran kerana pada kali ini beliau telah mempunyai kewangan yang mencukupi hasil dari pekerjaannya yang membolehkan beliau membayar yuran pendaftaran bagi semester pertama pengajian.

“Selain itu, ahli keluarga yang lain juga ada membantu dalam kewangan sepanjang proses kemasukan ke UMS.

“Saya juga akan membuat pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menambah keperluan kewangan pada semester yang seterusnya,” ujarnya.

Kimson yang merupakan anak sulung dari tiga beradik turut menyatakan harapannya agar selepas tamat pengajian, beliau bercita-cita untuk memasuki profesion perguruan dan mengajar di sekolah tempat kampung halamannya, sekali gus mahu mengubah nasib keluarganya.