Teknologi membran merupakan satu penemuan saintifik yang mampu menjadi penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi oleh manusia dalam pelbagai sektor.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly berkata, teknologi membran telah berkembang pesat sejak 1990-an akibat keperluan mendesak terhadap penjimatan tenaga dan krisis air global.

“Teknologi membran ini tidak begitu menyerlah sehinggalah di awal 1990, iaitu apabila kita mengalami banyak krisis air dan juga kita ingin melaksanakan penjimatan dari segi penggunaan tenaga.

“Teknologi seperti osmosis hadapan membolehkan pemprosesan makanan tanpa merosakkan nutrien, manakala penyulingan membran menawarkan kaedah menghasilkan air bersih menggunakan tenaga rendah.

“Di Sabah, teknologi ini sangat relevan untuk komuniti terpencil, terutama di pulau-pulau yang menghadapi masalah bekalan air bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk “Sustainability in Membrane Technology” di UMS.

Tambah Rosalam, membran juga digunakan dalam bidang perubatan, seperti teknologi dialisis, pemulihan luka, dan penghasilan membran scaffolding untuk pembinaan semula organ manusia.

“Kami sedang meneroka penggunaan membran untuk menghasilkan organ gantian seperti hati dan tulang, yang menggunakan bahan biokompatibel yang dapat mengurangkan risiko penolakan oleh tubuh,” katanya.

Beliau turut berharap agar kerjasama strategik antara universiti, industri, dan kerajaan dapat ditingkatkan bagi mempercepatkan penerapan teknologi tersebut di Malaysia.

“Saya berharap pada masa hadapan, banyak lagi teknologi moden yang menggunakan teknologi membran untuk kemajuan terutama dalam rawatan air,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam ucapan aluannya memaklumkan Majlis Syarahan Perdana seumpama itu adalah satu tradisi akademik yang sangat signifikan bagi seseorang profesor dan dianjurkan sebagai platform untuk menyebar luas ilmu pengetahuan, kepakaran, penemuan inovatif, juga sebagai bukti ketokohan dan kesarjanaan akademiknya.

Penganjuran majlis itu juga katanya adalah sebagai penghargaan serta pengiktirafan kepada profesor sebagai pemikir yang telah banyak memberi sumbangan dan idea khususnya kepada dunia akademik, malah kepada negara dan masyarakat secara keseluruhannya.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Lembaga Pengarah UMS, Prof. Dr. Baba Musta; Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md. Salleh; dan Dekan Fakulti Kejuruteraan UMS, Prof. Madya Ir. Dr. Abu Zahrim Yaser.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus melebarkan lagi kerjasama bersama institusi pengajian tinggi (IPT) di rantau Asia Tenggara apabila memeterai kolaborasi bersama Universitas Muhammadiyah (UNISMUH) Makassar, Indonesia.

Kolaborasi antara kedua-dua universiti tersebut dimeterai menerusi satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan UNISMUH Makassar di UMS.

UMS diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menandatangani MoU tersebut, manakala UNISMUH Makassar diwakili oleh rektor, Dr. Ir. H. Abdul Rakhim Nanda.

Menerusi kerjasama tersebut, UMS dan UNISMUH Makassar akan menjalinkan hubungan dan kerjasama lebih erat dalam pelbagai aspek khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan, mobiliti pelajar dan lain-lain.

Terdahulu, Kasim dalam ucapannya memaklumkan, kerjasama antara Fakulti Pertanian Lestari (FPL) dan Fakultas Pertanian, UNISMUH Makassar telah dijalinkan semenjak tahun 2023 melalui surat niat (LoI).

“Melalui LoI tersebut seramai 8 orang pelajar dan 3 orang kakitangan akademik FPL UMS telah menyertai program mobiliti Makassar Academic and Culture Heritage Activity yang diadakan di UNISMUH Makassar pada bulan Mei 2023.

“Susulan daripada itu, kedua-dua pihak telah bekerjasama mengadakan International Research Seminar, Kuliah Tamu, Scientific Writing Workshop, Joint Research and Publication, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Kampung Batu 12 Sandakan dan program Internasional CSR di Sekolah Indonesia Mekkah pada tahun ini.

“Jalinan kerjasama tersebut berjalan dengan baik, yang mana kedua-dua pihak saling berbalas mengadakan program yang memberikan manfaat kepada warga kedua-dua universiti khususnya pelajar dan pensyarah,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rakhim dalam ucapan balasnya merakamkan penghargaan kepada UMS atas kejayaan pemeteraian MoU tersebut.

UNISMUH Makassar juga katanya melihat potensi untuk kerjasama dalam bidang-bidang lain, termasuk bidang perubatan menerusi Fakultas Kedokteran dan Ilmu Kesehatan.

Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan FPL, Prof. Dr. Abdul Hamid Ahmad; Ketua Bahagian Harta Intelek LP3M UNISMUH Makassar, Prof. Dr. Syamsia; dan Pengarah Kerja Sama UNISMUH Makassar, Dr. Maharida Manindar.

 

Penubuhan Pusat Pembangunan dan Dasar Ekonomi (CEDP) di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan komitmen UMS dalam memacu penyelidikan yang mempunyai hasil yang ketara dan bermakna.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, CEDP mempunyai kedudukan unik untuk menyediakan input penyelidikan kritikal bagi meningkatkan penggubalan dasar di peringkat negeri dan Malaysia secara amnya.

“Pusat ini perlu mengembangkan perkongsiannya dengan agensi kerajaan, pemain industri dan institusi antarabangsa untuk mewujudkan ekosistem teguh yang memacu penyelesaian yang memberi kesan untuk Sabah dan Malaysia.

“Saya mempunyai harapan yang tinggi untuk CEDP agar ia menjadi pemangkin untuk pemikiran inovatif, penyelidikan kolaboratif dan pembangunan dasar berasaskan bukti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran CEDP dan Seminar Mengenai Ekonomi Kontemporari di Hotelab, FPEP.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abd. Karim.

Mengulas berkenaan penganjuran seminar ekonomi, Kasim berkata inisiatif tersebut mewakili penumpuan idea, usaha dan aspirasi untuk menangani cabaran ekonomi yang mendesak pada zaman ini.

“Sabah berhadapan pelbagai cabaran ekonomi termasuk kemiskinan dan keperluan untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Ini adalah peluang untuk membincangkan cabaran ekonomi baru, idea baharu dan membentuk kerjasama yang akan membantu menghadapi perubahan landskap ekonomi,” katanya.

Ujarnya lagi, usaha ini turut berpotensi untuk merapatkan jurang antara penyelidikan dan dasar yang boleh diambil tindakan dalam menangani isu-isu yang dibincangkan.

Pada majlis tersebut, turut berlangsung Diskusi Panel yang melibatkan dua ahli panel jemputan, iaitu Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Datuk Seri Panglima Hashim Paijan dan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah, Tseu Kei Yue.

 

Pusat Perakaunan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Borneo International Accounting Conference (BIAC) 2024, baru-baru ini.

Menurut Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd Karim, persidangan tersebut antara lain bertujuan memupuk kerjasama, kolaborasi daripada institusi berbeza dan memajukan penyelidikan dalam bidang perakaunan dan bidang yang berkaitan di peringkat antarabangsa.

Katanya, ia juga bagi memberi peluang kepada pelajar dan ahli akademik daripada institusi pendidikan tempatan dan antarabangsa untuk membentangkan kertas penyelidikan mereka dan mendapat maklum balas daripada para pakar, seterusnya meningkatkan kualiti penyelidikan mereka.

“Lebih 100 peserta dari China, Indonesia dan Malaysia menyertai persidangan kali ini. Sepertiga daripadanya hadir secara fizikal manakala yang lainnya menyertai secara dalam talian.

“Saya amat mengalu-alukan anda semua ke UMS dan berharap anda dapat menikmati masa yang bermanfaat dan memuaskan semasa persidangan ini,” katanya ketika merasmikan BIAC yang berlangsung di Dewan Bankuasi UMS.

Sementara itu, Pengarah Pusat Perakaunan selaku Pengerusi Persidangan, Andy Lee Chen Hiung berkata, Pusat Perakaunan FPEP UMS sebelum ini telah menganjurkan seminar berskala kecil dan percuma yang mengumpulkan kertas-kertas pembentangan daripada peserta tempatan sahaja.

Namun katanya pada tahun ini pihaknya mengambil langkah berani untuk menganjurkan BIAC 2024 buat pertama kalinya dengan melibatkan peserta luar negara.

“Sebanyak 78 kertas kerja telah dibentangkan oleh ahli akademik dan pelajar sarjana muda dan kedoktoran daripada Universiti Utara Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, AMC University College, Universitas Diponegoro, Indonesia, Universitas Andalas, Indonesia, Universitas Sarjanawiyata Tamansiswa (UST),

Indonesia, Universiti of Shanghai for Science and Technology (Business School), China dan Universiti Negeri Jakarta, Indonesia.

“Saya amat berterima kasih kepada rakan kongsi dan rakan usahasama iaitu University of Shanghai for Science and Technology, China, Universiti Sarjanawiyata Tamansiswa University, Indonesia, AMC University College, Sabah dan Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS untuk sokongan dalam persidangan ini.

“Saya juga mengucapkan terima kasih dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada pelbagai badan profesional perakaunan termasuk Institut Akauntan Malaysia (MIA); Association of Chartered Certified Accountants (ACCA); Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA); dan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA)”.

“Saya berharap persidangan ini akan dapat membantu mengubah idea para peserta menjadi realiti dan semoga persidangan ini menjadi wadah untuk mempererat hubungan akademik dan profesional antara pelbagai negara di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Hadir sama, Profesor Dr. Yu Qianlong, dari University of Shanghai for Science and Technology (Business School) China; Pengerusi Jawatankuasa Wilayah Sabah, Institut Akauntan Malaysia (MIA) Dusun Chong Ket Vui dan Ketua Pejabat Wilayah Sabah, Institut Akauntan Malaysia (MIA), Susan Maiks.

Seiring usaha menarik pelancong, Shangri-La Rasa Ria baru-baru ini memperkukuh kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui pelancaran 'Mushroom Culinary of Sabah', sebuah buku resipi yang mcmaparkan kepentingan kuliner dan ekologi cendawan.

Serentak pelancaran itu diadakan perasmian pameran cendawan bioluminesen pcrtama di Malaysia, di persekitan resort berkenaan.

Pengurus Besar resort berkenaan, Fiona Hagan dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, menyempurnakan acara perasmian itu.

Acara dimulakan dengan pelancaran Mushroom Culinary of Sabah, sebuah koleksi 33 resipi luar biasa yang dihasilkan oleh pakar kuliner berpengalaman dan Sous Chef resort, Cef Elroy Ernest.

Berdasarkan warisan tempatan dan penghargaan mendalam terhadap biodiversiti Sabah serta pcngalaman lebih 20 tahun, Cef Elroy mencipta resipi yang menonjolkan kepclbagaian, manfaat pemakanan dan unsur budaya cendawan yang diperoleh dari sumber tempatan.

"Buku ini mencerminkan prinsip 'Rooted in Nature' kami.

"Dari ladang ke meja, resipi-resipi ini meraikan tradisi kuliner Sabah yang kaya dan sumber alam yang luar biasa," katanya.

Sorotan acara tersebut adalah pelancaran 'Rasa Ria Reserve After Dark: The Glow Experience1 .

Pameran bioluminesen yang inovatif ini dibangunkan hasil kerjasama dengan UMS, diketuai oleh Profesor Madya Dr. Jaya Seelan A/L Sathiya Seelan dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP).

Terletak di dalam kawasan simpanan 64 ekar Rasa Ria Reserve, pemasangan cendawan bercahaya ini menawarkan pengalaman terindah yang menggabungkan sains, seni dan alam semula jadi.

"Kerjasama dengan Shangri-La Rasa Ria ini merupakan pencapaian penting bagi UMS,"

"Taman cendawan bercahaya ini bukan sahaja suatu pencapaian saintifik, tetapi juga sebagai meraikan biodiversiti unik Sabah. 

"Ia menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila penyelidikan dan inovasi digabungkan dengan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar," kata Dr. Jaya.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim.