JUMAAT, 10 JULAI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Hospital UMS (HUMS) dan Institut Confucius menganjurkan ceramah umum “Traditional Chinese Medicine (TCM) in COVID-19” sebagai satu usaha mengetengahkan perubatan tradisional Cina dalam rawatan pelbagai penyakit termasuk COVID-19.

Naib Canselor UMS, Prof. ChM. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, usaha bersama tersebut merupakan satu platform terbaik dalam menghimpunkan pakar perubatan dan penyelidik universiti untuk mempelajari dan mendalami kaedah perubatan tersebut.

“Pandemik COVID-19 mengajar kita banyak perkara, dan salah satunya adalah berkaitan keberkesanan TCM dalam rawatan penyakit.

“Saya juga difahamkan akan ada perbincangan berkaitan penyelidikan TCM antara penyelidik UMS dan penceramah.

“Diharapkan perbincangan ini akan menghasilkan satu kolaborasi yang memberi manfaat untuk universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya sempena ceramah umum tersebut yang berlangsung di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, pagi tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng.

Datuk Taufiq Yap turut berharap agar pengetahuan yang dikongsi akan memberi manfaat kepada UMS serta mampu menyokong kepada kerajaan negeri Sabah khususnya dalam mengawal dan menangani wabak COVID-19 di negeri ini.

Dalam pada itu, ceramah yang disampaikan oleh pakar dari Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Yam Mun Fei antara lain menerangkan berkaitan TCM yang merupakan kaedah perubatan tertua di dunia dengan sejarahnya sejak 2500 tahun dahulu.

“Dalam satu kajian, hasil penggunaan TCM dalam merawat wabak Severe Accute Respiratory System (SARS)  adalah sangat menggalakkan.

“TCM adalah satu pendekatan integratif untuk merawat pesakit COVID-19 sementara menunggu pembangunan vaksin yang berkesan untuk penyakit tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Klinikal HUMS, Dr. Nicholas Pang Tze Ping memberitahu, atas faktor penjarakan sosial, ceramah tersebut hanya dihadkan kepada 30 peserta.

“Walau bagaimanapun, pihak HUMS menyediakan platform melalui Google Meet dan Facebook Live agar orang awam turut berpeluang memperoleh pengetahuan yang disampaikan.

“HUMS juga akan menggiatkan kolaborasi dengan pelbagai organisasi bagi menganjurkan ceramah umum sebegini untuk manfaat universiti dan masyarakat khususnya,” ujar Dr. Nicholas Pang.

Hadir sama dalam ceramah umum tersebut Pengarah Institut Confucius, Prof. Dr. Low Kok On; Pengarah Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Kualiti Akademik, Prof. Dr. Vincent Pang Ah Fook; dan Ketua Kejururawatan HUMS, Prof. Dr. Hamidah Hassan.

KHAMIS, 9 JULAI -  Prihatin terhadap bencana banjir yang melanda Pusat Amal Latihan dan Amali Orang Kurang Upaya(OKU) di Tuaran, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Malaysia Sabah (UMS) turun padang bagi membantu membersihkan semula kawasan pusat latihan tersebut.

Menurut Ketua Jurulatih PALAPES UMS, Mejar Erika Fatra Roslita Rusli, “Program Jiwa Murni” yang dilaksanakan selama dua hari di pusat latihan tersebut adalah bertujuan untuk membantu meringankan beban dalam kalangan golongan OKU yang terjejas akibat hujan lebat serta banjir baru-baru ini.

“Program ini juga menjadi platform untuk PALAPES UMS mengeratkan hubungan silaturrahim antara staf UMS, anggota tentera dan masyarakat amnya serta golongan OKU khasnya.

“Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Naib Canselor UMS, Prof. ChM. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin yang memuji penglibatan kakitangan dan pelajar universiti dalam aktiviti kemasyarakatan seumpama ini,” katanya.

Ujar Mejar Erika, usaha sebegini membuktikan bahawa UMS bukan saja mampu melahirkan siswa-siswi yang berprestij tetapi juga mampu memberi sumbangan khidmat bakti kepada masyarakat.

Dalam pada itu, orang awam adalah dialu-alukan untuk memberi sumbangan beras dan barang keperluan dapur bagi meringankan beban pusat latihan tersebut.

KHAMIS, 25 JUN - Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada hari ini menyerahkan bekalan pensanitasi tangan kepada lapan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta 21 buah sekolah di Sabah.

Penyerahan pensanitasi tangan tersebut diadakan dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Anjung Siswa, Bangunan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS yang disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM Dr. Taufiq Yap Yun Hin.

Menurut kenyataan dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS, acara penyerahan tersebut adalah kali kedua kepada agensi kerajaan dan NGO selepas kali pertama diadakan pada 5 Jun lalu.

“UMS melalui FSSA yang diketuai oleh Prof. Dr. How Siew Eng bersama kumpulan penyelidik dari sektor sains telah menghasilkan sejumlah 1173 liter pensanitasi tangan, dengan sebahagiannya telah diisi ke dalam 6700 unit botol kecil dan diagihkan secara percuma.

Kandungan pensanitasi tangan yang dihasilkan juga adalah mengikuti garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” demikian menurut kenyataan tersebut.

Pengeluaran pensanitasi tangan itu adalah di bawah inisiatif “Function of Science”, satu inisiatif program “Global Innovation through Science and Technology (GIST)” oleh “United States Department of State”, Amerika Syarikat yang mendapat tajaan bahan mentah daripada badan-badan korporat.

Menurut Pengarah GIST di Malaysia, Murali Prasad Y. Vandayar, antara badan korporat yang memberi tajaan adalah Lendlease, Yayasan MRCB, Tessolve Semiconductor, WWRC, Mayplas Packaging, Apical Scientific, MITR Mediservice, Acme Chemicals, Elite Advanced Materials  dan penderma perseorangan.

Inisiatif tersebut bertujuan untuk meringankan beban golongan B40 dan barisan hadapan yang terpaksa berdepan dengan harga pensanitasi tangan yang mahal semasa pandemik COVID-19, serta memastikan keperluan pensanitasi tangan ketika bertugas dapat dipenuhi kerana ketiadaan sumber sabun dan air yang berhampiran untuk membersihkan tangan.

Sementara itu, Datuk Dr. Taufiq Yap amat berbesar hati untuk menyumbang tenaga kerja sukarela dan fasiliti untuk menghasilkan pensanitasi tangan secara percuma kepada yang memerlukannya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua perderma dan tenaga kerja UMS yang telah bertungkus lumus menghasilkan pensanitasi tangan tersebut di makmal.

Dalam pada itu, FSSA UMS juga telah menandatangani “Letter of Intent (LoI)” dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada 18 Jun lalu bagi kerjasama dalam projek Kitar Semula Botol Pensanitasi Tangan Terpakai.

LoI tersebut ditandatangani oleh Mayor DBKK, Datuk Hj Nordin Siman dan Dekan FSSA Prof. Dr Baba Musta.

Projek tersebut bertujuan mengguna pakai semula botol terpakai untuk mengisi lebih banyak unit botol pensanitasi tangan supaya dapat diagihkan kepada lebih ramai orang terutamanya golongan B40.

Justeru, orang ramai adalah amat dialu-alukan untuk menyumbang botol pensanitasi tangan terpakai ke pusat pengumpulan terpilih iaitu di pintu masuk utama UMS,  Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, Dewan Serbaguna Damai, Bangunan DBKK dan Tingkat 7, Centre Point (Pejabat DBKK).

 

RABU, 24 JUN - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) pada hari ini memeterai satu perjanjian kerjasama dengan Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC) bagi membangunkan koleksi kultur bakteria yang sedia ada dan baru dari beberapa lokasi di Sabah.

Menurut kenyataan dari IPB, kerjasama yang melibatkan peruntukan penyelidikan sebanyak RM 500 ribu dari SaBC dengan tempoh perjanjian selama  setahun itu ditandatangani dalam satu Majlis Menandatangani Kontrak Penyelidikan antara kedua-dua pihak di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif (BMLE), Bangunan Canselori UMS

UMS diwakili oleh Naib Canselor, Prof. ChM. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin menandatangani dokumen perjanjian tersebut, manakala SaBC diwakili oleh Setiausaha SaBC, Gerald Jetony.

Melalui projek kerjasama itu, UMS akan membantu SaBC dalam membangunkan koleksi kultur bakteria yang sedia ada dan baru dari lokasi Pulau Sipadan, Pulau Mabul, Pulau Mataking , Lembah Danum dan Pusat Konservasi Imbak Canyon.

Projek penyelidikan tersebut diterajui oleh Pengarah IPB. Dr. Zarina Amin sebagai ketua projek dan Prof.Dr Clemente Michael Wong Vui Ling yang merupakan pakar penyelidikan mikrobiologi molekular dari institut tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Zarina Amin menjelaskan, dengan kepakaran dan prasarana berteknologi tinggi yang terdapat di institut tersebut, IPB UMS berkeupayaan untuk membantu kerajaan negeri Sabah khususnya dalam membangunkan koleksi kultur bakteria buat kali pertamanya di negeri ini.

“Ini terutama bagi bakteria yang berpotensi mempunyai aplikasi penting di dalam bidang perubatan dan industri seperti enzim dan sebatian biokimia yang lain.

“Antara aktiviti penyelidikan yang akan dijalankan adalah pengkulturan dan pengenalpastian bakteria melalui penjujukan gen 16S serta penjujukan genom beberapa strain yang dikenal pasti,” katanya.

Menurut Dr. Zarina lagi, selain daripada proses pengkatalogan serta penyimpanan bakteria yang dikenalpasti bagi pihak SABC, latihan kepakaran pengkulturan bakteria akan juga diberikan kepada kakitangan SaBC sepanjang tempoh usahasama tersebut berjalan

“Ini adalah sebagai satu proses pemindahan teknologi di antara UMS dan SaBC.

“Sebuah pangkalan data juga akan dibangunkan bagi tujuan penyimpanan rekod jumlah spesies bakteria yang terdapat di negeri Sabah,” kata Dr. Zarina.

Beliau turut berharap agar melalui usaha tersebut, kerjasama rapat dalam bidang pemindahan teknologi dan aktiviti biokonservasi dapat terus dijalinkan di antara ahli akademik UMS dan agensi kerajaan negeri bagi memperkembangkan sektor biokonservasi, bioindustri dan bioperubatan di negeri Sabah.

KHAMIS, 18 JUN - Susulan masalah lambakan hasil tomato ekoran pandemik COVID-19 yang menjejaskan ekonomi masyarakat setempat, sekumpulan pakar pelbagai bidang disiplin dari Universiti Malaysia Sabah telah melaksanakan intervensi teknologi dengan mengadakan demonstrasi pemprosesan, pembotolan dan pembungkusan produk tomato baru-baru ini.

Kumpulan pakar yang terdiri daripada pakar teknologi makanan dari Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Dr Mansoor Abdul Hamid; pakar kearifan tempatan dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Dr Jurry Foo; dan pakar pemakanan dan penyelaras AgriSolutions, Dr Yasmin Ooi melakukan intervensi teknologi di Kundasang Guesthouse sebagai langkah pertama dalam menyelesaikan isu lambakan hasil tomato tersebut.

Menurut Dr. Yasmin Ooi, AgriSolutions adalah gabungan multi disiplin dari UMS yang memikirkan dan membuat intervensi penyelesaian bagi isu-isu berkaitan pertanian dan makanan, dari kebun ke pinggan. 

“Justeru, pelaksanaan program ini adalah salah satu usaha UMS khususnya yang bertujuan memberi bimbingan kepada petani tomato di Kundasang tentang bagaimana untuk memproses dan menyimpan hasil tomato sebagai langkah mengatasi masalah lambakan hasil tersebut.

“Demonstrasi sehari ini adalah permulaan, dan dijangka lebih banyak intervensi yang akan dilakukan pada masa akan datang bagi membantu para pekebun di sini,” katanya.

Dr. Yasmin Ooi turut menjelaskan, prosedur keselamatan yang bersesuaian sentiasa dipatuhi sepanjang program ini, dengan bilangan peserta dihadkan bersesuaian dengan keluasan lokasi agar penjarakan fizikal sosial dapat diamalkan. 

“Selain merekodkan kehadiran dan suhu badan peserta dan fasilitator, prosedur operasi standard baharu dari UMS turut dipatuhi, dan setiap peserta juga telah melengkapkan borang persetujuan penglibatan program,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Jurry Foo berkata pemprosesan sos dan pes tomato bukan sahaja dapat membantu mengatasi masalah lambakan tomato, tetapi turut memberikan nilai tambah kepada hasil tomato petani di Kundasang.

“Ucapan terima kasih kepada penyelaras program, Japiril Suhaimin yang memberikan undangan kepada pihak UMS untuk melaksanakan inisiatif intervensi teknologi di sini,” kata Dr. Jurry Foo.

Japiril Suhaimin yang mewakili sekumpulan petani tomato di Kundasang turut merakamkan penghargaan kepada pihak UMS dalam menjayakan usaha pertama intervensi teknologi di daerah Kundasang.

“Sememangnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, pekebun sayur di Kundasang menghadapi masalah dalam menjual hasil pertanian mereka.

“Justeru, bantuan seumpama ini adalah sangat dihargai demi memastikan kelangsungan ekonomi penduduk tempatan,” ujar beliau.

Demonstrasi pemprosesan sos dan pes tomato dikendalikan oleh Dr Mansoor Abd Hamid, dan dibantu oleh dua orang pembantu makmal yang berpengalaman dalam demonstrasi pemprosesan makanan dari FSMP, iaitu Fritzgerald Andrew Dayang Janiah Abd. Sami. 

Semua prosedur berkaitan kawalan kualiti dan keselamatan produk turut ditunjukkan dan dipraktikkan oleh peserta. 

Peserta juga berpeluang mencuba beberapa resipi untuk sos tomato, dan setelah dihasilkan, produk diuji rasa untuk mengenal pasti formulasi yang paling sesuai dengan cita rasa pengguna tempatan.