JUMAAT, 6 MAC - Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS) telah menganjurkan program “Workshop on Structural Equation Modeling (SEM-AMOS) Level 1” di Bilik Mesyuarat Abdul Halim, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Program dua hari itu telah disampaikan oleh Profesor Dr. Zainudin Awang, professor dalam bidang statistik dan kuantitatif di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurut Ketua UPPsiKS, Profesor Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Haji Bahari, program itui sangat penting kepada para peserta kerana dapat memberikan gambaran yang jelas kepada mereka tentang cara yang terbaik untuk menganalisis data kajian mereka.

“Menganalisis data penyelidikan bukanlah sesuatu yang mudah namun kehadiran peserta dalam bengkel ini akan membuka minda mereka bahawa penggunaan SEM-AMOS dalam penyelidikan akan memudahkan mereka membuat penyelidikan dan membolehkan para peserta menguji dan menghasilkan model yang mereka inginkan.

“Oleh itu, para peserta perlu menggunakan kesempatan ini dengan sebaik mungkin untuk mendalami ilmu tentang SEM-AMOS yang semakin popular dalam kalangan ahli akademik,” ujar Dr. Muhammad Idris.

Selain pelajar prasiswazah dan pascasiswazah UMS, pelajar luar serta beberapa penysrah turut menyertai bengkel tersebut bagi menambahkan lagi pengetahuan yang sedia ada.

 

KHAMIS, 5 MAC - Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan golongan minoriti yang ingin disedari kehadiran mereka dalam kalangan masyarakat.

Demikian menurut Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Hj Bahari ketika memberi ulasan buku 'Kebahagiaan Dari Perspektif Orang Kurang Upaya' dalam satu program di Ruang Megalab, Perpustakaan UMS baru-baru ini.

Bercerita lanjut tentang pengalaman beliau berdepan dengan golongan OKU, golongan ini katanya memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk mereka meneruskan kehidupan.

“Bukanlah simpati yang mereka inginkan, sebaliknya hanya sokongan dan mereka mahukan penglibatan secara langsung dalam kalangan masyarakat.

“Jika disingkap sisi kehidupan OKU, kehidupan mereka tidak seindah orang lain kerana keterbatasan mereka, namun perkara tersebut tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Ujar Dr. Muhammad Idris, hakikatnya golongan OKU juga mampu berjaya dan mengorak langkah dengan lebih jauh seandainya diberikan peluang dan juga sokongan dalam pelbagai aspek.

Buku 'Kebahagiaan Dari Perspektif Orang Kurang Upaya' boleh didapati di Kedai Buku Penerbit UMS di Bangunan Anjung Siswa, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS. 

RABU, 4 MAC - Budaya perkahwinan pada usia kanak-kanak perlu ditangani dan dihapuskan dalam kalangan masyarakat masa kini.

Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari menjelaskan, ilmu dan pengetahuan mengenai perkahwinan kanak-kanak perlu disampaikan kepada golongan usia muda dan juga kepada ibu bapa kerana kanak-kanak sepatutnya berada di bangku sekolah dan bukannya menjadi isteri pada usia yang muda.

“Ibu bapa perlu diberikan kesedaran tentang perkara ini kerana umum mengetahui bahawa perkahwinan kanak-kanak banyak berlaku dalam kalangan masyarakat terutamanya mereka yang berada di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah dalam Program Kesedaran Tangani Perkahwinan Kanak-Kanak anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA) baru-baru ini.

Dalam pada itu, JHEWA telah merangka program dengan melawat sekolah-sekolah yang berada di kawasan luar bandar untuk memberikan pendedahan kepada kanak-kanak dan ibu bapa tentang perkahwinan kanak-kanak.

Program ini telah diadakan di dua lokasi iaitu SMK Matupang Jaya, Ranau yang dihadiri oleh 600 orang pelajar dan ibu bapa, dan SMK Tambunan yang dihadiri oleh 500 orang pelajar dan ibu bapa.

Kedua-dua program ini telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, Norazlinah Arif.

SELASA, 3 MAC - Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial telah menganjurkan ceramah yang bertajuk “Terokai Bakat dan Potensi Diri” yang berlangsung di Bilik Seminar 1, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Ceramah yang disampaikan oleh Ketua UPPsiKS, Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari menyentuh tentang keunikan setiap individu dan kepentingan setiap orang untuk mengenal pasti titik kelemahan dan kekuatan diri masing-masing.

“Setiap individu adalah unik dan keunikan tersebut yang menjadikan kita berbeza dengan individu yang lain.

“Justeru, amat penting untuk kita mengenali diri kita sendiri dan mengenal pasti titik kelemahan dan kekuatan kita agar setiap kelemahan dapat diperbaiki dan pada masa yang sama aspek kekuatan tersebut dapat ditingkatkan,” katanya.

Tambah Dr. Muhammad Idris, hasil penguasaan ilmu berkaitan mengenali diri ini juga dapat membantu orang lain untuk mengenali diri mereka.

Ceramah tersebut telah dihadiri oleh peserta yang terdiri daripada kalangan kaunselor, guru-guru, kakitangan kerajaan, pelajar prasiswazah dan pascasiswazah dari dalam dan luar UMS.

ISNIN, 2 MAC - Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda Universiti Malaysia Sabah (UMS 4WDVC) buat julung kalinya telah menganjurkan Kursus Asas Radio Amatur baru-baru ini.

Menurut penganjur kursus, Hasmi Hashim yang juga merupakan Bendahari Kelab UMS 4WDVC, kursus yang dihadiri oleh beberapa kakitangan UMS, orang awam dan ahli kelab sendiri telah disampaikan oleh pensyarah kanan UMS, Prof. Madya Dr. Syed Nasirin Syed Zainol Abidin yang berpengalaman terlibat dengan pasukan komunikasi rasmi Borneo Safari 2016 dan terlibat dengan pasukan Amal Malaysia dalam Misi Menyelamat Palu, Indonesia pada 2018.

“Dalam kursus ini, setiap peserta telah didedahkan dengan asas pengenalan radio amatur, Q Code, Ohm’s Law, keselamatan radio, antena, dan lain-lain lagi.

“Sambutan kursus ini amat menggalakkan dengan penyertaan sejumlah 35 orang,” katanya.

Menurut beliau lagi, tujuan penganjuran kursus ini adalah bagi berkongsi ilmu pengetahuan berkaitan asas Radio Amatur di samping menjana pendapatan kelab.

Dalam pada itu, Presiden Kelab UMS 4WDVC, Prof. Dr. Shahril Yusof berharap agar semua peserta kursus memperoleh ilmu yang bermanfaat dan akan di amalkan terutama untuk kelancaran kerja-kerja kesukarelawanan akan datang, serta turut menekankan kepentingan kursus sebegini diteruskan pada masa akan datang.