ISNIN, 2 MAC – Akses audit yang dijalankan di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) baru-baru ini adalah merupakan salah satu usaha ke arah menjadikan UMS  sebagai kampus mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

Akses audit yang dijalankan sekumpulan penyelidik di bawah geran Skim Dana Khas Universiti Malaysia Sabah diketuai oleh Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP),  Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari berlangsung selama tiga hari dengan tujuan untuk melihat kemudahan sekitar kampus yang boleh digunakan dan ditambah baik.

Menurut Dr. Muhammad Idris, akses audit yang dijalankan merupakan kesinambungan akses audit yang dijalankan di UMS Sandakan pada tahun lalu, dan dijangka akan turut dijalankan di kampus Kota Kinabalu tidak lama lagi.

“Akses audit ini turut disertai oleh konsultan dari Syarikat Inspirize Consulting PLT, Fariz Haji Abdul Rani yang mempunyai kelayakan yang diiktiraf untuk menjalankan kerja-kerja akses audit, selain turut dibantu oleh beberapa orang pembantu penyelidik dan enumerator yang telah diberikan kursus jangka pendek mengenai cara-cara untuk menjalankan akses audit.

“Hasrat kami adalah agar akses audit yang dijalankan ini dapat dijadikan garis panduan oleh pihak universiti dalam mewujudkan sebuah kampus yang mesra OKU,” katanya.

Ujar Dr. Muhammad Idris,  perkhidmatan yang mesra OKU akan menjadikan UMS sebagai pilihan untuk golongan OKU melanjutkan pengajian.

Terdahulu, kumpulan penyelidik turut berpeluang mengadakan pertemuan dengan Pengarah UMSKAL, Prof. Dr. Jualang @ Azlan Abdullah Gansau dan berkongsi maklumat yang berguna untuk memudahkan proses kerja-kerja akses audit dijalankan.

 

JUMAAT, 28 FEBRUARI – Unit Psikologi dan Kerja Sosial (UPPsiKS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan satu Bengkel Penyelidikan Kualitatif dan Kuantitatif anjuran Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sabah baru-baru ini.

Dalam bengkel tersebut, Ketua UPPsiKS, Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Hj. Bahari telah memberi penerangan mengenai analisis data kualitatif dan juga analisis data menggunakan kaedah kuantitatif kepada peserta yang hadir.

“Para peserta diberi tunjuk ajar tentang proses pengumpulan data dan bagaimana hasil kajian dapat diperoleh dengan menggunakan kedua-dua kaedah analisis data tersebut.

“Bengkel ini sebenarnya diadakan bertujuan untuk memenuhi keperluan dalam #112 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2020 yang menggalakkan penyelidikan dijalankan di sesebuah institusi,” katanya.

Dr. Muhammad Idris turut memuji inisiatif IAB menganjurkan bengkel tersebut bagi menggalakkan penglibatan kakitangannya dalam bidang penyelidikan dan menjadikan penyelidikan sebagai satu budaya di institusi berkenaan serta dikembangkan agar menjadi contoh kepada organisasi yang lain.

Bengkel yang berlangsung selama sehari itu telah disampaikan kepada staf ikhtisas yang bertugas di IAB Cawangan Sabah, dan telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Kanan (Khidmat Latihan) IAB, Datuk Dr. Haji Mohd Kassim Haji Mohd Ibrahim.

 

JUMAAT, 28 FEBRUARI - Universiti Sabah Malaysia (UMS) komited untuk menghentikan penggunaan plastik sekali guna (single-use plastic) di dalam kampus sebagai salah satu usaha menangani isu pencemaran plastik yang memberi kesan kepada alam sekitar dan kesihatan awam.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, selari dengan konsep Ecocampus, UMS sentiasa berusaha untuk menjaga kelestarian dan kehijauan kampus.

“UMS adalah sebuah kampus hijau yang sentiasa mementingkan kebersihan dan kehijauan persekitaran.

“Namun, cabaran utama kita adalah kita tidak mengamalkan budaya menjaga alam sekitar dengan betul. Kita masih menggunakan plastik secara berleluasa.

“Walaupun kita banyak menjalankan aktiviti untuk kesedaran umum, tetapi kita kurang mengamalkannya,” ujar beliau ketika merasmikan program ‘Seven Steps Methodology Workshop for EcoSchools and FEE EcoCampus’ anjuran Pusat Pengurusan Ecocampus (Ecocampus) UMS, baru-baru ini.

Tambahnya, pada tahun ini UMS akan melakukan perubahan besar dari segi penggubalan polisi.

“Walaupun UMS dikenali sebagai Ecocampus, tetapi kita tidak ada polisi berkaitan ecocampus. Jadi pada tahun ini saya harap kita boleh melakukannya,” katanya.

Beliau turut berharap penganjuran bengkel tersebut dapat mendidik generasi muda untuk lebih peka dan bersedia dalam penjagaan alam sekitar dengan lebih efisien.

Sebanyak 12 sekolah menyertai program tersebut yang dianjurkan bersama WWF Malaysia, termasuk University College Sabah Foundation (UCSF), Kolej Politeknik Kota Kinabalu, Sekolah Kebangsaan Sukau Kinabatangan dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Tai Tong Sandakan.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengarah Ecocampus UMS, Prof. Madya Dr. Berhaman Ahmad dan Timbalan Pengarah, Kueh Boon Hee.

JUMAAT, 28 FEBRUARI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Penerbit UMS disaran agar menerbitkan buku-buku yang bersifat ilmiah tetapi mesra pembaca dan mudah difahami.

Naib Canselor UMS, Prof. ChM Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, UMS sebagai game changer dalam pembangunan masyarakat di negeri Sabah mengutamakan penyelidikan yang mampu mengubah kualiti kehidupan masyarakat dengan memindahkan teknologi dari penyelidik universiti dan menggabungkan kearifan tempatan demi pembangunan mapan.

“Semua itu perlu diterjemah kepada bahan bacaan, dan saya menggesa Penerbit UMS untuk menerbitkan buku-buku sedemikian.

“Penerbit UMS harus berupaya menawarkan lanskap buku yang berlainan, kerana seperti yang kita dapat lihat trend di Malaysia adalah pembaca meminati cerita fiksyen, kurang membeli karya terbitan tempatan, dan lebih senang mengeluarkan duit untuk tengok wayang.

“Justeru, penerbit buku ilmiah perlulah kreatif untuk mengembangkan nic pasaran untuk buku ilmiah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Pasar Buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) – UMS di Ruang Megalab, Perpustakaan UMS baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul.

Menurut Datuk Dr. Taufiq, kepesatan teknologi dan trend penerbitan ke arah penerbitan elektronik seharusnya digunakan sepenuhnya oleh penerbit.

Terdahulu, Pengarah Penerbit UMS, Prof. Madya Dr. Asmiaty Amat berkata, matlamat penganjuran program Pasar Buku DBP-UMS ini adalah bertujuan untuk menjual buku dan menggalakkan orang membeli dan membaca buku.

“Usaha ini memerlukan kesabaran yang tinggi serta penglibatan seluruh masyarakat untuk menggembleng tenaga dan buah fikiran untuk menjayakannya kerana tidak mudah untuk menarik minat orang ramai untuk datang membeli buku dan menjadikan membaca sebagai amalan berterusan seseorang.

“Oleh hal yang demikian tanggungjawab kita terutamanya warga universiti dan tentunya agensi kerajaan seperti DBP adalah keperluan kita menjadikan budaya membaca ini sebagai satu amalan dan tanggungjawab bersama,”kata Dr. Asmiaty.

Program ini juga katanya menjadi platform dalam mempromosikan 41 judul buku yang diterbitkan dan dilancarkan UMS pada tahun 2019.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Rosdi Awang; Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof; dan Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin.

KHAMIS, 27 FEBRUARI 2020 - Pusat Pengurusan EcoCampus (EMC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima Lawatan Kolaborasi Strategik Pusat Pengurusan Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (CMeOSH), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Selasa lalu.

Lawatan yang diketuai oleh Pengarah CMeOSH, Prof. Ts. Ir. Dr. Hj. Ahmad Rasdan Ismail telah disambut Pengarah EMC, Prof. Madya Dr. Berhaman Ahmad.

Prof. Madya Dr. Berhaman dalam ucapan alu-aluannya mengutarakan kesungguhan EMC untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pelestarian persekitaran dan pemupukan gaya hidup hijau dalam kalangan warga universiti dan pemegang taruh. 

“Sesungguhnya program perkongsian dan penerokaan peluang kolaborasi strategik sebegini amat selari dengan takrifan ‘EcoCampus UMS’ iaitu sebagai pusat rujukan dalam pembangunan lestari tempatan, kebangsaan, serantau dan sedunia.

“Kejayaan pelestarian persekitaran dan pemupukan gaya hidup hijau secara menyeluruh, khususnya dalam arena pengajian tinggi amatlah mustahak demi melahirkan masyarakat masa hadapan yang bukan hanya memiliki kesedaran alam sekitar yang tinggi malahan daya pematuhan dan pelaksanaan amalan hijau dalam kehidupan seharian yang kuat,” ujarnya. 

Turut hadir Timbalan Pengarah EMC, Kelvin BH Kueh yang telah memberikan taklimat falsafah dan konsep Agenda EcoCampus UMS serta pencapaian dan cabaran sejak permulaan penubuhannya pada 2013.