JUMAAT, 24 JANUARI - Datuk Wira Ir. Md Sidek Ahmad dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah (LPU) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkuat kuasa 10 Januari 2020 hingga 09 Januari 2023.

Lantikan itu diumumkan menerusi satu surat daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertarikh 02 Januari 2020.

Pengumuman itu sekali gus mengisi kekosongan Pengerusi LPU UMS yang sebelum ini disandang oleh Datuk K Y Mustafa.

Untuk rekod, Datuk Wira Ir. Md Sidek merupakan Pengerusi N.U.R Power Sendirian Berhad (Sdn Bhd) iaitu sebuah syarikat pembekal jana kuasa yang berpangkalan di Kedah.

Pada masa yang sama, beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

UMS juga turut mendapat Ahli Lembaga Pengarah yang baharu iaitu Haji Alan Abdul Rahim berkuat kuasa 15 Januari 2020 hingga 14 Januari 2023.

 

JUMAAT, 17 JANUARI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memeterai satu memorandum perjanjian bersama Hafiz Farm Sdn Bhd bagi kerjasama terhadap pengeluaran makanan ruminan berimpak tinggi dan berdaya saing yang dinamakan ‘Hafiz Feed’.

Perjanjian tersebut dimeterai dalam satu majlis yang berlangsung di Fakulti Pertanian Lestari (FPL), UMS Kampus Sandakan, menyaksikan UMS diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin menandatangani dokumen perjanjian tersebut, manakala Hafiz Farm diwakili Pengarah Eksekutif, Tuan Haji Yussup Nannong.

Menurut Dekan FPL, Prof. Dr. Abdul Hamid Ahmad, memorandum perjanjian yang dimeterai itu merupakan salah satu hasil utama dari memorandum persefahaman sebelum ini yang ditandatangani antara UMS dan Hafiz Farm lebih kurang dua tahun lalu.

“Memorandum persefahaman berkenaan bersifat penyelidikan melibatkan tanaman napier pakchong dan makanan ruminan, dengan sasaran utama dalam penyelidikan tersebut adalah untuk menghasilkan makanan ternakan yang murah, mudah dihasilkan, berbau harum bagi haiwan dan berimpak tinggi dari segi kesan ke atas tumbesaran ternakan.

“Sasaran tersebut telah berjaya dicapai dengan penghasilan ‘Hafiz Feed’, sehinggakan kebaikan Hafiz Feed ini telah mendapat pengiktirafan melalui kemenangan pingat emas dalam pertandingan penyelidikan dan inovasi kebangsaaan, PECIPTA 2017, di Terengganu dan kemenangan pingat perak dalam pertandingan penyelidikan dan inovasi antarabangsa, IENA 2018, di Jerman,” katanya.

Menurut beliau lagi, Hafiz Feed kini dikomersialkan dan secara tidak langsung juga merupakan satu bukti bahawa “translational research” atau penyelidikan yang boleh diterjemahkan kepada hasil sebenar boleh dicapai melalui kerjasama erat antara pihak universiti dan industri.

“Di FPL, penyelidik gigih menjalankan penyelidikan makanan ternakan, manakala di Hafiz Farm, pegawai dan kakitangan mereka gigih menterjemahkan hasil penyelidikan tersebut menjadi produk yang boleh dipasarkan.

“Dalam proses menterjemah hasil penyelidikan tersebut, pihak Hafiz Farm juga menjalankan penyelidikan dan berkongsi maklumat yang diperolehi dengan penyelidik di FPL UMS untuk meningkatkan lagi kelebihan produk yang dihasilkan.

“Pengkomersilan Hafiz Feed akan memberi manfaat bukan sahaja kepada UMS dan Hafiz Farm tetapi juga kepada pembangunan pengeluaran makanan ternakan dan industri ruminan di Malaysia, dan secara tidak langsung boleh mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan dan daging ternakan, dan seterusnya membawa kepada jaminan keselamatan makanan dalam negara,” kata Prof. Dr. Abdul Hamid.

Dalam pada itu, Timbalan Dekan FPL, Dr Januarius Gobilik yang juga merupakan penyelidik utama dalam projek tersebut di pihak UMS, bersama-sama Rendy Juarsyah, di pihak Hafiz Farm, pengeluaran dan pengkomersilan Hafiz Feed adalah tepat pada masanya melihat jumlah daging lembu yang diimport ke Malaysia dilaporkan sebanyak 149,152 tan setahun.

“Jika jumlah ini tidak diimport tetapi dihasilkan dalam negara sahaja menggunakan sumber makanan ternak tempatan, berdasarkan kepada harga semasa daging lembu iaitu sekitar RM22 per kilogram, sebanyak RM3.3 billion setahun pulangan dijangkakan boleh menjadi milik penternak tempatan.

“Di Sabah, kos mengimport daging lembu dilaporkan sekitar RM216 juta setahun, namun realiti semasa di Malaysia adalah industri lembu pedaging menghadapi pelbagai cabaran termasuk bekalan makanan yang rendah, kualiti makanan yang rendah, kos pengeluaran makanan tertingkat yang tinggi, dan kurang pengetahuan penternakan berpenghasilan tinggi,” kata Dr. Januarius.

Justeru itu katanya, niat untuk mengatasi cabaran tersebut telah menjadi motivasi bagi UMS dan Hafiz Farm untuk bekerjasama menghasilkan Hafiz Feed.

“Hafiz Feed dihasilkan melalui fermentasi probiotik sisa organik industri pertanian tempatan seperti industri kelapa sawit, tepung, ikan dan kanji, dengan produk yang terhasil berbau menyelerakan bagi lembu dan menjadi kesukaan haiwan ini serta haiwan ruminan yang lain seperti kambing.

“Data penyelidikan menunjukkan bahawa dengan menggunakan Hafiz Feed, penternak mampu menghasilkan makanan lembu tertingkat kualiti sehingga 6 hingga 7 tan sehari, mencapai purata tumbesaran lembu sebanyak 2.5 kg sehari seekor bergantung kepada umur, baka dan tahap kesihatan lembu dan mengurangkan harga konsentrat menjadi RM1.50 sekilogram sahaja, dan setakat ini, harga makanan lembu di pasaran tempatan adalah sekitar RM 1.70 hingga RM 2.02 sekilogram,” katanya.

Ujar Dr. Januarius, inovasi Hafiz Feed dilindungi di bawah Trade Secret oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UMS, dan sudah digunakan oleh Hafiz Farm dan beberapa penternak tempatan sejak dua tahun lepas untuk meningkatkan purata tumbesaran sehari lembu pedaging.

SELASA, 14 JANUARI - Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipelawa untuk menghadiri FKI IR4.0 Public Talk Series 2020 anjuran Fakulti Komputeran dan Informatik UMS.

Menurut kenyataan FKI, ceramah tersebut akan dilaksanakan secara bersiri bermula Januari hingga Julai 2020.

“Ia dilaksanakan sebanyak 14 kali dengan topik yang berbeza. Tarikh penganjurannya ialah pada 22 Januari, 05 dan 19 Februari, serta tarikh 04 dan 18 Mac.

“Ia kemudiannya bersambung lagi pada bulan seterusnya iaitu pada tarikh 01, 15 dan 29 April dan 13 Mei 2020,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Lima lagi ceramah FKI IR4.0 akan diadakan pada 03 dan 17 Jun, serta pada 01,15 dan 29 Julai 2020.

Setiap sesi ceramah akan berlangsung di Auditorium, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK)  bermula pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengahari.

Mereka yang berminat boleh membuat pra pendaftaran melalui pautan https://forms.gle/8PqA7p9ej4otQUsk6.

 

SELASA, 14 JANUARI - Akademi Sains Malaysia (ASM) melanjutkan tarikh tutup permohonan Geran Penyelidikan Perubatan Dr Ranjeet Bhagwan Singh (RBS) kepada 31 Januari 2020.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan ASM, tarikh itu dilanjutkan selepas dipersetujui oleh Jawatankuasa Pemandu RBS berbanding tarikh 23 Disember 2019 yang ditetapkan sebelum ini.

Sehubungan itu, ASM mempelawa saintis muda di Malaysia yang sedang membuat penyelidikan Perubatan atau Bioperubatan di mana-mana institusi termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk memohon melalui pautan www.mytopscientists.org/v2/default.aspx.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Nur Dayana Razmi di talian 03-6203 0633 sambungan 158 atau melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

 

 

ISNIN, 13 JANUARI -  Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Beijing Union University (BUU), China menganjurkan Simposium Pelancongan Mampan baru-baru ini.

Bertempat di UMS, simposium itu antara lain membicarakan topik kelestarian dalam pelancongan seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals - SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 Dua penceramah dari Program Pengurusan Pelancongan UMS telah dijemput untuk berkongsi idea dan pengalaman mereka berdasarkan topik tersebut.

Mereka ialah Profesor Madya Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul dan Profesor Dr. Jennifer Chan Kim Lian.

Dalam ceramahnya, Dr. Awangku Hassanal berbicara mengenai penterjemahan Matlamat Pembangunan Lestari PBB kepada praktik dalam pelancongan.

Beliau menerangkan secara menyeluruh mengenai SDG dan yang berkaitan dengan praktik pelancongan berdasarkan pengalamannya berkhidmat dalam Sustainable Development Solutions (SDSN) Malaysia sebelum ini melalui contoh program dan projek pembangunan di Sabah yang telah mencapai matlamat SDG.

Profesor Dr. Jennifer dalam perkongsiannya pula membentangkan penyelidikan beliau tentang konsep pelancongan lestari yang mampu untuk meningkatkan ekonomi tempatan dan memelihara persekitaran tapak pelancongan.

Seramai 45 kakitangan dan pelajar pascasiswazah UMS dan BUU sama-sama mendengar ceramah pada simposium itu.

Sementara itu, Ketua Program Pengurusan Pelancongan FPEP UMS merangkap pengerusi penganjur simposium, Dr. Tini Maizura Mohtar menyuarakan harapan agar UMS dan BUU akan terus bekerjasama dalam membuat penyelidikan berhubung topik pelancongan lestari untuk kedua-dua negara iaitu Malaysia dan China.

Beliau berharap agar lebih banyak wacana seperti simposium ini dilaksanakan pada masa-masa  akan datang.

Majlis Perasmian Simposium disempurnakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswzah FPEP UMS, Dr. Arif @ Kamisan Pusiran. Manakala, majlis penutupannya disempurnakan ketua delegasi BUU, Profesor Madya Dr. Yu Liu.