KHAMIS, 3 OKT - Persidangan Geosains Kebangsaan (NGC) 2019 merupakan platform terbaik mengumpulkan kepakaran untuk menghasilkan kajian berimpak tinggi. 

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, kajian geosains sangat penting bagi memastikan kemandirian alam sekitar di negara ini. 

Katanya NGC adalah pentas untuk pakar berkongsi hasil penemuan dalam kajian masing-masing sama ada pakar dari agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO).

"Di samping memperoleh imput baharu menerusi NGC ini, semua pihak yang terlibat dapat membentuk kerjasama bagi menjalankan kajian berimpak tinggi pada masa hadapan," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan NGC 2019 kelmarin. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Rasid Mail. 

Tambah Profesor Datuk Dr. Taufiq, selain kajian berkaitan bumi, bidang geosains juga melibatkan kajian masa serta planet lain. 

Sehubungan itu katanya, ia amat penting dalam memastikan kemampanan alam sekitar di negara in. 

Sementara itu, Pengerusi NGC 2019, Profesor Madya Dr. Rodeano Roslee berkata, persidangan berkenaan memilih tema Geosains untuk Kemampanan Bumi. 

Katanya, kepentingan sains geologi terbukti dengan adanya Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) UMS.

Pusat berkenaan jelasnya, membolehkan para penyelidik membuat kajian berkaitan bencana alam serta membuat perundingan dan membina pangkalan data berkaitan sumber bumi sejak 1995.

"Selepas hampir 25 tahun beroperasi, pusat kajian ini menjadi salah satu daripada Pusat kecemerlangan UMS dan tahun ini menerima mandat besar dalam menganjurkan NGC," katanya. 

Turut hadir pada majlis tersebut, Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam, Profesor Dr. Baba Musta. 

Sumber : Utusan Borneo 

RABU, 2 OKTOBER – Lebih 100 sukarelawan telah menjayakan program khidmat masyarakat di Kampung Selimbangun, Sepanggar anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini.

Program di bawah kelolaan felo penyelaras KKTF, Rohaizam Lamdin dan Norcikeyon ini melibatkan pelajar KKTF serta mendapat usahasama daripada agensi luar antaranya dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM).

Menurut pengarah program, Humaira Fong Zi Li, program yang bertemakan “Masyarakat Penyayang Lahir Bersama Tanggungjawab” ini adalah sebagai pendedahan kepada sukarelawan yang terlibat khususnya pelajar UMS tentang tanggungjawab diri terhadap masyarakat sekeliling.

“Di samping itu, program ini juga adalah bagi memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan dan alam sekitar serta menanam sifat penyayang dalam diri, sejajar dengan tema program ini.

“Melalui program ini, sebanyak 1,337.3 kilogram pungutan sampah telah berjaya dikumpul oleh para sukarelawan bersama-sama dengan penduduk kampung,” katanya.

Tambah Humaira, selain aktiviti kutipan sampah, turut diadakan aktiviti senaman zumba pada awal pagi, gotong-royong membersihkan kawasan kampung, taklimat kesihatan oleh Pusat Kesihatan UMS, ceramah kesedaran tentang alam sekitar oleh JAS, penyediaan logistik oleh DBKK dan slot santai bersama penduduk kampung.

“Diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan memberikan manfaat dan impak yang lebih tinggi kepada masyarakat serta menggalakkan para peserta bertukar-tukar idea dan pendapat sepanjang melaksanakan program,” ujarnya.

Program tersebut diakhiri dengan acara perasmian penutupan yang disempurnakan oleh Timbalan Pengetua KKTF, Muhammad Jumrat Minsun yang turut menyempurnakan acara dengan penyerahan sumbangan kepada 11 orang anak yatim dari kampung tersebut, serta penyerahan sumbangan 30 naskah terjemahan Al-Quran daripada YDKMM kepada ahli jawatankuasa Masjid Nur Iman, Kg. Selimbangun.

SELASA, 1 OKTOBER - Aktiviti larian seperti joging mampu membantu untuk mencegah penyakit kardiovaskular yang menjadi punca utama kematian dunia sehingga mengorbankan 17.5 juta orang setiap tahun.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, untuk itu masyarakat perlu mengamalkan gaya hidup sihat dan terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang boleh menghindari penyakit seperti sakit jantung dan strok.

“Pada tahun 2017, statistik yang direkodkan di hospital kerajaan menunjukkan bahawa penyebab kematian akibat sistem peredaran darah di negara ini kian mencecah 21.9 peratus.

“Penyakit sistem peredaran darah ini membabitkan sebahagian besar penyakit jantung serta strok, justeru usaha menganjurkan acara larian ini amat bertepatan bagi kesedaran peri pentingnya budaya amalan hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan ‘Healthy Heart Run’ anjuran Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena World Heart Day, di sini, baru-baru ini.

Larian yang memerlukan para peserta berlari sejauh 3 km, 6 km dan 10 km di sekitar kampus UMS itu dianjurkan dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Persatuan Perubatan Desa Sabah (Perdesa) serta sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Frankie juga menekankan pentingnya kekerapan membuat pemeriksaan kesihatan tubuh badan agar informasi tepat berkenaan status kesihatan dapat diketahui.

“Pemeriksaan rutin ini membolehkan tindakan awal pencegahan dapat dilakukan mengikut tempoh masa bersesuaian dengan peringkat umur masing-masing iaitu setiap setahun hingga dua tahun bagi golongan muda manakala pemeriksaan setiap tahun bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas,” katanya.

Bertemakan ‘My Heart, Your Heart’, larian itu telah disertai seramai 767 orang peserta. Hadir sama Dekan FPSK UMS, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree.

ISNIN, 30 SEPT - Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata sebuah universiti harus menjadi tempat untuk melahirkan komoditi pintar dan pusat untuk menyebar luas ilmu kepada masyarakat.

Menurutnya, salah satu wadah penyebarluasan ilmu adalah melalui penerbitan buku, jurnal dan yang seumpamanya.

Tambah beliau adalah wajar jika universiti menjadikan amalan membaca, menulis, menerbitkan buku dan jurnal sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) para pensyarah dan universiti secara amnya.

“Dunia kita pada masa kini berdepan dengan cabaran digital dan kemalasan masyarakat untuk membaca buku apatah lagi membeli buku sementelah dalam dunia akademia, membaca dan menulis buku (termasuk jurnal) merupakan nadi atau agenda penting bagi sesebuah universiti.

“Seseorang tidak akan menjadi penulis yang hebat sebelum menjadi pembaca yang kuat. Tiada yang boleh memahirkan diri menulis tanpa tabiat suka membeli (buku) dan membaca,” ujarnya ketika merasmikan majlis penutupan Pesta Buku UMS 2019 anjuran Penerbit UMS, baru-baru ini.

Selain itu, beliau turut memuji usaha Penerbit UMS yang berjaya menerbitkan 41 buah manuskrip pada tahun ini dan menganggap pencapaian tersebut merupakan satu yang harus dibanggakan.

“Saya mewakili pihak pengurusan UMS turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada penulis-penulis yang telah berkarya dan golongan ini bukan sahaja perlu diraikan malah digalakkan untuk terus berkarya.

“Rakan-rakan pensyarah yang sentiasa berkarya dan menghasilkan buku berkualiti perlu melihat satu aspek yang sangat penting, iaitu penghasilan buku yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi dan baik, bukan sahaja berguna dalam kalangan pelajar tetapi mampu menembusi pasaran antarabangsa,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Pengarah Penerbit UMS, Profesor Madya Dr. Asmiaty Amat memaklumkan pencapaian lonjakan sebanyak 300 peratus penerbitan buku pada tahun ini adalah merupakan hasil kerjasama simbiosis di antara pelbagai pihak di UMS.

Katanya kerjasama diantara pihak pengurusan, Jabatan Bendahari dan para pensyarah harus diteruskan demi membentuk dan melestarikan persekitaran dan budaya kerja.

Pesta Buku UMS 2019 yang berlangsung selama lima hari bermula 23 September itu turut memberi ruang kepada penulis untuk memperkenalkan buku baharu masing-masing menerusi slot Bicara Buku.

JUMAAT, 27 SEPTEMBER - Sebuah Bicara Buku diadakan di Ruang Santai Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini dalam usaha ke arah memperkenalkan karya baharu kepada masyarakat di samping mendapatkan maklum balas daripada pembaca terhadap karya buku berkenaan.

Pada program itu, buku bertajuk Mediasi Dalam Perkembangan Novel Sabah tulisan Pengarah Penerbit UMS, Prof Madya Dr. Asmiaty Ahmad telah diulas Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul di hadapan pelajar Tahun 2 Program Komunikasi dan Program Seni Kreatif, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW).

Menurut Dr. Ramzah, mediasi bermakna perantara atau faktor yang menjadi pemangkin atau pengubah  kepada penghasilan sesuatu karya.

“Pensejarahan novel di Sabah memperlihatkan mediasi sosiobudaya, konvensi, institusi dan ideologi sebagai pemangkin perkembangan penghasilan novel sejak tahun 1970-an.

“Mediasi ekonomi hanya diperlihatkan pada sekitar tahun 1960-an melalui beberapa karya antaranya karya K Bali berjudul Bogel / Sarini dan Bulan Muda hati Muda,” katanya pada majlis itu yang diadakan sempena Pesta Buku UMS 2019.

Dr. Ramzah berkata, penulis novel Sabah sangat langka dalam membicarakan isu sensitif seperti kebergantungan ekonomi sabah terhadap warga luar.

“Selain itu penulis Sabah masih berkarya dalam ruang lingkup selesa tanpa berani mengutarakan isu-isu sensitif seperti hak orang asal, isu sosial seperti pelacuran sebagaimana yang pernah dikupas oleh Sasterawan Negara A Samad Said dalam masyarakat di Tanah Melayu menerusi novel Salina sekitar tahun 1970-an.

“Realiti kehidupan masyarakat di Sabah tidak dikupas secara tuntas oleh kebanyakan pengkarya berkemungkinan disebabkan oleh latar budaya,” jelasnya yang turut menyeru penulis untuk meneruskan kritikan terhadap perkembangan persuratan dalam era digital yang serba mencabar. 

Bagi yang berminat, Buku Mediasi Dalam Perkembangan Novel di Sabah boleh didapati menerusi kedai buku UMS dengan harga RM50.