RABU, 4 SEPTEMBER - Kursus Training for Trainer (TOT) bagi tenaga pengajar kursus kokurikulum berkredit di Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilaksanakan dengan jayanya baru-baru ini termasuk di dua kampus cawangan universiti tersebut iaitu Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) dan Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Sandakan.

Timbalan Pengarah (Akademik) PKPP UMS, Dr. Jurry Foo berkata, program yang diterajui PKPP itu merupakan aktiviti wajib yang dianjurkan secara tahunan sebagai usaha pemantapan berterusan tenaga pengajar bagi menjamin kualiti sistem Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

“Ia bagi membolehkan setiap tenaga pengajar menghasilkan pelajar yang holistik sekali gus membawa kepada pembentukan awal kendiri pelajar sebelum menghadapi cabaran hidup dunia sebenar.

“Ia seiring dengan peranan PKPP yang bertanggungjawab terhadap pembentukan asas kemahiran kepimpinan dan kemahiran sosial pelajar,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Jurry, Kursus TOT kali ini disertai 90 peserta yang terdiri daripada tenaga pengajar yang diyakini mempunyai kemampuan menyeluruh dalam melaksanakan kursus berkredit yang ditawarkan oleh PKPP UMS.

Katanya, tenaga pengajar yang dipilih juga mempunyai latar belakang mengendalikan kursus berasaskan kemahiran dan khidmat masyarakat yang merupakan aktiviti utama PKPP dalam membimbing pelajar.

“Pada kursus ini, tenaga pengajar diberikan taklimat berkaitan matlamat dan ciri akademik dan kaedah pelaksanaannya serta pendedahan terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan di PKPP termasuk tanggungjawab seseorang pengajar.

“Mereka turut menjalani latihan dalam kumpulan yang memerlukan setiap peserta mengambil bahagian mengikut kumpulan masing-masing bagi menyelesaikan tugasan yang diberi dengan tujuan untuk memberi kefahaman mendalam tentang peranan PKPP di UMS,  selain sebagai aktiviti membina hubungan kerjasama sesama tenaga pengajar,” tambahnya lagi.

 Sementara itu, Dr Jurry juga menyatakan bahawa keistimewaan utama kursus berkredit di PKPP ialah adaptasi bidang disiplin kepada penghayatan dan penguasaan kendiri pelajar.

Beliau berkata, pelajar didedahkan asas ilmu bidang dan kemudiannya dibimbing untuk mengaplikasikan ilmu itu untuk membentuk ciri kepemimpinan seterusnya mengaplikasikan pengetahuan bidang kepada masyarakat melalui program Siswa Prihatin (SPRINT).

“Pada sesi akademik 2019/ 2020 ini, PKPP mengekalkan kesemua komponen kursus iaitu komponen sukan, rekreasi dan waja diri, komponen seni dan kebudayaan, komponen bisnes dan teknologi, komponen kemasyarakatan dan komponen unit beruniform dan penyelamat untuk ditawarkan kepada pelajar.

“Kursus-kursus tersebut akan dikendalikan dengan menggunakan pelbagai pendekatan, khususnya kaedah PdP yang memenuhi keperluan Revolusi Industri ke – 4 termasuk mengaplikasikan pembelajaran teradun dan atas talian sebagai gaya PdP generasi kini,” katanya.

 

SELASA, 3 September - Seramai 4,362 pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kemasukan Pelajar Baharu Sesi 2019/2020.

Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Yap Yun Hin berkata, jumlah tersebut merangkumi 2,570 (59%) pelajar dari Sabah, 1,690 (39%) dari  Semenanjung Malaysia dan Sarawak, dan 102 (2%) pelajar antarabangsa.

“Pelajar antarabangsa itu berasal dari 14 buah negara, iaitu China (72 orang), Brunei (9 orang), Indonesia (6 orang), Bangladesh (3 orang), Korea Selatan (2 orang), Hong Kong (2 orang) dan masing-masing seorang dari Jepun, Filipina, Afrika Selatan, Gabon, Yemen, Maldives, Mesir dan Pakistan,” katanya pada sidang media semasa pendaftaran pelajar baru di Kolej Kediaman E, hari ini.   

Beliau berkata,  UMS turut menawarkan 178 tempat kepada pelajar kurang berkemampuan berdasarkan pendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) menerusi program Merobah Idea Menjadi Realiti (MENITI)

“Pada tahun ini UMS turut menerima kemasukan 8 orang pelajar dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).  Kesemua mereka ini ditempatkan di tingkat bawah Kolej Kediaman Tun Fuad untuk memudahkan pergerakan selain disediakan kenderaan khas untuk menghadiri kuliah.

“UMS juga menerima kemasukan 40 pelajar bagi program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Sains Data) Fakulti Komputeran dan Informatik,” ujar Prof. Dr. Taufiq.

Kesemua pelajar akan tinggal di kolej kediaman dan akan mengikuti Minggu Suai Mesra (MSM) sehingga 6 September sebagai persiapan bagi menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan kampus.

 

JUMAAT, 30 Ogos - Kerajaan dan sektor swasta harus mengakui pentingnya bidang sains komputer dalam menyokong usaha kerajaan untuk mewujudkan masyarakat pintar.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS),Profesor Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata ianya boleh dilihat melalui pengenalan program pengaturcaraan komputer ke dalam kurikulum pendidikan di sekolah menengah.

“Di Malaysia secara umumnya dan Kota Kinabalu khususnya, lebih banyak aktiviti yang berkaitan dengan sains data dan data besar telah dirancang. Sebagai contoh, UMS kini menawarkan dua program pascasiswazah yang direka untuk membolehkan pelajar meneroka dan memperoleh pengetahuan yang berkaitan dengan kecerdasan pengkomputeran,” katanya dalam teks ucapan aluan sempena Persidangan Antarabangsa mengenai Sains Komputer dan Teknologi ke-6 yang dibacakan oleh Penolong Naib Canselor UMS, Profesor Dr. Marcus Jopony, kelmarin.

Persidangan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.  

Tambah Profesor Dr. Taufiq, pada tahun ini UMS mula menawarkan program Ijazah Sarjana Sains Komputer  (Sains Data) dengan Kepujian untuk kumpulan pertama pengambilan bagi sesi akademik 2019/2020.

“Program ini akan menyediakan para pelajar dengan segala pengetahuan dalam Pembelajaran Mesin, Internet of Thing (IoT), Analisis Data Besar, Kecerdasan Buatan dan banyak lagi,” jelas beliau.

Profesor Dr. Taufiq turut mencadangkan agar pengusaha bidang pertanian di negeri ini memanfaatkan trend teknologi untuk meningkatkan produktiviti sumber tanaman.

“Dengan pendekatan maju dalam sains pengkomputeran, Sabah yang memiliki kekayaan dalam bidang pertanian boleh memanfaatkan  penggunaan teknologi ini untuk meningkatkan produktiviti pertanian dengan menggunakan data besar dan sains pengkomputeran untuk melakukan teknologi perladangan pintar atau teknologi pertanian yang tepat,” ujar beliau.

Lebih 120 peserta menyertai persidangan itu yang berlangsung selama dua hari bermula kelmarin anjuran Fakulti Kejuruteraan Informatik (FKI) UMS.

Turut hadir, Dekan FKI Profesor Dr. Abdullah Gani dan Pengerusi penganjur, Profesor Madya Dr. Rayner Alfred.

 

JUMAAT, 30 OGOS - Para mahasiswa  perlu memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk menikmati alam kehidupan kampus di menara ading dengan sebaiknya.

Timbalan Menteri di Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESSTEC) Malaysia, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, berada di universiti bukan setakat untuk belajar ilmu akademik tetapi ia merangkumi peningkatan kemahiran insaniah melalui keterlibatan dalam pelbagai aktiviti anjuran universiti.

“Semasa saya menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) saya terlibat aktif dengan aktiviti-aktiviti berpersatuan seperti menjadi anggota biro dalam Majlis Perwakilan Pelajar, ahli jawatankuasa dalam penganjuran Tamu Gadang (Pesta Konvokesyen) dan pelbagai program yang lain.

"Saya sangat seronok menjalani kehidupan kampus kerana bagi saya, ilmu itu bukan setakat hanya diperoleh dari buku akademik tetapi juga melalui pengalaman-pengalaman dalam keterlibatan dalam program-program sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program Jejak Alumni anjuran Pusat Kerjaya dan Alumni (PKA) UMS, di sini, baru-baru ini.

Menurut Munirah, keputusan akademik semata-mata tidak mampu menjanjikan kemajuan, pekerjaan atau kedudukan pada masa hadapan.

Beliau percaya ia juga ditentukan oleh keterampilan, personaliti, dedikasi yang disifatkannya amat penting dan tidak dapat dibeli oleh wang ringgit.

“Saya sangat bertuah kerana di UMS saya diajar dan dididik oleh para pensyarah yang sangat dedikasi yang bukan sahaja mengajar tentang kursus pengajian tetapi juga mengajar tentang aspek kehidupan.

“Saya secara tidak langsung belajar asas kehidupan seharian, bagaimana untuk berinteraksi, membina jaringan komunikasi, sekali gus meningkatkan pembangunan diri yang akhirnya mampu diaplikasi untuk berbakti kepada masyarakat dan negara. Sesungguhnya berada di universiti ini adalah satu pengalaman yang saya akan ingat sampai bila-bila,” jelas Alumni Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan UMS itu yang kini juga dalam proses penyiapan akhir pengajian Sarjana Kejuruteraan Minyak dan Gas di universiti tersebut.

Mengulas lanjut, Munirah yang juga Ahli Parlimen Kota Belud turut berkongsi pandangan peribadi tentang kebolehpasaran graduan pada masa kini.

“Selain keputusan akademik, personaliti dan kemahiran berkomunikasi yang baik, saya juga menggalakkan para graduan untuk cuba mengikuti kursus-kursus atau taklimat-taklimat lain selepas tamat pengajian termasuk menyertai konvensyen di peringkat antarabangsa. Ia boleh membina perspektif lain untuk kita menilai tentang perkara yang boleh ditambah untuk meningkatkan dalam kebolehpasaran graduan.

“Saya juga menggalakkan para graduan mengisi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) kerana ini merupakan data yang sangat penting dan diperlukan untuk melihat ke manakah graduan universiti  selepas tamat pengajian.

"Data ini bukan sahaja berguna kepada universiti tetapi kepada negara supaya kerajaan juga dapat sama-sama melihat, menilai dan memperbaiki perkara yang perlu diperbaiki, serta melihat peluang yang boleh dibuka kepada mereka yang telah tamat pengajian,” tambah Munirah.

Turut hadir pada program itu ialah Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin; Pengarah PKA, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng; Timbalan Pengarah PKA, Mohd Raffie Haji Janau dan Prof. Dr. Ismail Ali.

Sementara itu, Mohd Raffie berkata, Program Jejak Alumni bertujuan menjejaki sekali gus  mengekalkan hubungan dengan alumni UMS yang berjaya dalam kerjaya.

“Ia juga sebagai medan perkongsian pengalaman dan pandangan bagi memberi inspirasi kepada mahasiswa dan alumni UMS yang lain serta dalam masa yang sama boleh membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan UMS,” katanya.

 

JUMAAT, 30 Ogos – Penerbit Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Bengkel Penerbitan Ilmiah 2019 dengan tema ‘Daripada Tesis Kepada Buku’ yang diadakan di Bilik Galeri Pusat Islam UMS, baru-baru ini.

Bengkel yang bertujuan membimbing para peserta untuk mengembangkan dan mengubah suai tesis kepada manuskrip untuk diterbitkan itu telah dikendalikan oleh pensyarah di Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Emeritus Datuk Dr. Othman Lebar.

Pada perasmian penutupan bengkel tersebut, Pengarah Penerbit UMS, Profesor Madya Dr. Asmiaty Amat berkata, menerusi pemindahan tesis ke buku, ia dapat meningkatkan jumlah penerbitan serta menawarkan lebih banyak pilihan bahan bacaan kepada orang awam yang mampu memberi impak kepada masyarakat serta membawa nilai ekonomi.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan penerbitan buku bagi setiap universiti awam  sebanyak 50 judul setahun namun Penerbit UMS menerima jumlah manuskrip yang kurang daripada 30 setahun. Hal demikian, dapat diatasi dengan kupasan ilmu yang diberikan bengkel ini diharap membantu kepada para peserta bahawa dengan menggunakan format dan teknik yang tepat pemindahan tesis kepada buku dapat dipercepatkan.

“Sebenarnya kita mempunyai jumlah manuskrip yang cukup banyak untuk diterbitkan menjadi buku sekiranya tesis-tesis pelajar dikembangkan menjadi buku.

“Tesis yang terhasil daripada graduan pasca sarjana dan ijazah doktor falsafah setiap tahun sudah tentu mampu memenuhi sasaran kementerian jika ia diterbitkan,” katanya.

Tambah beliau, adalah menjadi harapan Penerbit UMS untuk menerbitkan lebih banyak manuskrip sama ada daripada graduan mahupun pensyarah UMS, khususnya para peserta bengkel agar ia dapat mencapai sasaran yang ditetapkan oleh KPM.

Untuk rekod, sejak penubuhan Penerbit UMS, hampir 50 tesis pelajar dan pensyarah telah berjaya diterbitkan menjadi buku dan menerima bayaran royalti sebanyak RM 1,000, manakala beberapa buah naskah turut memenangi anugerah penerbitan di peringkat kebangsaan seperti Anugerah Buku Negara dan anugerah yang dianjurkan oleh Majlis Penerbit Ilmiah Malaysia (MAPIM).

Seramai 18 peserta terdiri daripada ahli akademik dan pelajar pascasiswazah daripada pelbagai latar menyertai bengkel yang berlangsung selama dua hari itu.