Program Komuniti Jalinan Kasih anjuran sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kampung Indarason Laut, Kudat baru-baru ini menjadi satu platform dalam memupuk dan mengeratkan hubungan antara siswa-siswi dengan komuniti luar bandar khususnya dengan penduduk kampung tersebut.

Program anjuran pelajar dari Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) ini menyantuni penduduk kampung selama empat hari dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti bersama penduduk kampung dan pelajar sekolah.

Menurut Pengarah Program, Diana Vivie Elyana Hieronimus, antara pengisian utama program termasuklah penempatan mahasiswa bersama keluarga angkat bagi merasai sendiri kehidupan masyarakat setempat.

“Pendekatan ini membolehkan mahasiswa memahami nilai kekeluargaan dan budaya tempatan, di samping memperkasa nilai empati dan keterampilan sosial.

“Selain itu, aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan persisiran pantai turut dijalankan secara kolaboratif antara mahasiswa dan penduduk kampung, yang bertujuan memupuk kesedaran sivik serta tanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Program kemudiannya diteruskan dengan pelaksanaan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama murid-murid prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 di Sekolah Kebangsaan Indarason Laut menerusi aktiviti interaktif yang memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyampaikan pendidikan secara kreatif dan mesra kanak-kanak,” katanya.

Diana menambah, pelaksanaan aktiviti sukaneka yang melibatkan pelajar dan penduduk kampung turut berjaya mencipta suasana ceria dan mengeratkan hubungan dua hala, selain memupuk semangat kesukanan serta memberi impak positif dalam mempromosikan gaya hidup sihat.

“Justeru itu, program ini dilihat bukan sahaja berjaya memperkukuh hubungan siswa-siswi dengan masyarakat, malah membentuk mahasiswa yang lebih bersifat prihatin dan bertanggungjawab.

“Pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini memberi nilai tambah kepada pelajar, bukan sahaja dari aspek akademik dan komunikasi, tetapi juga dalam membentuk peribadi yang matang dan berintegriti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FPPS, Prof. Madya Dr. Roslee Talip ketika menyempurnakan penutupan program tersebut menyatakan program seumpama itu wajar diteruskan sebagai usaha berterusan dalam pembangunan sahsiah mahasiswa.

“Program ini memberi impak yang besar bukan sahaja kepada pelajar UMS, tetapi juga kepada komuniti yang terlibat.

“Ini sekali gus memperlihatkan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan sosial, dan saya berharap program sebegini diteruskan dengan skop yang lebih luas pada masa akan datang,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Kampung Indarason Laut, Andaman Hj Mansaded; Ketua Program PAKK, Dr. Juppri Bacotang; Penyelaras Kelab PAKK, Saturia Amiruddin, dan Pensyarah Program PAKK, Dr. Mohd Zafaren Zakaria.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkasa generasi muda apabila seramai 57 pelajar Tingkatan lima dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya dan SMK Taman Tun Fuad menyertai Program Kelas Bimbingan STEM Living Lab Edu-Xperiential, baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan melalui inisiatif Geran Living Lab sebagai langkah strategik memperkukuh kecemerlangan akademik, meningkatkan enrolmen dalam bidang STEM serta membina budaya prestasi cemerlang dalam kalangan pelajar menjelang SPM 2025.

Menurut Dekan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Profesor Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh, program tersebut membuka ruang kepada para pelajar untuk mencipta kejayaan luar biasa dalam bidang STEM.

“Program berfasa ini melibatkan enam subjek utama iaitu Matematik, Matematik Tambahan, Bahasa Inggeris, Fizik, Kimia dan Biologi. Setiap sesi dibimbing oleh tenaga pengajar pakar daripada sekolah menengah serta disokong oleh barisan pensyarah, penyelidik dan fasilitator pelajar UMS.

“Dengan usaha gigih dan semangat yang tidak putus asa, saya yakin program yang UMS anjurkan ini akan dapat membantu para pelajar memperoleh keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program yang berlangsung di Bilik Seminar FPPS UMS.

“Program Kelas Bimbingan STEM Living Lab Edu-Xperiential bukan sahaja memperkukuhkan persediaan akademik pelajar menghadapi SPM, malah menjadi pemangkin membina generasi STEM yang lebih berdaya saing, inovatif dan mampu menerajui masa depan negara.

“Langkah kolaboratif antara UMS dan sekolah-sekolah menengah ini membuktikan bahawa pendidikan berkualiti mampu dilonjakkan apabila kepakaran dan semangat kerjasama digembleng sepenuhnya,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Geran Living Lab Edu-Xperiential, Profesor Dr. Sabariah Sharif berkata, program bimbingan tersebut turut memberi peluang kepada pelajar-pelajar Diploma Pascasiswazah Pendidikan (DPLI) dan pelajar-pelajar prasiswazah UMS untuk menimba pengalaman dalam mempraktikkan kemahiran pedagogi, mengajar teknik komunikasi dan membina keyakinan diri untuk berdepan realiti dunia pendidikan.

“Kejayaan program ini disokong oleh penggunaan modul-modul STEM inovatif yang dibangunkan melalui kolaborasi guru pakar dan penyelidik UMS. Modul-modul tersebut mengintegrasikan elemen kecerdasan buatan (AI), gamifikasi, simulasi digital dan pembelajaran berasaskan projek, sekali gus membina suasana PdPc yang lebih interaktif, menarik dan berkesan.

“Kita ucapkan penghargaan kepada semua tenaga pengajar dari Sekolah-sekolah yang terlibat seperti SMK Perempuan Likas, SMK Gunsanad Keningau, SM St. Michael Penampang, SMK Tamparuli, SMK Tenghilan serta semua pensyarah UMS yang turut serta dalam program bimbingan ini.

“Sebagai harapan masa depan, program seumpama ini akan terus diperluas ke lebih banyak sekolah, membuka lebih banyak peluang kepada pelajar luar bandar dan bandar untuk menggapai kecemerlangan dan meningkatkan enrolmen dalam bidang STEM, seterusnya menyumbang kepada pembangunan modal insan Sabah dan negara,” katanya.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Confucius Institute (CI)  buat julung kalinya telah menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Chinese Bridge 2025, satu inisiatif memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China menerusi pendidikan.

Pemangku Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Ouyang Huifeng berkata, pemilihan Sabah sebagai lokasi pertandingan mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia serta menjadi simbol pembelajaran dua hala yang merentasi sempadan geografi antara kedua-dua negara.

“Adalah amat membanggakan apabila pelajar-pelajar dari Malaysia, khususnya dari Sabah, telah berulang kali cemerlang di pentas antarabangsa dalam Pertandingan Chinese Bridge ini.

“Pencapaian ini mencerminkan kekuatan pemahaman antara budaya dan perkembangan bakat dalam penguasaan bahasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Pertandingan Chinese Bridge 2025 di UMS.

Beliau turut menyeru kepada para pelajar agar membawa misi persahabatan Malaysia dan China ke hadapan bagi menggalakkan lebih ramai anak muda mempelajari bahasa Cina dan memahami budaya Cina demi memperkukuh hubungan dua hala pada masa hadapan.

Seramai 26 peserta dalam kalangan pelajar sekolah rendah menjadi peserta kepada pertandingan tersebut.

Pertandingan itu merupakan platform antarabangsa yang meraikan kebolehan pelajar menguasai bahasa dan budaya Cina serta menjadi jambatan yang menghubung rakyat China dan masyarakat global. 

Dalam pertandingan tersebut, Kirrtika A/P Muniandy dari SJKC Wah Keow dinobat sebagai johan pertandingan, manakala Clare Wilson dari SJK(C) Che Hwa merangkul gelaran naib johan, dan Gladys Wong Qi En dari SJKC Su Kwong, Sarikei mendapat tempat ketiga.

Ouyang Huifeng menyampaikan hadiah kepada ketiga-tiga pemenang tersebut.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof; Pengarah CI UMS (Malaysia), Dr. Chiew Tung Moi; dan Pengarah CI UMS (China), Prof. Madya Dr. Huang Yuehua.

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Bengkel Kerja Simulasi Modul Pendidikan Gempa Bumi bertempat di Sekolah kebangsaan (SK) Tongou dan SK Mesilou Ranau, Sabah baru-baru ini.

Menurut Pengarah NDRC, UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus bengkel tersebut merupakan inisiatif bersama dengan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya ia juga turut mendapat sokongan penuh daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), UNICEF Malaysia, SEADPRI-UKM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.

“Bengkel ini diadakan bertujuan memperkukuh sistem pendidikan dalam pengurangan risiko bencana (DRR) di peringkat sekolah, sejajar dengan aspirasi Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.

“Modul Pendidikan Gempa Bumi ini telah dibangunkan oleh NDRC UMS semenjak tahun 2018 lagi, iaitu dengan pembiayaan UNICEF Malaysia menerusi geran penyelidikan dan kerjasama erat bersama JPN Sabah,” katanya.

Tambah Carolyn, Modul Pendidikan Gempa Bumi itu juga telah dilaksanakan dan diuji keberkesanannya menerusi Bengkel Pendidikan Gempa Bumi yang melibatkan murid-murid sekolah rendah dan menengah di 82 buah sekolah di daerah Ranau (sepanjang tahun 2018-2019) dan 53 buah sekolah di daerah Lahad Datu (sepanjang 2019–2020).

“Modul ini memberi fokus kepada latihan kesiapsiagaan dan pendidikan sains gempa bumi di peringkat sekolah rendah dan menengah.

“SK Tungou dan SK Mesilou merupakan antara sekolah perintis yang telah menerima latihan awal daripada NDRC UMS. Kedua-dua sekolah ini telah melaksanakan aktiviti pendidikan sains gempa bumi dan latihan simulasi secara berterusan dalam usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan murid dan guru terhadap risiko gempa bumi, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti daerah Ranau,” katanya.

 

Jelas Carolyn, melalui bengkel tersebut, keberkesanan modul yang dibangunkan dapat diuji dalam konteks sebenar bagi memastikan ia sesuai, berimpak dan dapat dilaksanakan secara meluas di sekolah-sekolah seluruh negara.

 

“Bengkel ini merupakan langkah penting ke arah penerapan pendidikan terhadap risiko bencana secara lebih sistematik di sekolah, demi melahirkan warga sekolah yang lebih peka dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana gempa bumi khususnya.

 

“Aktiviti simulasi secara langsung yang dijalankan di SK Tongou dan SK Mesilou telah menekankan kepentingan pendidikan yang lebih proaktif dan inklusif dalam usaha mengurangkan risiko bencana.

 

Inisiatif seperti ini dapat menyerlahkan peranan penting universiti, serta kerjasama erat dengan agensi kerajaan dan rakan-rakan strategik yang lain dalam memajukan pendidikan risiko bencana demi menjamin keselamatan dan kesiapsiagaan generasi akan datang,” katanya,” ujarnya.

 

Program ini turut disertai oleh Penolong Pengarah 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) daripada pelbagai Jabatan Pendidikan Negeri di seluruh Malaysia, sekali gus dapat memperkukuh perkongsian ilmu dan pembangunan kapasiti dalam menghadapi bencana di peringkat sekolah.

 

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Kebajikan dan Kesihatan Murid KPM, Mohd Fakarudin Hussain; Penolong Pengarah Unit Pengurusan Kebajikan dan Kesihatan Murid KPM, Wan Izani Wan Idris; Pakar Pendidikan UNICEF Malaysia, Azlina Kamal serta Pegawai Penyelidik NDRC UMS, Eldawaty Madran.

 

Penganjuran Festival Pantun Antara Asasi (FANTASI) 2025 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu menjadi wadah dalam mengangkat warisan budaya negara yang mencerminkan semangat perpaduan, kreativiti, dan keindahan berbahasa dalam masyarakat Malaysia dalam kalangan pelajar universiti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, pantun bukan sekadar alat berkomunikasi, tetapi satu medium yang amat kaya dengan falsafah hidup, nilai-nilai murni, dan hikmah.

“Dalam setiap bait pantun yang disusun, terkandung makna yang mendalam yang dapat mengajar kita berkenaan adab, kasih sayang, nasihat, dan pengajaran hidup.

“Pantun menggambarkan kehalusan bahasa dan kesenian yang melambangkan kedalaman pemikiran orang Melayu, yang mampu menyampaikan mesej yang begitu kuat, walaupun dengan kata-kata yang ringkas dan mudah.

“Setiap barisan pantun yang dilontarkan peserta festival ini membawa bukti nyata bahawa kita mempunyai generasi muda yang bukan sahaja bijak dalam bidang akademik, malah memiliki daya kreativiti dan kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan mempertahankan tradisi seni bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penutupan festival anjuran Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS itu di Dewan Resital, UMS.

Tambah Kasim, Festival Pantun juga menjadi ruang dalam menghargai keindahan bahasa Melayu, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan antara institusi pengajian tinggi dalam negara.

“Melalui acara seperti ini, kita dapat mengenali bakat-bakat terpendam dalam kalangan pelajar, yang mungkin tidak dapat ditemukan melalui pendekatan konvensional di dalam kelas.

“ Ini adalah salah satu daripada banyak cara di mana kita boleh meraikan kepelbagaian bakat dan membina jalinan persahabatan antara generasi muda dari pelbagai latar belakang,” katanya.

Ujar beliau, penganjuran festival tersebut diharap terus menjadi satu platform bagi menggalakkan lebih banyak acara kebudayaan yang memberi peluang kepada para pelajar untuk mengembangkan potensi diri dalam bidang seni dan budaya.

Dalam pada itu, peserta dari Universiti Malaya (UM) mengungguli festival tersebut apabila kedua-dua kumpulan peserta dari universiti itu masing-masing berentap pada pertandingan akhir.

UM Kumpulan B dinobat sebagai johan pertandingan, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM2,500, sementara UM Kumpulan A sebagai naib johan membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM2,000.

Peserta dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) masing-masing menduduki tempat ketiga, sekali gus menerima hadiah kemenangan berjumlah RM1,250.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Pengarah Majlis Dekan / Pengarah Asasi Universiti Awam, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abang Haliman Haji Abang Julai; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin; dan Pengarah PPST UMS, ChM. Dr. Newati Wid.